Sudikan Diri Menjadi follower...

Thursday, August 5, 2010

Serigala Jeram Tujuh

Thursday, August 5, 2010

SERIGALA JERAM PUTEH

Tersorok di hulu Kemaman, tersimpan sebuah sungai berjeram deras di Kampung Air Puteh yang masih mempunyai stok serigala sungai yang mencecah skala 5- 6 kilogram, yang berlindung di sebalik arus deras jeram menanti gelekan gewang.

Sewaktu ketibaan kami ke Kuantan untuk mengilat raja muara di sebuah muara yang terkenal dengan siakap belasan kilo, kedatangan kami disambut dengan hujan yang amat lebat sekali.  Apalah malangnya nasib kerana sebelum ini Kuantan telah hampir 3 minggu tiada hujan dan kedatangan hujan secara tiba-tiba menyebabkan kami terpaksa mencari alternatif lain untuk melabuhkan pancing. Nasib baik kenalan di sana mengaturkan trip lencongan ke Sungai Air Puteh untuk mengilat sebarau. Errr…Air Putih, kat mana tu?

Air Puteh

Keesokan paginya kami bertolak dari Kuantan dan menurut Peter, lokasi pancingan ialah sebuah sungai berjeram yang terletak di hujung kampung bernama Air Puteh dalam daerah Kemaman, Terengganu. Perjalanan dari Kuantan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda mengambil masa hampir satu jam.

Dalam keheningan pagi kami tiba di sebuah kampung yang permai dan suasana udara segar yang nyaman sekali. Selepas bersarapan dan membungkus bekalan untuk makan tengahari di dalam hutan nanti, perjalanan diteruskan dan hanya mengambil masa 15 minit untuk ke hujung kampung. 

Habis sahaja jalan tar di hujung kampung, perjalanan tanah merah dan mendaki bukit bermula. Keadaan jalannya tidaklah teruk sangat dan boleh dimasuki oleh kenderaan biasa lain melainkan semasa hujan, kenderaan pacuan 4 roda diperlukan untuk mendaki bukit yang licin. Kurang dari satu jam perjalanan kami sudah sampai ke lokasi dan perlu melakukan sedikit trekking untuk ke sungainya.

Casting Jeram Deras
Rasa macam tidak percaya, perjalanan sesingkat ini ke sungai yang dekat dengan penempatan manusia boleh menemukan pemancing dengan sebarau-sebarau bertaraf badong. Perjalanan meredah hutan juga tidaklah teruk sangat dan kami hanya menyusuri tebing sungai sahaja untuk ke lokasi.

Lubuk pertama hanya terletak 15 minit perjalanan dan sesampai sahaja, Peter tersenyum gembira melihat keadaan air yang sedikit keruh. Istilah pengilat ‘keruh bulu kera’, jadi  ianya paling sesuai untuk mengilat berbanding keadaan air yang jernih kristal.

Sungai-sungai di sini semuanya berjeram dan kurang kawasan air tenang yang panjang dan luas, jadi pemancing perlu berdiri di belakang jeram dan membaling gewang agar hanyut dibawa arus. Biasanya sebarau yang menghuni kawasan berjeram ini kebanyakannya bersaiz besar dan mempunyai tenaga yang luar biasa. Berbeza dengan saudaranya yang mendiami kawasan berair tenang ataupun tasik.

Secara asasnya, sebarau jeram mempunyai kudrat yang lebih kerana kebanyakan masa mereka dihabiskan dengan menongkah arus, walaupun ketika berdiam diri menanti masa di bawah jeram yang mana airnya menderu laju sepanjang masa.


Gewang Tenggelam Atau Timbul
Kami meneruskan perjalanan dan berhenti bila terdapat jeram-jeram yang cantik dan berpotensi. Jarak perjalanan menyusuri tebing sungai dari lubuk ke lubuk hanya sejauh 15 – 20 minit sahaja dan kami mencuba di setiap jeram yang ada.

Gewang-gewang killer bagi pemancing geng Kuantan ini ialah Rapala Shad Rap jenis tenggelam bersaiz 5 – 9 cm. Selain dari senjata pembunuh siakap di muara-muara sekitar Kuantan, gewang-gewang yang sama juga dipersembahkan kepada serigala Air Puteh ini. Seperti juga mengilat siakap di muara yang berair deras, mengilat sebarau juga di kawasan berjeram yang pasti airnya lebih laju dari muara.

Berdasarkan konsep yang hampir sama di mana keadaan air tempat mengilat yang laju dan ini akan menyebabkan gewang jenis ringan dihanyutkan arus. Oleh itu mereka lebih selesa menggunakan gewang kepercayaan mereka  yang paling famous iaitu Rapala Shad Rap jenis tenggelam. Warna kegemaran sebarau-sebarau di sini adalah berwarna fire tiger iaitu warna hijau kekuningan.

Mengikut pengalaman mereka, gewang jenis ini mudah tenggelam bila dilontar atau dihanyutkan ke jeram. Konsep mereka berkait rapat dengan ‘time frame’ ataupun masa sesuatu gewang itu tenggelam. Katakanlah dua gewang yang berbeza berat di baling ke tempat yang sama dan sebarau pula berada di tempat yang sama juga. Bila kedua–dua gewang tadi di baling dan jatuh ke dalam air, mereka mulai tenggelam. Gewang yang berat akan lebih cepat tenggelam di kawasan labuhan manakala gewang yang lebih ringan akan dihanyutkan, tersasar dan tenggelam perlahan-lahan meninggalkan tempat di mana sebarau tadi berada.

Dalam kes sebegini, gewang berat yang tenggelam dengan cepat tadi akan terlebih dahulu memasuki strike zone sebarau lantas mencetus sambaran darinya. Malah berat badan pada gewang jenis tenggelam adalah lebih berat jika dibandingkan dengan gewang timbul. Ini juga suatu kelebihan kerana ia lebih cantik bila beraksi di dalam arus deras tanpa menyenget atau mengiring. Perkara sebaliknya terjadi kepada gewang timbul yang ringan.

Bonus Anak Ikan
Seandainya ketika mengilat, ada pula keadaan di mana kelihatan anak-anak ikan melompat cuba melintasi jeram, waktu inilah anda akan strike jackport! Semasa keadaan sebegini  pasti terdapat sebarau besar sedang berlegar dan menunggu untuk menyambar anak-anak ikan tadi. Jadi kalau anda terserempak dengan senario sebegini, hulurkan sahaja gewang di jeram tersebut dan pasti akan ada sebarau besar yang tergoda gewang anda nanti. 

Permainan sebarau besar di kawasan jeram agak berbeza kerana jika ia menyambar gewang secara tiba-tiba anda akan merasa tali akan kendur dan menongkah arus. Ketika ini pastilah ada bapak sebarau yang telah mengonggong gewang kepercayaan anda itu.

Untuk sebarau bersaiz besar, serigala ini biasanya bersendirian (lone ranger) , walaupun begitu jika terjerat spesies sebegini memang berbaloi untuk merasai perlawanannya.
 Selain dari mengilat di belakang jeram, lontaran gewang juga ditujukan ke bahagian bawah jeram di hujung kawasan  buih air. Ianya merupakan  tempat strategik untuk sebarau berkumpul untuk menunggu mangsa yang hanyut dibawa arus

      Hasil mengilat oleh David menggunakan gewang Rapala Shad Rap jenis tenggelam (sinking) di kawasan jeram berarus laju.

    Seandainya terjumpa senario sebegini di kawasan jeram, di mana terdapat anak-anak ikan sedang melompat melintasi jeram dan menongkah arus, inilah masa “bonus” kerana memang pasti ada sebarau besar yang sedang menanti di jeram tersebut.

       Di jeram inilah David mendapat trofinya, gewang hanya dilepaskan ke dalam jeram dan arus akan menghanyutkannya. Penggunaan gewang jenis tenggelam perlu di kawasan berair deras sebegini kerana berat badan gewang tersebut akan mengekalkan aksinya.

      3 ekor sebarau bersaiz sebegini untuk aktiviti mengilat di sungai yang berada tidak jauh dari kawasan penempatan manusia adalah sesuatu yang membanggakan.


 Selain dari gewang Rapala Shad Rap, gewang Duel Hard Core ini juga merupakan killer bagi sebarau Sungai Air Puteh

 Duel Hard Core berwarna fire tiger ini dilontarkan hanya beberapa kaki dari tempat David berdiri dan menggoda sebarau yang sentiasa menunggu di bawah air deras ini

Sesudu masih mendapat tempat di hati sebarau walaupun berbagai jenis gewang berbadan keras (hard bodied lures) digunakan sekarang ini untuk menggantikannya

1 comments:

Unknown said...

nice info sharing admin..btw ape nama kg yg dekat situ.?.klaw kg dadong tu kg mak sy..😀

Post a Comment