Sudikan Diri Menjadi follower...

Monday, January 24, 2011

EBEK & CUPAK KAPAL 19

Monday, January 24, 2011
2 comments

Nilam Puspa banyak memperkenalkan lokasi-lokasi terbaru yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana majalah memancing tempatan. Ia bermula pada tahun lepas dengan pancingan di Tukun Darat, Lopak dan Batu Laut, Pelantar Minyak Cakerawala, KOD 23 dan terbaru saya dibawa ke Kapal 19. Ianya satu lagi lokasi yang dihuni spesies seperti ebek bulat, tenggiri, cupak dan ebek kapak! Yaaa…ebek kapak, akhirnya kami berjaya menemui spesies perkasa ini setelah sekian lama mencarinya menggunakan kaedah jigging!

Monsun Timur Laut biasanya akan reda bila menjelang Chop Goh Mei iaitu selepas Gong Xi Fa Chai pada setiap tahun. Inilah panduan atau petua yang selalu diguna pakai oleh para nelayan selama ini. Tetapi perubahan cuaca dan iklim dunia kini telah banyak memberi kesan kepada kebiasaan ini dan ia juga telah melanjutkan musim monson sehingga melepasi waktu yang sepatutnya.

Perkara ini juga telah merencatkan perancangan saya dan Yusri yang telah merancang untuk menduga perairan Kelantan sejurus sahaja musim monsunnya mulai reda. Ianya telah dirancang pada tahun lalu lagi tetapi beberapa kali pindahan tarikh terpaksa dilakukan kerana ombak masih kucah dan ribut masih melanda. Perancangan untuk menduga lokasi terbaru yang masih belum dipaparkan dalam majalah memancing sememangnya mengujakan saya dan juga geng KLC. Sementelahan pula Nilam Puspa telah lama “bercuti panjang”, ia telah dibaik-pulih, dicat baru dan pagar keselamatan juga telah dipasang. Ini tentunya amat kami nantikan kerana ianya akan memberi lebih keselesaan.

KAPAL 19

Lokasi kali ini adalah sebuah kapal karam yang dinamakan Kapal 19, terletak hampir 6 jam perjalanan dari Tumpat. Pada mulanya saya menyangkakan bahawa bahawa nama lokasi ini diambil dari nama kapal yang tenggelam tersebut, seperti mana POW untuk PrinceOf Wales, Russian Wreck untuk kapal karam Russia ataupun sebagainya. Rupa-rupanya bila ditanya pada Yusri, beliau menerangkan bahawa lokasi padang pancing di perairan Kelantan ini biasanya dinamakan mengikut bot nelayan yang menjumpai lokasi tersebut.

Mengikut ceritanya, Kapal 19 ini merupakan sebuah kapal perang yang berukuran lebih dari 100 kaki panjang dan tenggelam semasa Perang Dunia Ke-2 dahulu. Namun begitu  tidak pula diketahui sejarah asal kapal perang ini dan kemungkinan besar ianya salah sebuah kapal pengiring British yang telah ditenggelamkan oleh junaman juruterbang Kamikaze tentera Jepun!

Kapal karam ini telah ditemui oleh seorang nelayan dari Tumpat dan bot beliau bernombor 19, lantaran itu lubuk ini beliau namakan sempena nombor bot miliknya itu. Dari situlah padang pancing ini mendapat namanya. Begitu juga kisahnya dengan KOD 23 yang mashyur dengan kejayaan jigging kami yang banyak membuka mata bahawa perairan Kelantan juga mempunyai spot jigging yang menarik. Sebelum ini tidak ramai yang mempraktikkan gaya pancingan moden ini di Kelantan dan kebanyakan hanya menumpukan kepada pancingan dasar sahaja. KOD 23 ini mendapat nama bila Ropie, tekong Nilam Puspa menjumpai kapal karam ini, dan ia juga diberi nama berdasarkan nombor bot Nilam Puspa iaitu 23.

PANCING DASAR EBEK BULAT

Seperti mana biasa, kami akan bertolak pada sebelah petang bila turun ke laut. Ini adalah kebiasaan bagi perkhidmatan sewa bot memancing di kawasan Tumpat. Ini kerana pemancing perlu mencari umpan terlebih dahulu di kawasan unjam dan pada malamnya kami akan mencandat sotong untuk umpan hidup. Saya perhatikan pancingan dasar di sini amat memerlukan umpan segar ataupun lagi baik jika menggunakan umpan sotong hidup. Ini merupakan satu kelebihan kepada bot Nilam Puspa kerana ia mempunyai tong simpanan umpan hidup. Jika menggunakan umpan pasar, maknanya “berjanggutlah“ untuk menunggu sentapan kerana ikan-ikan di sini amat memilih sekali!

Pancingan dasar pada waktu malam lebih mendominasi hasil pancingan jika dibandingkan dengan aplikasi jigging. Pancingan di kawasan kapal karam sebegini selalunya untuk mencari jenahak tetapi selama kunjungan saya, amat kurang spesies emas bertompok satu ini berjaya didaratkan. Mungkin juga populasinya tidak sebanyak di Selat Melaka seperti perairan Pulau Pinang ataupun Kedah. 

Oleh itu ikan sasaran seterusnya adalah ikan ebek bulat. Spesies ini lebih mudah didapati di kawasan kapal karam dan umpan terbaiknya adalah sotong hidup. Saya dapati sotong hidup yang dihulurkan tidak akan mengambil masa yang lama untuk memerangkap spesies yang kuat melawan ini. Selain itu sotong segar yang dihiris secara juraian memanjang juga boleh digunakan seandainya kehabisan sotong hidup.
Cabang ekor lebih besar berbanding ebek bulat

JIGGING CUPAK

Aktiviti jigging pada waktu malam pula mensasarkan kepada spesies cupak sahaja kerana kebanyakan spot yang kami kunjungi lebih sinonim dengan ikan ini. Belum pernah lagi kami mendapat spesies lain seperti jenahak, kerapu, tenggiri atau ebek ketika jigging waktu malam sebegini.  Aneh juga kerana acap kali juga kami memperolehi ebek bulat menggunakan kepingan jig di lokasi yang sama pada waktu siang hari, tetapi bila malam begini jig langsung tidak mendapat perhatian. Mungkin juga faktor deria bau lebih berkesan pada waktu malam untuk ebek bulat mencari makan, oleh itu umpan hidup lebih mudah dikesannya.

Jig luminous seperti Yo-Zuri Blanka Super Luminous merupakan antara kepingan jig terbaik untuk menggoda cupak, spesies yang suka berlegar di pertengahan hingga ke permukaan air ini. Kombinasi kilauan luminous dan juga warna pink merupakan jig yang paling berkesan semasa kunjungan kami. Balingan yang jauh melepasi cahaya lampu dari bot merupakan antara cara terbaik untuk memperolehi rembatan darinya. Walaupun dari segi hidangan, cupak tidaklah begitu mendapat perhatian, namun begitu cupak merupakan spesimen yang kami cari-cari pada sebelah malam kerana daya juangnya yang kuat. Jika menggunakan set jigging PE1 – 3, ataupun PE 2 – 4, ianya akan memberi perlawananan yang cukup menyeronokkan.

JIGGING EBEK KAPAK DAN TENGGIRI

Bila awal pagi menjelma, ia saat yang dinanti-nantikan kerana waktu inilah antara masa terbaik untuk melakukan acara jigging. Kebanyakan spesies pemangsa mulai aktif semasa ini, lebih-lebih lagi di kawasan kapal karam seperti mana kami berlabuh ini.

Lee yang berada di depan bot telah mulai mengunjun jig berwarna Owner berwana pink luminous. Beberapa kali sahaja unjunan ia telah disambar sesuatu, besar juga mangsa kali ini jika dilihat pada lenturan joran Tenryu JigZam PE 3 yang beliau gunakan, tali juga diperah berkali-kali dari kekili Shimano Sustain. Pembuka hari yang cukup bagus kerana bila mangsa berjaya didaratkan ianya merupakan spesies ebek kapak yang gadang.

Akhirnya setelah berkali-kali turun ke perairan Kelantan bersama Nilam Puspa, inilah kali pertama kami berjaya mendaratkan ebek kapak. Selama ini hanya saudaranya sahaja iaitu ebek bulat yang membaham jig kami.

Beberapa jig telah putus bila diunjun menghampiri pertengahan air, ianya berkemungkinan besar perbuatan tenggiri kerana  kawasan yang mempunyai struktur kapal karam sebegini merupakan kawasannya mencari makanan. Lee yang berada di depan bot sekali lagi berjaya mendapat sambaran. Kali ini pastinya tenggiri yang terjerat kerana gaya larian yang laju dan pantas berlainan sekali dengan gaya larian ebek.

Namun begitu, disebabkan beliau hanya menggunakan assist hook kami amat berharap agar cangkukan mata kail berlaku di celah antara gigi tenggiri. Sekiranya mata kail mengenai bahagian ini, maka peluangnya untuk memutuskan tali kevlar lebih tipis dan berkemungkinan besar tenggiri ini berjaya dinaikkan.

Nasib Lee sememangnya amat baik kali ini kerana ia berjaya mendaratkan tenggiri yang bersaiz membanggakan ini. Walaupun hari ini bermula dengan baik tetapi angin mulai bertiup kencang dan alun mulai terbentuk. Ini petandanya angin monsun belum reda sepenuhnya. Alun yang semakin kuat juga menyebabkan bot sukar dikekalkan di kawasan tukun kapal. Ini akan menyebabkan jig yang dihulurkan akan tersasar dari perimeter ikan berada lantas mengurangkan peluang mendapatkan ikan.

Fenomen alam yang tidak mampu ditolak oleh kami ini menyebabkan kami beralah. Bot berpindah untuk melakukan pancingan lopak, sayangnya arus dasar pula terlalu laju menyebabkan umpan akan hanyut jauh dan tersasar dari lopak. Ia juga satu keputusan pancingan yang tidak memihak pada kami. Dalam situasi sebegini, gandingan angin, alun dan arus yang laju bukannya keseronokan bila memancing dengan apa aplikasi sekali pun tidak kira jigging, berhanyut ataupun pancingan dasar. Oleh itu balik ke jeti merupakan keputusan paling baik dan merancang trip seterusnya merupakan jalan penyelesaian yang paling bagus.










      

       

    read more

    Thursday, January 6, 2011

    HARDCORE SH-60SP

    Thursday, January 6, 2011
    2 comments
        Dalam dunia mengilat pemilihan gewang adalah factor yang penting untuk meningkatkan peluang untuk mendapatkan tangkapan. Gewang Duel/Yo_Zuri Hardcore SH-60SP antara koleksi gewang yang terbaik yang harus dimiliki oleh kaki-kaki mengilat. Gewang yang bersaiz kecil berukuran 6cm dan mempunyai berat 5gram amat sesuai dipadankan dengan joran berkekuatan 8-15paun kebawah dan reel bersaiz 50 atau 100. Dikeluarkan dengan 19 koleksi warna dan dijual dengan harga Rm28-RM35 dikebanyakan kedai-kedai pancing di seluruh Malaysia.
    ANTARA KOLEKSI GEWANG YO_ZURI HARDCORE SH-60SP

    AKSI GEWANG YANG BANYAK MEMBUNUH MANGSANYA

    Spesifikasi:

    CAT.NO.
    TYPE
    SIZE
    WEIGHT
    HOOK
    SH-60SP
    F677-
    Suspend
    60mm
    .5g (1/4oz)
    BN#8
    SH-75SF
    F746
    Slow Floating
    75mm
    10g (3/8oz)
    BN#6


    Antara koleksi ikan yang berjaya dipancing menggunakan gewang hardcore ini..
    Siakap merah yang berjaya dipujuk dengan menggunakan gewang hardcore SH-60SP kod warna HGBL (HOLOGRAPHIC BLUEGILL)

    MB bersama siakap merah yang diperdaya dengan hardcore SH-60SP kod warna HGBL (HOLOGRAPHIC BLUEGILL)

    Bada gewang yang berkilat banyak memikat sang ikan, lebih-lebih lagi sikap merah yang garang ni

    Siakap merah yang terpikat dengan gelekan hardcore SH60-SP kod warna 
    HT (Hot Tiger)

    read more

    Tuesday, January 4, 2011

    Menjejak Talisman

    Tuesday, January 4, 2011
    0 comments
    Inilah Pelantar Talisman



    Semakin lama kami mengikuti trip anjuran Yusri Nilam Puspa, semakin banyak pula pelantar-pelantar minyak yang dahulunya tidak pernah kami dengari kini berjaya dijejaki. Salah satunya adalah Pelantar Talisman yang terletak sejauh 275 km ataupun kalau dikira masa perjalanannya, ia mengambil masa 32 jam dari jeti Tumpat! Ianya satu lagi epik kembara lautan yang memenatkan dengan hasil yang sukar dijangkakan. Namun begitu pengalaman yang dikutip adalah lebih penting berbanding hasil yang kami perolehi untuk perjalanan sejauh ini!

    Bila Yusri mengusulkan untuk menduga perairan Pelantar Talisman yang terletak berhampiran sempadan Kelantan – Vietnam, perkara pertama yang terlintas di fikiran kami adalah; PENAT. Sudah dapat mengagak pasti perjalanannya akan mengambil masa yang terlalu panjang dan hasilnya tidak tentu lagi bagaimana jawapannya?
     Inilah bot Nilam Puspa yang kami gunakan, ianya antara bot yang amat selesa

    Akhirnya kami berjaya juga sampai ke lokasi tujuan kami. Ini antara salah satu satelite Talisman yang kami cuba

    Geng Kuantan Lure Casters (K.L.C) iaitu  Sabri, Mie Bingo dan Lee Benteng pun akan turut sama melengkapkan kompeni ini.

    Kami juga diberitahu oleh Yusri bahawa trip julung kali ke Talisman ini juga akan turut disertai oleh beberapa orang pemancing dari Johor yang pakar dalam pancingan dasar. Baguslah kalau macam ini, sekurang-kurangnya ada juga bottom expert dalam trip ini, kalau nak harapkan geng K.L.C untuk main bottom, nampak gayanya tak ada ikan lauklah untuk makan atas bot nanti! 
     Belitong ini berjaya Yusri perdayakan dengan kaedah jigging. Beliau menggunakan joran Tohunko tajaan dari Syarikat Sang Ling

    TIPS KEMBARA LAUTAN

    Bagi pemancing lain yang pertama kali ingin mendapatkan perkhidmatan sewa bot Nilam Puspa, ini adalah tips untuk penyediaan barangan kelengkapan makan-minum. Biasanya kami akan shopping segala peralatan makanan dan minuman di Tesco Kota Bharu kerana ia sudah berdekatan dengan pekan Tumpat. Malahan Tesco juga terletak di kawasan luar dari kesesakan bandar Kota Bharu, oleh itu ia bukan sahaja pusat membeli-belah yang selesa malah segala keperluan boleh diperolehi di sini. Apa yang pentingnya sediakan dahulu listing barangan yang ingin dibeli agar tiada barangan penting yang tertinggal.
     Belitong ini berjaya Yusri perdayakan dengan kaedah jigging. Beliau menggunakan joran Tohunko tajaan dari Syarikat Sang Ling

    Manakala untuk barangan basah lain lebih senang jika dibeli di Pasar Basah Tumpat sahaja. Dengan cara ini segala bekalan lebih mudah diperolehi dan tidak menyukarkan kami untuk membawanya ke jeti. Maklum sajalah untuk trip 5 – 6 hari di laut sebegini, bekalan makan-minum sahaja sudah tidak boleh muat lagi kereta!
    Perkara yang paling penting untuk pancingan jangkamasa panjang di laut sebegini adalah bekalan air minum, lebih-lebih lagi air mineral @ drinking water dalam kuantiti yang banyak. Contohnya untuk trip ini, kami membeli 6 kotak besar air mineral 1.5 liter. Ianya bermakna 72 botol untuk kegunaan kami 6 orang! Adakah ia keterlaluan, jawapannya adalah TIDAK, kerana air lebih bernilai dari emas jika di tengah-tengah lautan sebegini.
     Popping di pelantar belum membuahkan hasilnya, jadi Lee Benteng cuba pula untuk menggoda belitong yang sedang galak di sekelilng bot

    Air mineral perlu disediakan dalam stok yang berlebihan agar sentiasa ada sekiranya berlaku situasi yang tidak dijangkakan di laut lepas sebegini! Contohnya enjin gagal berfungsi atau sebagainya. Kebanyakan masanya ketika dalam trip tempohari, kami langsung tidak terserempak dengan satu pun bot dan kami seolah-olah bersendirian di samudera raya ini. Bayangkan kalau apa-apa yang terjadi, mana nak cekau pertolongan.  Perlu diingat bahawa badan manusia boleh bertahan seminggu tanpa makanan tetapi tidak lebih dari 3 hari tanpa air minum.

    PERJALANAN PANJANG

    Perjalanan ke Pelantar Talisman sudah dijangka akan mengambil masa yang lama, cuma kami semua tidak dapat mengagak berapa lamakah masa yang perlu kami tempohi. Di atas bot sekarang, daripada 13 orang yang ada, hanya tekong Ropie seorang sahaja yang pernah sampai ke sana, yang lainnya termasuk Yusri, tuan punya Nilam Puspa dan awak-awaknya sendiri pun belum pernah sampai ke pelantar minyak yang dikatakan terletak di sempadan Kelantan (Malaysia-Vietnam) ini!

    Untuk tidak memberi kebosanan maksima tahap gaban, pokemon ataupun power rangers, jadi tekong Ropie akan singgah di kawasan kapal karam untuk jigging, pancingan lopak untuk mencari ikan merah atau kerapu dan juga berhenti di mana-mana pelantar minyak yang ada di sepanjang perjalanan kami. Dengan cara sebegini, kami dapat memancing dahulu bagi sesi pemanas badan sebelum sampai ke Pelantar Talisman yang entah di mana bayangnya itu.
     Ternyata belitong yang menghuni kawasan pelantar ini lebih berani dan tidak takutkan deburan dari popper Yo-Zuri Surface Bull GT bersaiz 200 mm ini

    Petangnya kami mulai bergerak dan menuju ke kawasan untuk mencandat sotong sebagai persediaan umpan. Keesokan paginya kami dijangkakan akan sampai di Kapal 19 dan memancing ebek di struktur kapal karam ini terlebih dahulu. Namun hentian pertama ini juga boleh tahan jauhnya, ia terletak 107 km dari jeti dan akan mengambil masa 8 – 9 jam perjalanan!

    EBEK KAPAK KAPAL 19

    Keesokan paginya barulah kami sampai ke Kapal 19. Arus masih cantik pada waktu pagi sebegini dan masing-masing melakukan pancingan dasar berumpankan sotong hidup. Hanya beberapa minit umpan hidup ini dilabuh kan, kekii eletrik Ryobi Imae sudah disambar sesuatu yang besar. Joran Shimano Beast Master berkekuatan 30 – 50 paun juga melendut dihentam mangsa.

    Awal-awal pagi lagi Imae sudah mendaratkan ebek bulat yang berskala mencecah hampir 5 – 6 kg, ianya satu permulaan yang baik sekali untuk pancingan hari pertama ini.  Selepas itu Imae mencangkut lagi seekor sotong hidup dan dan melabuhkannya kembali. Belumpun sampai 10 minit, ia sekali lagi disambar mangsa, kali ini mungkin mangsanya lebih besar berdasarkan lengkungan joran. Imae yang baru sahaja ingin bersarapan terpaksa meletakkan kembali pinggan mee gorengnya.
    Satu-satunya GT hasil dari popping di Pelantar Jerneh semasa perjalanan balik. Inilah spesies utama yang menjadi target kami ke kawasan pelantar ini tetapi sayangnya sambutannya begitu mengecewakan

    Beliau mencapai kekili dan menekan butang, tali automatik dikarau oleh kekili eletrik ini. Selepas itu beliau menyambung kembali sarapannya sambil memerhatikan tali sehinggalah ia hampir mencecah permukaan. Senang hati betul kalau pakai khidmat “bangla“ seperti ini. Bukan apa kalau dah selalu sangat ke laut dan main jigging tetapi sekali-sekala memancing bottom, perkara paling malas ialah nak karau kekili untuk tukar umpan. Oleh itu penggunaan kekili eletrik memang praktikal untuk “orang malas“ seperti kami ini!

    Di permukaan tersembul seekor lagi ebek bulat yang lebih besar dari yang pertama tadinya. Wahh.. 2 ekor ebek kapak gadang dalam masa kurang dari 20 minit sudah kira bagus betul untuk pancingan pagi ini. 
     Yo-Zuri Surface Bull GT ternyata masih menjadi pilihan bagi memburu GT kerana ianya cukup tahan lasak dan mampu dilontar jauh ke kawasan GT bermain

    Kami harapkan agar keadaan gembira ini berpanjangan tetapi sayangnya arus mulai bertukar laju, bot semakin tersasar dari kedudukan dan ia merubah hasil pancingan. Oleh itu kami mulai bergerak dari kapal karam ini dan meneruskan kembali perjalanan ke tujuan asal.

    PELANTAR LAWIT

    Dari Kapal 19, Nilam Puspa ditala ke arah Pelantar Lawit yang terletak sejauh 53 km. Inilah pelantar minyak pertama yang akan kami singgahi, tetapi sessi pancingan mungkin hanya sepintas lalu kerana perjalanan ke Talisman masih jauh lagi.

    Perjalanan ke Lawit akan mengambil masa 4 – 5 jam perjalanan dan keadaan ombak amat baik hari ini. Ombak amat teduh dan ketiadaan alun menyebabkan perjalanan bertambah lancar, malah untuk merehatkan badan di dalam kabin juga menjadi lebih selesa kerana tiada hentakan ombak.
     Yusri ketika diasak mangsa semasa memancing dasar di Pelantar Jerneh

    Hampir pukul 03.00 petang kami tiba di Pelantar Lawit, Nilam Puspa mulai menghimpit pelantar untuk memberi peluang kepada kami melakukan acara popping. Dalam keadaan bot yang berhanyut perlahan ini, acara popping dan jigging boleh dilakukan dalam masa yang sama. Ini membolehkan kami cover ke dua-dua bahagian serentak iaitu bahagian permukaan dengan kaedah popping dan juga bahagian dasar dan pertengahan air dengan unjunan jig.
      Ebek kapak hasil pancingan malam. Seandainya arus tidak terlaju laju, mungkin lebih banyak hasil yang akan diperolehi

    Namun begitu popper yang dibaling sedekat mungkin dengan tiang-tiang penyokong pelantar langsung tidak mendapat sambutan. Mungkinkah GT-nya masih belum aktif atau juga tiada di perimeternya. Jigging juga tidak membuahkan sebarang hasil, hatta dari seekor pun kerapu yang menghuni dasar pelantar ini! Masa tidak perlu dibuang jika langsung tiada sambutan sebegini, lantaran itu bot di pacu lagi menghala ke Pelantar Jerneh. Perjalanan bermula lagi, masing-masing sudah merasa “beku” dengan perjalanan yang hanya membuahkan hasil pada sebelah paginya sahaja di Kapal 19.   



    BERMALAM DI PELANTAR JERNEH
      
    Untuk menghindari kebosanan, saya melabuhkan dua set pancing untuk trolling di bahagian belakang; kiri dan kanan bot. Gewang tundaan Yo-Zuri Bonita bersaiz 170 mm dengan wana Purple Black dan Red Yellow dilepaskan jauh. Harapan saya ialah untuk memerangkap GT yang dikatakan menghuni sekitar kawasan pelantar ini. Gewang tundaan tajaan dari Sea Tackles ini selalunya tidak menghampakan saya jika digunakan di perairan seperti Spratly dan saya membawanya untuk pancingan pelantar minyak ini bagi menguji keberkesanannya. 
    Haruan tasik antara pemangsa yang selalu berjaya dipancing pada waktu malam

    Entah berapa jam kami menunda sehinggalah menghampiri Pelantar Jerneh, masih ia tidak terusik. Nilam Puspa juga melakukan pusingan di sekeliling pelantar berkembar ini, namun ternyata gewang Bonita tidak berjaya memerangkap sebarang mangsa kali ini.

    Setelah mengharungi perjalanan sejauh 44 km dari Pelantar Lawit, akhirnya bila petang sudah hampir menjelma, kami tiba di Pelantar Jerneh. Oleh itu kami akan bermalam dan memancing di pelantar ini yang mengikut ceritanya juga tersohor dengan kehadiran GT pada waktu malam hari.
    Melayan cupak ini menggunakan joran Expert Graphite PE 0.8 – 2 dan juga dengan kombinasi kekili Shimano Twin Power 4000. Ianya satu perlawanan yang begitu mengasyikkan

    Bila gelap menjelma, kami mulai melakukan acara popping. Namun begitu apa yang peliknya, api suar yang sepatutnya menerangi pelantar tidak dipasang di pelantar ini. Api suar inilah yang kami harapkan akan memberi cahaya terang benderang dan akan menarik perhatian anak-anak ikan, sotong atau ikan umpan lainnya agar berkeliaran di sekeliling pelantar. Dengan ketiadaan ikan-ikan umpan sebegini, pemangsa besar juga pastinya kurang aktif dan ianya tentulah akan mempengaruhi hasil popping ataupun acara pancingan lainnya.

    Bila berjam-jam melontar popper dan mengunjun jig, namun langsung tiada sambutan, kami mulai surrender. Biarlah geng bottom pula mengambil gilirannya. Namun begitu arus yang deras juga tidak sesuai untuk pancingan dasar, hasilnya juga amat mengecewakan sekali. Lantaran itu bot diikat pada tiang pelantar dan semua pun mengambil keputusan untuk merehatkan badan setelah menempuh perjalanan sejauh 204 km ini!

    ARUS TERUS LAJU
     
    Keesokan paginya setelah bersarapan, arus masih lagi laju seperti semalamnya, ini menyebabkan Ropie hampir berputus asa untuk ke Pelantar Talisman. Mengikut pengalaman beliau, arus deras sebegini akan berterusan sehingga berminggu lamanya dan kami berkemungkinan besar tidak akan mendapat hasil jika terus menuju ke arah pelantar yang semakin jauh ke arah laut.

    Beliau mencadangkan agar kami berpatah balik ke kawasan yang lebih dekat dengan daratan kerana arusnya lebih sesuai untuk pancingan lebih-lebih lagi untuk melakukan pancingan dasar. Ini juga sebenarnya masalah yang akan timbul bila adanya 2 team yang berbeza konsep pancingan di atas satu bot. Bagi kami, hanya lebih mencari keseronokan dan tertumpu kepada kaedah jigging ataupun popping sahaja. Kuantiti ikan dan membawa balik hasil pancingan adalah faktor ke 2.

    Berbeza pula dengan kumpulan yang satu laginya, bila pertama kali kami menaiki bot di jeti, bila melihat beberapa tong penyejuk yang bersaiz bagak, kami sudah dapat mengagak bahawa pasti berlakunya perselisihan konsep pancingan dalam trip ini.

    Untuk tidak menghampakan team K.L.C yang begitu beria-ia bersedia dengan segala peralatan jigging dan popping mereka, saya memujuk Ropei agar terus mencuba di Pelantar Talisman. Alang-alang sudah menempuh perjalanan jauh sebegini, baik sahaja teruskan ke mana tujuan asal kami. Hasil ada atau tidak bukan lagi persoalan, tetapi kami mahu sampai dan melihat sendiri Pelantar Talisman yang diwar-warkan oleh Yusri selama ini.

    PELANTAR-PELANTAR TALISMAN
     
    Ropie, tekong yang bertolak-ansur dan menurut sahaja kemahuan kami walaupun beliau sudah masak benar dengan perangai arus laut serta sudah dapat mengagak hasilnya nanti. Namun begitu, saya sebenarnya orang yang paling lega bila beliau sanggup untuk ke Talisman. Sekurang-kurangnya saya telah memainkan peranan saya dan tidak mahu mengecewakan rakan-rakan yang begitu berharap untuk ke sana.

    Jarak perjalanan dari Pelantar Jerneh ke Pelantar Talisman adalah sejauh 63 km mengikut bacaan sistem navigasi Garmin GPS 60s. Kami dijangkakan akan sampai ke sana dalam pukul 02.00 petang, bermakna banyak masa terbuang untuk perjalanan ini. Sudah 3 hari kami berada di atas bot Nilam Puspa ini dan masa perjalanan yang ditempuhi sudah terlalu panjang jika dibandingkan dengan masa memancing dan hasilnya yang begitu kurang sekali.

    Akhirnya kami sampai juga di Pelantar Talisman, rupa-rupanya ianya adalah sekumpulan satelite pelantar-pelantar minyak yang berjumlah 5 – 6 buah kesemuanya. Talisman ialah satelite (pelantar kecil) yang terletak mengelilingi sebuah pelantar besar iaitu Bunga Raya. Rupanya pelantar berkembar Bunga Raya inilah “ibunya” dan ia kelihatan dijaga rapi oleh beberapa buah guard boat.

    Setiap kali kami berpindah dari pelantar ke pelantar kecil ini, kami dapat perhatikan guard boat ini seolah-olah memerhatikan pergerakan kami. Haluan guard boat ini akan ditala ke mana sahaja bot kami bergerak. Ia seolah-olah bersedia setiap masa untuk mengejar kami sekiranya kami merapati kawasan yang dibenarkan.

    BELITONG YANG BERANI
     
    Kini hasrat kami telah tercapai untuk melihat sendiri pelantar yang terletak begitu hampir dengan sempadan Vietnam ini. Namun begitu hasil pancingannya belum tahu lagi bagaimana. Tetapi berdasarkan maklumat dari Ropie yang mengatakan bahawa keadaan arus deras ini kurang bagus untuk pancingan, maka kami tidak lagi menaruh harapan yang begitu tinggi.

    Kami menemui segerombolan ikan-ikan belitong ketika memancing berdekatan satelite Talisman dan juga ketika sebahagian dari kami sedang mencari umpan hidup. Umpan ikan hidup yang baling ke arahnya mudah sekali disambut oleh ikan yang turut dikenali sebagai ikan golok awak, dorado ataupun mahi-mahi ini.

    Kepantasannya melarikan tali dan lompatan-lompatannya begitu menghibur kan hati setelah sudah 4 hari kami ketandusan hasil pancingan. Kesediaannya yang bukan sahaja menyambar umpan hidup, malahan jig dan popper juga menambahkan keceriaan kami.

    Apa yang peliknya, ikan ini berterusan membaham umpan yang dihulurkan walaupun ada ketikanya ada juga spesies ini yang rabut. Biasanya jika di kawasan unjam berdekatan darat ataupun pulau, seandainya salah seekor dari ikan ini telah rabut, maka sekumpulan darinya akan turut melarikan dari dari kawasan pancingan.

    Ataupun mungkinkah disebabkan kumpulan belitong ini berada begitu jauh dari daratan dan jarang sekali dipancing, maka ianya tidak takutkan kehadiran pemancing seperti kami dan tidak bermasalah seandainya bila kumpulannya sudah berkurangan akibat dipancing ataupun kurang sensitif walaupun ada member-nya yang telah terpancing dan berjaya meloloskan diri!

    MASA UNTUK CUPAK
     
    Bila malam menjelma, acara jigging cupak tentulah menjadi pembuka acara. Bot yang dirapatkan ke pelantar hanya menunggu masa gelap sahaja untuk kami merasai tentangan spesies dari keluarga travelly ini merentap jig luminous yang dihulurkan. Masing-masing cuba menggunakan set jigging paling ringan untuk merasai setiap larian cupak.

    Untuk memaksimumkan kepuasan, saya hanya menggunakan joran jigging Expert Graphite PE 0.8 – 2 yang dikombinasikan dengan kekili Shimano Twin Power 4000 dan tali sulam 30 paun. Saya melontar sejauh mungkin jig Yo-Zuri Blanka Super Luminous seberat 60 gram ke kawasan gelap dan membiarkannya tenggelam seketika. Selepas itu ia dihenjut laju dan dalam beberapa karauan sahaja ia terus bersambut.

    Mencicit kekili saya ini bila ditekan cupak pelantar minyak yang kebanyakannya bersaiz memuaskan hati bila dilayan dengan peralatan sebegini. Kali ini cupak begitu banyak berkeliaran sehinggakan hampir kesemua yang menghulurkan jig dibedalnya. Hilang seketika kekecewaan untuk menjejak spesies gadang bila kami tengah seronok melayan larian cupak ini.

    Namun begitu, sambutan cupak juga ada ON dan OFF-nya. Bila kami sudah berjaya melayan sekumpulannya, maka kami terpaksa pula menunggu dalam masa yang agak lama untuk mendapatkan kembali sambutan dari kumpulan yang lainnya. Nampak gayanya inilah hasil kami di Talisman kerana selepas itu, geng bottom yang melakukan pancingan dasar juga tidak mendapat hasil.

    BERGERAK PULANG
     
    Kami mengambil keputusan untuk tinggal semalam sahaja di gugusan Talisman ini berdasarkan hasilnya yang tidak menggalakan. Namun begitu perasaan kecewa bukannya sangat menebal kerana kami sudah dimaklumkan lebih awal lagi oleh Ropie tentang potensi pancingannya.

    Oleh itu kami mulai bergerak pulang dan akan singgah memancing di Pelantar Jerneh dan juga akan melakukan pancingan lopak semasa dalam perjalanan ini. Pancingan lopak juga kurang memberangsangkan, hanya 2 ekor ikan merah, beberapa ikan kerapu, ibu kerisi dan ikan tambak sahaja yang berjaya dipancing.

    Malam harinya kami sempat singgah di Pelantar Jerneh dan melakukan lagi acara popping. Hanya seekor sahaja GT yang seberat 11 kg menyambar popper Yo-Zuri Surface Bull GT dari Lee Benteng. Bagi saya ianya saiz terlalu baby untuk kategori pelantar minyak sebegini. Seharusnya kami diketemukan dengan GT-GT Kerbaunya yang berskala 20 – 30 kg dan barulah perjalanan sejauh ini berbaloi!

    Memang benarlah telahan Ropie, kerana masa kunjungan kami yang tidak sesuai disebabkan arusnya yang terlalu laju merupakan faktor utama kegagalan trip ini. Faktor alam yang tidak dapat diubah ini kami terimanya dengan hati yang terbuka, namun ada faktor lain yang agak mengecewakan saya.

    Saya sebenarnya agak kecewa kerana tidak dapat menghampiri rapat Pelantar Bunga Raya dan pelantar lain di gugusan Talisman. Saya juga tertanya-tanya sama ada perkara ini sudah diketahui terlebih dahulu oleh tekong ataupun Yusri, namun seandainya mereka sudah mengetahui bahawa pelantar-pelantar di sini sememangnya dilarang untuk dirapati untuk memancing, maka seharusnya trip ini tidak perlu dihalakan ke sana dari awal lagi!

    Mungkin lebih bagus jika ia hanya menumpukan pada lokasi kapal karam ataupun batu lautan, sekurang-kurangnya kami tidak perlu membazirkan masa yang begitu banyak dan berharga hanya untuk ke tempat larangan memancing!

    FAKTA PERJALANAN DARI SISTEM NAVIGASI GARMIN GPS 60s

    JUMLAH HARI TRIP
    5 HARI 4 MALAM
    JAM PERJALANAN TRIP (SATU HALA) JETI KE TALISMAN
    32 JAM
    JAM PERJALANAN TRIP (PERGI-BALIK) JETI – TALISMAN - JETI
    64 JAM
    JARAK KESELURUHAN TRIP
    275 KM
    JARAK DARI JETI KE KAPAL 19
    107 KM
    JARAK DARI KAPAL 19 KE PELANTAR LAWIT
    53 KM
    JARAK DARI PELANTAR LAWIT KE PELANTAR JERNEH
    44 KM
    JARAK DARI PELANTAR JERNEH KE PELANTAR TALISMAN
    63 KM
    JARAK DARI PELANTAR TALISMAN KE PELANTAR RAYA
      5 KM
    JARAK DARI PELANTAR RAYA KE SATELITE TALISMAN
      3 KM
    KELAJUAN BOT
    8 – 12 KNOT
    KEDALAMAN KEBANYAKAN KAWASAN PELANTAR
    50 – 60 METER












    read more