Kenyataannya, ketika ini ramai lagi pengilat yang terkial-kial dengan etika Catch & Release (C&R) dan masih lagi belum dapat menerima konsep ini sepenuhnya, hatta untuk seekor ikan sebarau bersaiz sebesar tapak tangan sekali pun! Namun begitu Kuantan Lure Casters (K.L.C) telah melakukan sesuatu yang jauh dari jangkauan para pengilat lain. Mereka bukan sahaja telah lama mengamalkan C&R, tetapi kini maju setapak lagi dengan konsep mereka iaitu “Catch, Tag & Released” dan ia bukan sahaja untuk spesies toman atau sebarau, malah untuk spesies bernilai muara iaitu siakap. Lihat sahaja photo-photo Tag & Released siakap gadang Merchong yang saya rakamkan semasa mengikuti trip bersama geng memancing paling sporting & gentleman ini!
Pada awal tahun 2010 lalu, saya pernah menyiarkan artikel mengenai “Catch, Tag & Released” siakap Esplanade Kuantan oleh K.L.C. Artikel tersebut menjadi kontroversi kerana ada suara-suara sumbang dari pengilat lain yang mengatakan “ Ikan Benteng tak sedap makan, rasa minyak… saiz siakap tu pun kecik.. boleh laaa lepas… kalo ikan besar maunya dia lepas balik”.
Paling mengejutkan kerana ada juga yang berkata bahawa ikan yang dilepaskan (C&R) itu sekadar olok-olok bergambar untuk majalah sahaja. Ikan tersebut sebenarnya diikat pada tali tangsi yang halimunan dan diambil balik selepas sesi photo shoot! Lebih tepat lagi K.L.C dituduh gilakan populariti masuk majalah dan bersekongkol dengan saya untuk perbuatan sebegini! Saya sendiri terpinga seketika memikirkan sampai begitu sekali baculnya pemikiran golongan ini. Mereka bukan sahaja meragui perbuatan yang mulia ini malah membuat tuduhan pula yang bagi saya tidak boleh diterima akal!
Lantaran kontroversi yang “langsung tidak membina” ini, K.L.C dan saya hanya menanggapnya perkara remeh-temeh yang tidak perlu dilayan dan tidak menyumbang kepada kemajuan sukan memancing moden. Kata-kata yang sungguh tajam dan perit dari segolongan pengilat yang saya andaikan sudah berkarat dengan konsep “tangkap, ambil dan makan” dan penuh dengan perasaan dengki serta bersifat meat hunter ini, kami anggap sebagai satu cabaran besar!
TAG SIAKAP INDUK MERCHONG
Oleh itu semasa kami merancang trip ke Merchong, salah satu tujuan kami ialah untuk mencari siakap gadang serta melakukan Tag & Released. Saya juga berhasrat untuk mengambil gambar dari mula ikan ini ditangkap, tag dan kemudiannya dilepaskan. Semoga ianya akan melenyapkan segala keraguan selama ini tentang ketulusan kami dalam melaksanakan konsep “Catch, Tag & Released” ini!
Hasilnya dalam kunjungan kami ini, beberapa ekor siakap dari bersaiz kecil hinggalah gadang berjaya didaratkan sama ada dengan kaedah mengilat ataupun menunda. Siakap putih yang bersaiz induk kesemuanya telah ditag serta dilepaskan kembali. Tiada kekesalan, rasa rugi atau membuang masa yang wujud dalam fikiran kami semasa melepaskan kembali siakap-siakap induk ini, walaupun kami tahu berapa perit dan sukarnya untuk memperolehi spesies berskala sebegini di perairan liarnya.
Saya sebagai wartawan memancing yang banyak bergaul dengan segala jenis ragam pemancing terasa begitu bangga dengan apa yang dilakukan oleh K.L.C ini. Secara jujurnya, belum pernah saya ketemui kumpulan pemancing yang begitu serius dan jujur dalam usaha menjamin kelangsungan hidup spesimen raja muara ini.
Mungkinkah usaha murni ini akan juga dianggap sesuatu yang “bodoh” oleh segolongan yang masih bebal akan konsep C&R ini? Mungkin ada lagi yang akan berkata bahawa K.L.C sengaja ingin menunjuk-nunjuk dengan melepaskan hasil-hasil sebegini kerana bagi pengilat “meat hunter”, siakap seharusnya dibawa balik kerana nilainya!
Apa pun yang ingin dikatakan nanti, saya tahu apa yang K.L.C lakukan adalah langkah pertama untuk memberi kesedaran kepada golongan pemancing di luar sana bahawa melepaskan ikan pancingan sukan seperti siakap ini akan memastikan kemadiriannya. Usaha sebegini patut dicontohi kerana ia mampu meneruskan hidup dan berkembang-biak untuk generasi demi generasi yang seterusnya.
Terapkan di dalam hati bahawa bukan setiap ikan yang berjaya dipancing wajib dibawa balik dan dimakan kesemuanya. Namun begitu tidak salah untuk membawa balik seekor ikan tetapi perlu adanya “size & bag limit” serta “selected harvest” dalam soal sebegini. Mungkin juga tahun demi tahun lagi diperlukan untuk melahirkan ramai lagi golongan pemancing elit seperti K.L.C ini dan sehingga saat itu, saya berharap akan ada lagi siakap gadang yang wujud di perairan liar untuk kita sama-sama berpeluang melakukannya!
SELECTED HARVEST
Berbicara tentang “Catch, Tag & Released” biar saya perjelaskan di sini bahawa konsep kami berkait-rapat dengan “size & bag limit”. Ini bermakna bukan kesemua sekali atau setiap kali memancing kami langsung tidak mengambil ikan untuk dibawa pulang atau dimakan. Tetapi jika kita faham konsep “size & bag limit” maka kita akan faham bahawa ikan yang dibawa balik mestilah secara selected harvest iaitu BERAPA EKOR dan BERAPA BESAR ikan yang perlu dibawa balik.
Selected Harvest di sini bermakna siakap yang dipilih untuk dibawa balik janganlah spesimen besar sebagai mana yang diketahui umum bila siakap mencecah berat 5 kg ke atas akan bertukar menjadi betina atau induk. Jadi dalam membuat pilihan untuk membawa balik ikan, pilihlah secara membuat pemikiran dan perhitungan jangka panjang. Jangan pula diambil induk atau ikan yang sedang sarat bertelur kerana ia akan menyusahkan kita juga sebagai pemancing di hari mendatang.
Contohnya dalam kes kami di Merchong ini, dari 8 ekor siakap yang diperolehi, hanya seekor siakap seberat 1.5 kg sahaja yang diambil balik untuk kami berempat. Ianya ikan paling kecil setelah semua saiz induk telah dilepaskan, itupun untuk dimasak terus di kedai Tom Yam berhampiran. Tak payahlah nak fikir untuk tapau siakap berlebihan untuk anak-bini, saudara-mara dan sahabat lain. Banyak lagi benda lain boleh dimakan dalam dunia ini dan mereka pun tidak kebuluran kalau anda tidak membawa balik semua hasil tangkapan itu. Mungkin juga jika kita berbuat baik dengan makhluk lain seperti melepaskan balik ikan-ikan yang dipancing ini, rezeki akan datang mencurah-curah dalam bentuk yang lainnya. Siapa tahu???
”NASI TAMBAH”
Ini baru kisah siakap Merchong, belum lagi saya berbicara tentang sebarau Kenyir. Sedih bila ada pemancing yang pandai bercakap tentang kemerosotan sebarau di Kenyir, tetapi bila trip bersama, saya menyaksikan sendiri sebarau yang sarat bertelur di “tapau” balik sehinggakan lupa apa yang dicanangkan selama ini di ruang siber.
Bila ditanya, alasannya “ Nak bagi pada sahabat dan handai taulan yang tak berpeluang ke Kenyir, sekurang-kurangnya mereka dapat rasa sebarau”. Tercengang saya seketika kerana masih ada lagi mentaliti sebegini yang saya anggap sebagai “posmen”. Ataukah ianya sekadar alasan dan tidak mahu kredibiliti pancingannya tergugat bila balik memancing dan ingin dengar sahabat atau handai-taulan berkata “Kau ni memang terrer mancinglah.. mesti ada bawa balik ikan bila memancing“
Entahlah saya tiada jawapannya dan jika siapa-siapa terguris saya meminta maaf secara terbuka kerana apa yang saya katakan di sini adalah benar walaupun ianya pahit untuk ditelan! Inilah tugas saya sebagai wartawan pancing kerana saya memikul tugas “Tanggung-jawab pada masyarakat” dan dalam konteks ini, masyarakat bagi saya ialah golongan pemancing seperti saya dan anda semua di luar sana!