LARANGAN AKTIVITI MEMANCING DI ESPLANADE KUANTAN
Semalam 11/10/2010 khabar-khabar angin mengatakan yang Majlis Perbandaran Kuantan @ MPK telah menguatkuasakan larangan aktiviti memancing di sepanjang kawasan benteng Esplanade. Khabar angin yang amat menyinggung dan mengguris perasaan ramai kaki-kaki pancing disekitar bandar Kuantan ini. Larangan yang diibaratkan seperti 'marahkan nyamuk kelambu dibakar' ini merupakan tindakbalas atas sikap pemancing-pemancing itu sendiri yang kurang prihatin tentang penjagaan kebersihan selepas aktiviti memancing dilakukan. Sampah daripada bungkusan makanan dan puntung-puntung rokok bertaburan dan tak kurang juga sisa-sisa umpan yang ditinggalkan membusuk yang telah menimbulkan rasa kurang senang oleh pengunjung lain yang datang untuk bersiar-siar.
Mohon Penarikan Balik Arahan Larangan Memancing
Ramai kaki pancing terutamanya kaki-kaki casters (gewang) merayu dan memohon agar arahan larangan memancing yang di kuatkuasakan ini dapat ditarik balik. Seharusnya pihak MPK mengambil tindakan terhadap pemancing atau pengunjung yang membuang sampah dengan sesuka hati. Tindakan kompaun atau denda harus dikenakan keatas pesalah-pasalah ini dan tindakan melarang aktiviti memancing hanya akan memudarkan kemeriahan disekitar benteng Esplanade itu sendiri. Ini kerana hampir setiap malam minggu aktiviti pertandingan memancing selalu di adakan dan ianya mendapat sambutan yang hangat oleh kaki-kaki pancing. Seharusnya pihak MPK mengenakan yuran atau levi keatas peserta-peserta pertandingan memancing dan wang yang diperolehi bolehlah digunakan untuk kerja-kerja pembersihan. Disamping itu kaki-kaki pancing juga seharusnya bersama-sama berganding bahu dengan pihak MPK untuk menjaga kebersihan dan keindahan Bandar Kuantan amnya dan kawasan Espalande khasnya. Penjagaan kebersihan ini bukan sahaja terhad dikawasan Esplanade malah kebersihan sungai Kuantan juga haruslah dipelihara.