Sudikan Diri Menjadi follower...

Tuesday, August 17, 2010

KENYIR SEMASA MONSUN

Tuesday, August 17, 2010


Sebulan selepas saya berkunjung semasa air surut, pada pertengahan bulan Disember yang lalu saya kembali lagi ke lokasi yang sama. Terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah tangkapan semasa hujan mulai melanda tasik, yang dahulunya pernah memegang gelaran tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara ini!





       Ultraman masih mampu menarik perhatian sebarau, sayangnya toman pula yang mengutip cukai di jajahannya!

Kali ini saya berkunjung lagi bersama geng Kuantan Lure Casters (K.L.C), untuk melakukan acara tahunan yang wajib bagi pengilat sebarau dan toman Tasik Kenyir. Hujan dilaporkan telah menimpa Pantai Timur dan kejadian banjir juga telah melanda. Inilah masa yang amat kami nantikan dan khabarnya sewaktu permulaan hujan pada awal bulan Disember yang lalu, sekumpulan pemancing telah digasak oleh kumpulan sebarau yang menyambut kedatangan anugerah alam ini.
Gambar yang saya rakam semasa lawatan bersama Team Pacat pada bulan November, semasa hujan belum melanda negeri Pantai Timur. Paras air ketika itu jauh susut sehingga ke bacaan 138

Gambar semasa kunjungan pertengahan Disember. Paras air telah meningkat sehingga bacaan 141. Ia telah meningkat sehingga 3 meter dalam jangkamasa sebulan

Memandangkan K.L.C ingin mencuba lokasi baru yang berbeza dengan lawatan mereka tahun lepas, lantas saya mencadangkan agar mereka berkunjung ke tempat yang saya lawati bersama Team Pacat tempohari, iaitu Lata Berua, Cergau dan Mentong. Dengan cara ini, saya dapat melunaskan dua perkara iaitu memperkenalkan K.L.C dengan lubuk-lubuk baru dan  juga saya dapat mengumpul data / rekod tangkapan di lubuk yang sama untuk perbandingan trip dahulu dan sekarang.

PARAS AIR MENINGKAT

Perkara pertama yang saya lakukan bila tiba di Jenagor, ialah memeriksa takat meter air di pengkalan houseboat. Pancang meter bacaan 141 kali ini berada dalam air, dan ianya meningkat 3 meter berbanding bacaan 138 semasa kunjungan sebulan yang lalu. Peningkatan paras air hampir 10 kaki ini tentunya akan menenggelamkan pulau-pulau sementara yang dahulunya banyak terbentuk. Malah kayu-kayu yang banyak berceracak tempohari juga pastinya sudah berada di bawah permukaan air.

Walaupun paras air empangan telah meningkat, tetapi hujan tidak melanda secara berterusan (hari-hari). Mengikut Pak Latip, dalam jangkamasa 3 - 4 hari ini, hujan hanya turun renyai-renyai dan matahari mulai membahangi tasik. Mungkinkah panas akan berterusan tanpa hujan pada kunjungan ini, kerana semasa kami menunggu di jeti TNB untuk memunggah barangan ke atas houseboat, perit matahari mulai terasa mengigit kulit seawal pagi ini!

LATA BERUA

Sama seperti trip yang terdahulu, lokasi pertama yang ditujui ialah Lata Berua. Saya meminta agar Pak Latip membawa kami ke beberapa lubuk yang pernah saya kunjungi dahulu untuk mencuba potensinya semasa air tinggi sebegini. Hampir-hampir saya tidak dapat mengenali lubuk-lubuknya kerana 70 % kayu-kayu yang berceracak pada trip yang lalu kini telah hilang dari pandangan. Pulau-pulau sementara juga telah lenyap, tetapi air terjun kecil dan aliran air dari bukit mulai terbentuk.







      Rapala CD7

Hentian pertama ialah Air Terjun Berua yang merupakan air terjun terbesar di kawasan ini. Pada tahun lepas, Pak Latip berjaya menaikkan puluhan ekor sebarau di air terjun ini sahaja! Banyak puing-puing kayu terapung kelihatan tetapi airnya terlalu jernih, keadaan air sebegini kurang sesuai untuk mengilat. Untuk aplikasi pancingan gewang di kawasan air terjun ini, air sepatutnya keruh sedikit barulah ia berkesan mengikut pengalaman beliau.
Sebarau dari sebuah teluk di Berua ini terpedaya dengan gewang permukaan Storm Thunder Dog

Kami berpindah dan memasuki beberapa teluk dan juga mencuba di beberapa air terjun kecil tetapi hasilnya kurang memuaskan. Setakat ini hanya seekor sahaja sebarau yang menyambar gewang permukaan Storm Thunder Dog yang saya lontarkan berdekatan tebing berumput. Mungkinkah semasa paras air tinggi sebegini, sebarau telah keluar dari kawasan teluk dan mulai bermain di kawasan luar?
        Makanan asasi bagi sebarau Rapala Shad Rap 7 Goldfish

Kami berlegar-legar dan akhirnya menjumpai sebuah pulau berumput. Kelihatan kawanan sebarau sedang memburu makanan di hujung pulau sehinggakan menimbulkan fenomena boiling! Lontaran popper Duel 3D dari Cikgu Haris ke dalam kawanan sebarau terus bersambut, tetapi sayangnya mata kail cengkang dihentamnya.

Walaupun ianya terlepas dari mata kail, tetapi ini memberi petunjuk bahawa kawanan sebarau telah meninggalkan teluk-teluk dan kawasan air terjun untuk memburu mangsa di kawasan tengah empangan, lebih-lebih lagi di kawasan pulau berumput!
Cikgu Harris banyak mendapat sambaran menggunakan Rapala Fat Rap 5 cm Crawdad ini. Gewang berbentuk “tembam” ini sesuai dimainkan di luar kawasan berumput yang berair agak dalam

CERGAU

Petangnya kesemua 5 bot fiber kembali ke houseboat dengan hasil 4 ekor sebarau sahaja! Berdasarkan hasil yang menghampakan ini, Pak Latip menyarankan agar kami terus berpindah ke Cergau pada petang itu juga, untuk menjimatkan masa berbanding bergerak pada keesokan harinya.







    Rapala Fat Rap Glass

Malam pertama di Cergau, hujan mulai melanda, tetapi ianya bukanlah selebat yang kami harapkan dan ia turun hanya sekejap sahaja. Walaupun begitu kesejukannya begitu menusuk sehingga ke tulang hitam sehinggakan kesemua orang berselimutkan sleeping bag hingga ke paras leher. Mudah-mudahan keesokan paginya semasa suhu sejuk hasil dari hujan yang melanda pada malam ini, sebarau di Cergau ini akan lebih aktif!
Rapala CD7 FireTiger antara gewang-gewang yang masih boleh dipertaruhkan semasa sebarau semakin sukar untuk dipujuk dengan gewang lain

Keesokan paginya kesemua bot fiber keluar dengan misi menggempur setiap pulau-pulau berumput yang timbul di pertengahan empangan. Kawasan berumput yang menjadi tempat tumpuan sebarau ataupun toman mengendap mangsa ini, terjadi hasil dari penenggelaman bahagian pulau. Manakala puncak tertingginya yang tidak terendam sepenuhnya itu memudahkan pemancing mengesan kedudukannya.

Seawal pagi sebegini, popper dan gewang permukaan adalah cara terbaik untuk mengejutkan sebarau yang menunggu sarapan paginya. Saya dan Lee bergegas ke sebuah air terjun kecil meninggalkan Peter yang sedang menduga kawasan pulau berumput. Di air terjun tersebut saya menerima 2 letupan pada gewang Megabas Dog-X tetapi rabut. Mungkin juga ianya dari sebarau bersaiz kecil. 
Dagu dari Jengka turut menyertai K.L.C untuk trip Kenyir tahun 2008 dulu

Selain dari mensasarkan pada kawasan pulau berumput, hujung tanjung yang mempunyai rumput separa tenggelam juga menjadi tempat utama mengilat. Di kawasan ini, penggunaan gewang selaman dalam seperti Rapala CD7, Fat Rap, Shad Rap, X-Rap Deep, Duel Woburu, Berkley Frenzy dan juga gewang gemercing seperti Rapala Rattlin memang berkesan menggoda sebarau yang bersembunyi. Kebanyakan hujung teluk adalah drop-off yang agak dalam, berdasarkan perubahan warna airnya. Kemungkinan besar, sebarau banyak berlegar di kawasan dalam ini untuk mengendap anak-anak ikan yang mencari makan di kawasan tohor yang berumput ini.







       Rapala X-Rap Deep

Penekanan pada 2 kawasan ini membuahkan hasil yang agak memuaskan dengan jumlah tangkapan sebarau sebanyak 35 ekor dan 2 toman dengan hasil terberat ialah spesimen 1.6 kg berukuran 51 cm. Walaupun bagi Pak Latip ianya jauh berbeza berbanding trip-tripnya 2 - 3 tahun yang lepas, tetapi bagi rekod saya, ianya menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan trip bulan lalu.







       Di sebuah lubuk Cergau, Jagung dan rakan botnya menerima 11 sambaran dari sebarau!

MENTONG

Trip kami masih berbaki sehari setengah jadi kami berpindah ke lokasi terakhir iaitu Mentong. Setengah hari pertama di sini lebih kepada acara recce kerana kebanyakannya tidak biasa dengan lokasi ini. Bertemankan GPS, bot yang dipacu Peter merantau jauh sehingga menghampiri kawasan Taman Negara. Di sebuah teluk kecil memanjang, Erawan  menerima henjutan kasar dari sebarau perkasa yang membawa tali tanpa henti sehingga sejauh 60 kaki dari bot, sebelum ia dapat mencapai reba berhampiran tebing!
Toman semasa ini amat kurang aggresif malah jarang-jarang timbul untuk mengambil udara. Pemburuannya menjadi sukar kerana ia menghilang diri terlalu lama sehinggakan bosan untuk menunggunya muncul kembali

Saya yang pernah berkunjung ke sini masih mengingati beberapa lokasi walaupun ianya sudah jauh berbeza akibat ditenggelami air. Sayangnya, lubuk permainan toman Mentong ini sudah jauh di bawah permukaan air. Cuaca yang sejuk akibat hujan juga menyebabkan toman tidak aktif timbul ke permukaan. 
       Storm Thunder Dog

Petangnya saya meminta Kaduk (boatman), agar membawa saya dan Dagu ke Sungai Malur yang terletak di sebelah kiri Mentong. Pada tahun lepas banyak air terjun kecil terbentuk lantas ia menjadikannya antara lokasi berpotensi dan di sini jugalah saya mendapat spesimen terbesar sepanjang 52 cm.  Walaupun air belum cukup tinggi seperti tahun lepas tetapi sudah terdapat 5 - 6 air terjun kecil yang terbentuk dan kami berhenti untuk menduga setiap satunya. Dagu  menerima 2 sambaran dan sementara gewang Rapala X-Rap Deep saya diterkam sebarau semasa melintasi sebatang balak tenggelam berhampiran rimbunan pokok buluh.
Sebarau Mentong yang diperdaya dengan Ultraman

PENGALAMAN PAK LATIP

Mengapa trip ini tidak mencapai tahap yang diinginkan semasa tengkujuh Kenyir adalah perkara yang paling kami ingin ketahui dan jawapannya ada pada Pak Latip yang sudah puluhan tahun menjadi boatman di sini. Perkara paling utama ialah hubung-kait antara musim mengempas spesies ikan air tawar dan hujan. Pertamanya, hujan sudah bermula pada awal bulan Disember tetapi ianya tidak selebat yang diharapkan. Ia juga berlaku ON & OFF iaitu tidak setiap hari, lantas dalam jangkamasa sebulan air tasik ini hanya naik sebanyak 3 meter (hampir 10 kaki) sahaja. 
     Perhatikan sebahagian dari rumput separa tenggelam yang masih berwarna hijau di belakang Pak Latip. Ini menunjukkan air masih baru digenangi, tetapi kenapa sebaraunya kurang aktif?

Tidak seperti tahun-tahun yang terdahulu, sepatutnya dalam pertengahan bulan Disember sebegini, paras air sudah mencapai tahap maksima dan lebih banyak kawasan ditenggelami air. Bila ia terjadi maka kawasan berpotensi semakin banyak dan sebarau juga lebih senang dijejaki. Sayangnya pada tahun ini air masih belum mencapai tahap bagus untuk memancing sebarau Kenyir.

Perkara ke dua ini juga berkaitan dengan hujan. Ketika kunjungan ini, hujan kerap berlaku tetapi ianya turun sekejap sahaja. Menurut Pak Latip, hujan yang diinginkan ialah hujan lebat berpanjangan selama 2 jam atau lebih dan berhenti! Jika hujan lebat sebegini berlaku, bila ianya berhenti sahaja, maka secara automatik akan berlaku aliran air dari  bukit ke dalam sungai / empangan. Semasa inilah banyak serangga ataupun makanan lain yang akan hanyut turun dari bukit. Sebarau akan berkumpul di kawasan aliran air / air terjun kecil ini untuk menunggu makanannya.
Toman-toman Mentong telah bertukar ke warna asal berbanding berwarna hitam pekat semasa musim kemarau dahulu
Rapala Fat Rap Balsa 7

Perkara ke tiganya ialah ikan masih mempunyai telur. Kebanyakan sebarau mahupun lampam yang ditangkap masih mempunyai telur di dalam perutnya. Bila perkara ini berlaku ia menunjukkan, spesimen ikan air tawar ini masih belum habis mengempas telur dan hujan lebat atau banjir besar akan berlaku sekali lagi. Petua ini adalah hasil pengalaman orang-orang tua Kuala Berang dan ianya dijadikan pedoman paling penting oleh ramai pengusaha boatman Kenyir termasuklah Pak Latip sendiri. Ini bermakna seandainya air belum meningkat di Kenyir pada pertengahan bulan Disembers semasa kunjungan saya ini, mungkinkah ia akan berlaku pada hujung bulan Disember ataupun berlanjutan sehingga Januari tahun 2009?

Dibawah adalah rekod yang saya kumpulkan untuk perbandingan 2 trip sebelum dan semasa tengkujuh. Ada sedikit peningkatan walaupun tidak seperti yang diharapkan. Semasa saya sedang menyiapkan artikel ini, penyampai berita Bulettin Utama TV3 mengatakan hujan lebat yang dijangka membawa bencana banjir akan melanda negeri-negeri Pantai Timur bermula 23 Disember 2008 dan Amaran Tahap Jingga akan dikeluarkan. Nampak gayanya saya peru berkejar sekali lagi ke Kenyir pada masa tersebut untuk sekali lagi membuat rekod perbandingan!

TANGKAPAN / LOKASI LAWATAN SEBELUM MONSUN

HARI
CUACA
TANGKAPAN
JUMLAH
LOKASI
1
Panas / Hujan
Toman = 4           Sebarau = 0
4
Lata Berua
2
Panas
Toman = 2           Sebarau = 6
8
Lata Berua / Cergau
3
Panas
Toman = 3           Sebarau = 2
5
Cergau / Mentong
4
Panas
Toman = 0           Sebarau = 3
3
Mentong

JUMLAH
Toman = 9           Sebarau = 11
20



TANGKAPAN / LOKASI LAWATAN SEMASA MONSUN

HARI
CUACA
TANGKAPAN
JUMLAH
LOKASI
1
Mendung/Hujan
Toman = 0        Sebarau = 4
4
Lata Berua
2
Mendung/Hujan
Toman = 1        Sebarau = 31
32
Cergau
3
Mendung/Hujan
Toman = 1        Sebarau = 2
3
Cergau / Mentong
4
Mendung/Hujan
Toman = 5        Sebarau = 11
16
Mentong

JUMLAH
Toman = 7        Sebarau = 48
55

0 comments:

Post a Comment