Nilam Puspa banyak memperkenalkan lokasi-lokasi terbaru yang belum pernah didedahkan dalam mana-mana majalah memancing tempatan. Ia bermula pada tahun lepas dengan pancingan di Tukun Darat, Lopak dan Batu Laut, Pelantar Minyak Cakerawala, KOD 23 dan terbaru saya dibawa ke Kapal 19. Ianya satu lagi lokasi yang dihuni spesies seperti ebek bulat, tenggiri, cupak dan ebek kapak! Yaaa…ebek kapak, akhirnya kami berjaya menemui spesies perkasa ini setelah sekian lama mencarinya menggunakan kaedah jigging!
Monsun Timur Laut biasanya akan reda bila menjelang Chop Goh Mei iaitu selepas Gong Xi Fa Chai pada setiap tahun. Inilah panduan atau petua yang selalu diguna pakai oleh para nelayan selama ini. Tetapi perubahan cuaca dan iklim dunia kini telah banyak memberi kesan kepada kebiasaan ini dan ia juga telah melanjutkan musim monson sehingga melepasi waktu yang sepatutnya.
Perkara ini juga telah merencatkan perancangan saya dan Yusri yang telah merancang untuk menduga perairan Kelantan sejurus sahaja musim monsunnya mulai reda. Ianya telah dirancang pada tahun lalu lagi tetapi beberapa kali pindahan tarikh terpaksa dilakukan kerana ombak masih kucah dan ribut masih melanda. Perancangan untuk menduga lokasi terbaru yang masih belum dipaparkan dalam majalah memancing sememangnya mengujakan saya dan juga geng KLC. Sementelahan pula Nilam Puspa telah lama “bercuti panjang”, ia telah dibaik-pulih, dicat baru dan pagar keselamatan juga telah dipasang. Ini tentunya amat kami nantikan kerana ianya akan memberi lebih keselesaan.
KAPAL 19
Lokasi kali ini adalah sebuah kapal karam yang dinamakan Kapal 19, terletak hampir 6 jam perjalanan dari Tumpat. Pada mulanya saya menyangkakan bahawa bahawa nama lokasi ini diambil dari nama kapal yang tenggelam tersebut, seperti mana POW untuk PrinceOf Wales, Russian Wreck untuk kapal karam Russia ataupun sebagainya. Rupa-rupanya bila ditanya pada Yusri, beliau menerangkan bahawa lokasi padang pancing di perairan Kelantan ini biasanya dinamakan mengikut bot nelayan yang menjumpai lokasi tersebut.
Mengikut ceritanya, Kapal 19 ini merupakan sebuah kapal perang yang berukuran lebih dari 100 kaki panjang dan tenggelam semasa Perang Dunia Ke-2 dahulu. Namun begitu tidak pula diketahui sejarah asal kapal perang ini dan kemungkinan besar ianya salah sebuah kapal pengiring British yang telah ditenggelamkan oleh junaman juruterbang Kamikaze tentera Jepun!
Kapal karam ini telah ditemui oleh seorang nelayan dari Tumpat dan bot beliau bernombor 19, lantaran itu lubuk ini beliau namakan sempena nombor bot miliknya itu. Dari situlah padang pancing ini mendapat namanya. Begitu juga kisahnya dengan KOD 23 yang mashyur dengan kejayaan jigging kami yang banyak membuka mata bahawa perairan Kelantan juga mempunyai spot jigging yang menarik. Sebelum ini tidak ramai yang mempraktikkan gaya pancingan moden ini di Kelantan dan kebanyakan hanya menumpukan kepada pancingan dasar sahaja. KOD 23 ini mendapat nama bila Ropie, tekong Nilam Puspa menjumpai kapal karam ini, dan ia juga diberi nama berdasarkan nombor bot Nilam Puspa iaitu 23.
PANCING DASAR EBEK BULAT
Seperti mana biasa, kami akan bertolak pada sebelah petang bila turun ke laut. Ini adalah kebiasaan bagi perkhidmatan sewa bot memancing di kawasan Tumpat. Ini kerana pemancing perlu mencari umpan terlebih dahulu di kawasan unjam dan pada malamnya kami akan mencandat sotong untuk umpan hidup. Saya perhatikan pancingan dasar di sini amat memerlukan umpan segar ataupun lagi baik jika menggunakan umpan sotong hidup. Ini merupakan satu kelebihan kepada bot Nilam Puspa kerana ia mempunyai tong simpanan umpan hidup. Jika menggunakan umpan pasar, maknanya “berjanggutlah“ untuk menunggu sentapan kerana ikan-ikan di sini amat memilih sekali!
Pancingan dasar pada waktu malam lebih mendominasi hasil pancingan jika dibandingkan dengan aplikasi jigging. Pancingan di kawasan kapal karam sebegini selalunya untuk mencari jenahak tetapi selama kunjungan saya, amat kurang spesies emas bertompok satu ini berjaya didaratkan. Mungkin juga populasinya tidak sebanyak di Selat Melaka seperti perairan Pulau Pinang ataupun Kedah.
Oleh itu ikan sasaran seterusnya adalah ikan ebek bulat. Spesies ini lebih mudah didapati di kawasan kapal karam dan umpan terbaiknya adalah sotong hidup. Saya dapati sotong hidup yang dihulurkan tidak akan mengambil masa yang lama untuk memerangkap spesies yang kuat melawan ini. Selain itu sotong segar yang dihiris secara juraian memanjang juga boleh digunakan seandainya kehabisan sotong hidup.
JIGGING CUPAK
Aktiviti jigging pada waktu malam pula mensasarkan kepada spesies cupak sahaja kerana kebanyakan spot yang kami kunjungi lebih sinonim dengan ikan ini. Belum pernah lagi kami mendapat spesies lain seperti jenahak, kerapu, tenggiri atau ebek ketika jigging waktu malam sebegini. Aneh juga kerana acap kali juga kami memperolehi ebek bulat menggunakan kepingan jig di lokasi yang sama pada waktu siang hari, tetapi bila malam begini jig langsung tidak mendapat perhatian. Mungkin juga faktor deria bau lebih berkesan pada waktu malam untuk ebek bulat mencari makan, oleh itu umpan hidup lebih mudah dikesannya.
Jig luminous seperti Yo-Zuri Blanka Super Luminous merupakan antara kepingan jig terbaik untuk menggoda cupak, spesies yang suka berlegar di pertengahan hingga ke permukaan air ini. Kombinasi kilauan luminous dan juga warna pink merupakan jig yang paling berkesan semasa kunjungan kami. Balingan yang jauh melepasi cahaya lampu dari bot merupakan antara cara terbaik untuk memperolehi rembatan darinya. Walaupun dari segi hidangan, cupak tidaklah begitu mendapat perhatian, namun begitu cupak merupakan spesimen yang kami cari-cari pada sebelah malam kerana daya juangnya yang kuat. Jika menggunakan set jigging PE1 – 3, ataupun PE 2 – 4, ianya akan memberi perlawananan yang cukup menyeronokkan.
JIGGING EBEK KAPAK DAN TENGGIRI
Bila awal pagi menjelma, ia saat yang dinanti-nantikan kerana waktu inilah antara masa terbaik untuk melakukan acara jigging. Kebanyakan spesies pemangsa mulai aktif semasa ini, lebih-lebih lagi di kawasan kapal karam seperti mana kami berlabuh ini.
Lee yang berada di depan bot telah mulai mengunjun jig berwarna Owner berwana pink luminous. Beberapa kali sahaja unjunan ia telah disambar sesuatu, besar juga mangsa kali ini jika dilihat pada lenturan joran Tenryu JigZam PE 3 yang beliau gunakan, tali juga diperah berkali-kali dari kekili Shimano Sustain. Pembuka hari yang cukup bagus kerana bila mangsa berjaya didaratkan ianya merupakan spesies ebek kapak yang gadang.
Akhirnya setelah berkali-kali turun ke perairan Kelantan bersama Nilam Puspa, inilah kali pertama kami berjaya mendaratkan ebek kapak. Selama ini hanya saudaranya sahaja iaitu ebek bulat yang membaham jig kami.
Beberapa jig telah putus bila diunjun menghampiri pertengahan air, ianya berkemungkinan besar perbuatan tenggiri kerana kawasan yang mempunyai struktur kapal karam sebegini merupakan kawasannya mencari makanan. Lee yang berada di depan bot sekali lagi berjaya mendapat sambaran. Kali ini pastinya tenggiri yang terjerat kerana gaya larian yang laju dan pantas berlainan sekali dengan gaya larian ebek.
Namun begitu, disebabkan beliau hanya menggunakan assist hook kami amat berharap agar cangkukan mata kail berlaku di celah antara gigi tenggiri. Sekiranya mata kail mengenai bahagian ini, maka peluangnya untuk memutuskan tali kevlar lebih tipis dan berkemungkinan besar tenggiri ini berjaya dinaikkan.
Nasib Lee sememangnya amat baik kali ini kerana ia berjaya mendaratkan tenggiri yang bersaiz membanggakan ini. Walaupun hari ini bermula dengan baik tetapi angin mulai bertiup kencang dan alun mulai terbentuk. Ini petandanya angin monsun belum reda sepenuhnya. Alun yang semakin kuat juga menyebabkan bot sukar dikekalkan di kawasan tukun kapal. Ini akan menyebabkan jig yang dihulurkan akan tersasar dari perimeter ikan berada lantas mengurangkan peluang mendapatkan ikan.
Fenomen alam yang tidak mampu ditolak oleh kami ini menyebabkan kami beralah. Bot berpindah untuk melakukan pancingan lopak, sayangnya arus dasar pula terlalu laju menyebabkan umpan akan hanyut jauh dan tersasar dari lopak. Ia juga satu keputusan pancingan yang tidak memihak pada kami. Dalam situasi sebegini, gandingan angin, alun dan arus yang laju bukannya keseronokan bila memancing dengan apa aplikasi sekali pun tidak kira jigging, berhanyut ataupun pancingan dasar. Oleh itu balik ke jeti merupakan keputusan paling baik dan merancang trip seterusnya merupakan jalan penyelesaian yang paling bagus.
2 comments:
huraian yang bagus dan kemas! keep it up!
Ganah boh teringin kawe nak g. Walaupun kawe oghe tumpat tapi x ada peluang lg nak g mancing ngan nilam. Lonie duk main line terengganu aje.
Post a Comment