Sudikan Diri Menjadi follower...

Friday, December 17, 2010

Peraturan BOTC II

Friday, December 17, 2010
0 comments


Battle of the Casters (BOTC) 2010

Kategori Pertandingan

1.   1.Sebarau Berkumpulan  (Hadiah 1,2 &3)
2.   2.Toman Berkumpulan (Hadiah 1,2 &3)
3.   3.Juara Berkumpulan Keseluruhan (Hadiah 1,2 &3)
4.   4.Toman Master (seorang pemenang berdasarkan seekor  toman terpanjang)
5.  5.  Sebarau Master (seorang pemenang berdasarkan  seekor ikan sebarau terpanjang)

Konsep dan Syarat-syarat Pertandingan
1.    Konsep pertandingan adalah berdasarkan “Gentleman Game” dan “Sport Fishing”.
2.    Setiap pasukan mesti terdiri daripada 2 orang casters.
3.    Setiap pasukan mesti menamakan pasukan masing-masing sebelum pertandingan bermula.
4.    Pasukan yang bertanding dilarang menggunakan khidmat botman dan speedboat hendaklah dipandu sendiri oleh ahli pasukan.
5.    Masa pertandingan bermula dari jam 3 petang pada 4 Disember 2010 dan tamat pada jam 8.00 malam pada 6 Disember 2010.
6.    Yuran pertandingan adalah sebanyak RM10.00 bagi tujuan pembelian hadiah.
7.    Hanya penggunaan gewang saja dibenarkan sepanjang pertandingan.
8.    Setiap pasukan hendaklah menyediakan pen, kamera digital dan pita pengukur (dalam ukuran inci) masing-masing.
9.    Hanya ikan toman dan sebarau saja layak dipertandingankan.
10.  Peserta digalakkan mengamal kaedah “Catch and Release” sepanjang pertandingan berlangung.
11.  Setiap tangkapan yang mestilah disertakan dengan bukti bergambar.


Format Penggiraan Markah
1.    Format pengiraan markah adalah berdasarkan “point system
2.    Factor Gandaan, “y” markah bagi toman 1point dan sebarau 2point.
3.    Minima tangkapan bagi toman adalah sepanjang 20 inci, dan sebarau sepanjang 12 inci.
4.    Range ukuran adalah setiap 2 inci bagi satu (1) markah, “x”. Ukuran dibuat pada sebelah atas badan ikan.
Sebarau – 12-14"= 1,14-16”= 2, 16-18”= 3, 18-20”= 4, 20-22”= 5, 22-24”= 6, 24-26”= 7 dan …….
Toman – 20-22”= 1, 22-24”= 2, 24-26”= 3, 26-28”= 4, 28-30”= 5, 30-32”= 6, 32-34”= 7 dan .
5.    Setiap markah tersebut akan didarab dengan factor gandaan, 3 untuk Toman dan 6 untuk Sebarau. *rujuk contoh dibawah

Caster
Ikan
Masa
Gandaan, y
Panjang, inci
Markah, x
Jumlah
Pak Ali
Toman
8.50am
1
28.5”
5
5
Pak Abu
Sebarau
9.15am
2
17”
3
6
Pak Ali
Toman
5.45pm
1
30”
6
6
Jumlah
17

6.    Setiap borang markah hendaklah diisi sendiri oleh peserta dan ditandatangani oleh kedua-dua ahli.
7.    Borang markah beserta softcopy gambar hendaklah dihantar ke urusetia pertandingan selewat-lewatnya jam 8.30 malam pada setiap hari pertandingan. Tiada markah akan dikira selepas tempoh tersebut.

Royal Rumble 2010

Konsep dan Syarat- syarat Pertandingan
1.  Konsep pertandingan adalah berdasarkan “Gentleman Game” dan “Sport Fishing”.

2.2.Terbuka kepada semua Caster BOTC 2010 dan pertandingan berdasarkan 1Caster,     1Gewang, 1Tangkapan dan 1Pemenang.

3.3.Masa pertandingan bermula jam 7.00 pagi 07 Disember 2010 (Selasa) dan tamat pada jam 10.00 pagi pada hari yang sama. Semua peserta perlu sampai ke bothouse sebelum jam 10.15 pagi. Peserta yang gagal pulang pada waktu tersebut akan dibatalkan penyertaannya.
4.4.  Lokasi memancing ada bebas disekitar Tasik Kenyir.

5. 5.Gewang yang dipertaruhkan mestilah berharga RM25 dan ke atas bagi sebarang jenama, ataupun sebarang gewang daripada jenama Rapala.

6. 6.Setiap caster perlu menyediakan 2 biji gewang yang sama, yang mana 1 gewang akan disimpan oleh urusetia sebagai cagaran hadiah.

7.7.  Hanya dibenarkan menggunakan 1 set pancingan berserta 1gewang sahaja. Sekiranya gewang tersebut putus, caster secara automatic akan tamat menyertai pertandingan.

8.8.Hanya 1 tangkapan yang layak dibawa pulang ke bothouse untuk ditimbang oleh urusetia.


9 9.Hanya 1 Pemenang saja yang akan memenangi semua gewang yang dipertaruhkan sebagai hadiah.


read more

Wednesday, December 1, 2010

Battle Of The Casters II (BOTC)

Wednesday, December 1, 2010
1 comments

Battle Of The Casters II 

Pertandingan ini bermula sejak tahun lepas iaitu tahun 2009. Pada siri pertama hanya terdiri daripada dua team sahaja iaitu team Pacat dan team K.L.C. Walaubagaimana pun pada tahun ini BOTC telah bertambah  team penyertaan kepad empat team. Dua team lain ialah Shah Alam Santai Anglers (SASA) dan Qulaifornia daripada Johor. Diharapkan kan pertandingan yang akan berlangsung dari 04-07 Disember 2010 nanti akan berjalan dengan lancar dan semoga semua peserta akan mendapat hasil tangkapan yang memuaskan. 

read more

Tuesday, October 12, 2010

KHABAR DARI ESPLANADE KUANTAN

Tuesday, October 12, 2010
3 comments
LARANGAN AKTIVITI MEMANCING DI ESPLANADE KUANTAN     

 Semalam 11/10/2010 khabar-khabar angin mengatakan yang Majlis Perbandaran Kuantan @ MPK telah menguatkuasakan larangan aktiviti memancing di sepanjang kawasan benteng Esplanade. Khabar angin yang amat menyinggung dan mengguris perasaan ramai kaki-kaki pancing disekitar bandar Kuantan ini. Larangan yang diibaratkan seperti 'marahkan nyamuk kelambu dibakar' ini merupakan tindakbalas atas sikap pemancing-pemancing itu sendiri yang kurang prihatin tentang penjagaan kebersihan selepas aktiviti memancing dilakukan. Sampah daripada bungkusan makanan dan puntung-puntung rokok bertaburan dan tak kurang juga sisa-sisa umpan yang ditinggalkan membusuk yang telah menimbulkan rasa kurang senang oleh pengunjung lain yang datang untuk bersiar-siar.
   
Mohon Penarikan Balik Arahan Larangan Memancing

   Ramai kaki pancing terutamanya kaki-kaki casters (gewang) merayu dan memohon agar arahan larangan memancing yang di kuatkuasakan ini dapat ditarik balik. Seharusnya pihak MPK mengambil tindakan terhadap pemancing atau pengunjung yang membuang sampah dengan sesuka hati. Tindakan kompaun atau denda harus dikenakan keatas pesalah-pasalah ini dan tindakan melarang aktiviti memancing hanya akan memudarkan kemeriahan disekitar benteng Esplanade itu sendiri. Ini kerana hampir setiap malam minggu aktiviti pertandingan memancing selalu di adakan dan ianya mendapat sambutan yang hangat oleh kaki-kaki pancing. Seharusnya pihak MPK mengenakan yuran atau levi keatas peserta-peserta pertandingan memancing dan wang yang diperolehi bolehlah digunakan untuk kerja-kerja pembersihan. Disamping itu kaki-kaki pancing juga seharusnya bersama-sama berganding bahu dengan pihak MPK untuk menjaga kebersihan dan keindahan Bandar Kuantan amnya dan kawasan Espalande khasnya. Penjagaan kebersihan ini bukan sahaja terhad dikawasan Esplanade malah kebersihan sungai Kuantan juga haruslah dipelihara.

read more

Saturday, September 4, 2010

Patan Ulu Tutuh

Saturday, September 4, 2010
3 comments
Borneo, pulau ke 3 terbesar dunia dan Hutan Hujan Tropika-nya lebih tua dari hutan di Amazon. Lokasi kunjungan kami bertanda merah (Long Lellang)


JOURNEY TO THE HEART OF BORNEO

Patan, Kelad, Dungan, Juak atau Adong adalah nama yang sama untuk sebarau berbelang dua ataupun nama saintifiknya, Hampala bimaculata. Inilah nama-nama yang diberi di Sarawak mengikut sebutan kaum pribumi Penan, Kelabit dan juga Iban. Kenderaan pacuan empat roda kami melalui jalan balak berbukit-bukau merentasi Hutan Hujan Tropika berusia 130 juta tahun untuk ke sebuah kawasan terpencil dan asing yang dikenali sebagai Ulu Tutoh. Ianya mengambil masa hampir 14 jam perjalanan untuk sampai ke sungai pergunungan setinggi 2346 kaki dari aras laut yang terletak bersebelahan Taman Negara Pulong Tau berdekatan penempatan kaum Penan di Long Sabai. Ikuti pengembaraan kami menjejaki spesimen eksklusif yang hanya boleh didapati di bumi Borneo ini!   

Seandainya anda penggila sebarau, sejauh manakah anda berimaginasi tentang spesimen ini? Di manakah lokasi yang anda ingin jejaki, sebesar manakah spesimen yang anda ingin takluki dan pelbagai lagi pertanyaan untuk mencapai rekod saiz terulung ikan ini.

Imaginasi inilah yang telah membawa kumpulan kami mengembara jauh ke tengah Hutan Hujan Tropikal Borneo, ke satu lokasi yang amat asing, terpencil dan kami tidak pernah menyangka akan berjaya menjejakkan kaki ke sana!
Menyeberangi Sungai Baram untuk ke pekan Long Lama

CERITA 2 SARAWAKIAN

Cerita pengembaraan kami ke Borneo ini semuanya bermula dengan angan-angan sejak beberapa tahun yang lalu. Ketika itu saya baru mengenali geng KLC termasuklah Matthew dan Peter yang berasal dari Sarawak. Matthew dari ethnik Kelabit manakala Peter pula dari ethnik Iban, kedua-duanya telah menetap di Kuantan belasan tahun yang lalu kerana bekerja di oil & gas company yang beroperasi di negeri Tok Gajah ini.
Matthew, sahabat yang banyak membantu menjayakan trip ini

Walaupun tinggal di Kuantan yang pesat membangun namun naluri cintakan kedamaian hutan yang telah sebati dengan jiwa mereka menjadi  perkara yang amat sukar untuk dipisahkan oleh mereka berdua ini. Masuk hutan dan memancing sebarau telah lama menjadi aktiviti rutin ketika mereka berdua berada di kampung halaman lagi, lantaran itu ia tetap diteruskan walaupun berada jauh di negeri orang. 
Peter, orang kuat K.L.C yang bertungkus-lumus menjadikan impian members yang lain menjadi kenyataan

Lokasi-lokasi sungai berjeram seperti Air Puteh, Jeram Tujuh, Sungai Nipah dan Cerul selalu menjadi tempat utama bagi kedua-dua Sarawakian ini untuk melepaskan rindu pada gemersik dan kesejukan air jeram serta alunan bunyi unggas. Dari sinilah juga budak-budak KLC yang lain turut sama berjinak-jinak untuk masuk hutan dan mengilat sebarau. Boleh dikatakan kedua-dua mereka inilah pencetus semangat KLC untuk aktiviti pancingan sungai berjeram.
Guide yang terdiri daripada pemuda-pemuda kaum Penan. Badan mereka semuanya berketul-ketul macam Malik Nor daaa....

Kampung halaman yang menjadi tempat permainan tentulah masih menjadi rinduan walaupun telah mengembara jauh ke negeri orang. Pulang ke kampung bila ada kelapangan cuti tentunya menjadi perkara yang amat dinantikan oleh mereka berdua ini. Ole-ole paling ditunggu oleh KLC bila mereka kembali dari bercuti adalah cerita, gambar ataupun video pancingan sebarau gadang! Saiz sebarau, jeram dan sungai yang cantik memang menjadi angan-angan geng KLC ketika itu. Persoalannya, bilakah masanya KLC akan menjejakkan kaki ke sana belum terlintas di fikiran ketika itu! 

Namun begitu, bila Matthew dan Peter telah mendapat tawaran kerja dan kedua-duanya pulang ke negeri kelahiran mereka beberapa tahun yang lalu, impian untuk ke sana seolah-olah terpadam. Kesibukan kerja mereka berdua lebih-lebih lagi Matthew yang bekerja di pelantar minyak menyebabkan sukar untuk menetapkan masa yang sesuai untuk berkunjung ke sana.

JADI KENYATAAN

Setelah beberapa tahun ianya sepi dari perancangan akhirnya pada awal bulan Mei yang lalu, Sabri menghubungi saya mengatakan Matthew telah mendapatkan tarikh yang sesuai untuk projek pancingan sebarau kami.  Tarikh kunjungan adalah pada minggu pertama bulan Jun dan  ketika itu berlangsung nya Pesta Gawai, jadi Mathew mempunyai cuti yang agak panjang untuk menerima kunjungan kami.
Inilah tempat kami meletakkan kenderaan dan kawasan ini setinggi 2841 kaki dari aras laut. Selepas ini kami harus menuruni bukit setinggi 528 kaki untuk sampai ke kawasan sungainya!

Bila tarikh telah ditetapkan, maka tempahan tiket penerbangan dan urusan lain mulai kami lakukan. Mengikut maklumat awal, kami akan mengharungi perjalanan off-road yang melebihi 12 jam dan hanya menggunakan 2 buah kenderaan pacuan empat roda milik Matthew dan Peter. Oleh itu untuk mengelakkan ketidakselesaan perjalanan jauh ini, kami terpaksa menghadkan bilangan penumpangnya. Paling selesa sekiranya hanya 3 - 4 orang sahaja untuk satu kenderaan. Oleh itu hanya kami berempat sahaja dari Semenanjung iaitu Sabri, Lee Benteng, Nuar Jabor dan saya yang akan mengikuti trip sulung ini.    
Nasib baik ada khidmat porter, kalau tidak memang pitam juga untuk kami mengangkut barangan yang banyak ini

Berdasarkan lokasi yang terpencil dan tidak pernah dilawati, jadi kami sedaya upaya mendapatkan maklumat tentangnya untuk perancangan kunjungan. Hanya Matthew seorang sahaja yang mengetahui dengan jelas tentang lokasi pancingan ini kerana ianya terletak berdekatan dengan kampung beliau di daerah pendalaman Long Lellang. Masalahnya sukar untuk kami menghubungi beliau kerana jadual kerjanya di pelantar minyak memang “menakutkan” iaitu 45 hari berterusan berada di laut dan hanya 2 minggu bercuti. Ketika kami sedang sibuk merancang dan mencari info lokasi pancingan, beliau sedang bertugas di laut, oleh itu kami gagal untuk menghubunginya.
GPS Garmin 60CSx yang kami gunakan dalam trip ini. Ianya amat berguna dan membantu kami dalam perjalanan jauh sebegini

Sabri menghubungi Peter, tetapi masalahnya beliau juga tidak mengetahui tentang lokasi yang akan kami kunjungi kerana Peter juga pertama kali akan ke sana. Oleh itu banyak perkara yang blur dalam fikiran kami dan kebanyakannya berangankan mungkin juga lokasi tersebut seolah-olah sungai-sungai di Kalimantan seperti mana yang pernah tersiar dalam majalah memancing lainnya sebelum ini.

Dari “main agak-agak” inilah kami membuat persediaan hinggakan ada yang tak keruan memikirkan apakah peralatan yang perlu dibawa sebenarnya. Kerana membayangkan sungainya yang dalam, luas, berarus laju serta bereba, maka kebanyakan kami menyediakan gewang-gewang selaman dalam bersaiz besar seperti Rapala Risto Rap, Fat Rap, Shad Rap, Barra Magnum dan juga Tail Dancer. Itu tidak kira lagi gewang-gewang permukaan dan sesudu, hinggakan setiap orang bawa berkotak-kotak gewang sudahnya! Nak tinggal, takut pula ada masanya nak pakai, walaupun tahu pasti seksa nak bawa trekking! Apa-apa hal pun bawa dulu, pasal trekking pikir kemudian!

MUSIM HUJAN YANG TAK MENENTU

Kami tiba di Miri pada hari Isnin - 07 hb Jun. Ketika pesawat mulai mendarat, hujan renyai-renyai mulai turun dan kelihatan tompok-tompok air bertakung membasahi landasan lapangan terbang. Mungkin hujan lebat telah turun beberapa jam yang lalu! Kami tidak terkejut sangat dengan hujan yang menimpa di luar musim ini kerana cuaca telah berubah di mana-mana sahaja kebelakangan ini. Lagipun, beberapa hari yang lalu Peter telah menghubungi Sabri mengatakan bahawa hujan lebat telah menimpa bandaraya ini sejak seminggu yang lalu!
Inilah 2 buah bot ketinting yang kami gunakan. Reka-bentuknya yang panjang dan sempit memudahkan ianya digunakan di kawasan berjeram

Namun begitu, perkara yang merunsingkan kami ialah bila mengetahui bahawa hujan lebat juga telah menimpa lokasi pancingan kami yang terletak jauh di pendalaman Sarawak ini. Jika diikutkan perancangan, kami sudah tiba pada  masa yang sepatutnya kerana bulan Mac hingga September merupakan waktu terbaik kerana pada masa ini ia merupakan luar musim hujan bagi kawasan tanah tinggi di Sarawak ini. Lebih tepat dikatakan bahawa bulan Jun hingga Ogos adalah musim kering atau waktu paling kurang hujan kerana kehadiran Angin Barat Daya pada setiap tahun.
Bahagian atas sungai ini agak sempit hinggakan pokok-pokok kayu antara kiri dan kanan tebingnya hampir bercantum dan meneduhkan sungai. Namun begitu sungai yang sempit berair hitam ini amat dalam dan ada lubuk-lubuknya yang mengerunkan kami

Namun begitu perubahan cuaca dunia telah memberi kesan yang tidak dapat dijangkakan.  Disebabkan trip yang sudah dirancangkan 2 bulan yang lalu, kami tetap cuba memperjudikan nasib dan berharap agar kedatangan orang jauh seperti kami akan disambut dengan cuaca yang lebih baik!

INFRASTRUKTUR JALAN YANG TERUK

Setengah hari pertama kami di Miri hanya dihabiskan dengan membeli peralatan berkhemah dan juga bekalan makanan untuk kegunaan di dalam hutan nanti. Sebelah petangnya kami mendaftar masuk di Hotel Boulevard Inn kerana kami hanya akan bergerak pada awal pagi esok. Pada malamnya ketika kami sedang mengemaskan barangan pendakian, peralatan pancing dan sebagainya, di luar hotel hujan sedang turun dengan begitu lebat sekali!

Keesokan harinya, seawal pukul 06.00 pagi, kami telah bersiap sedia. Di luar hotel, 2 kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier dan Ford Ranger telah bersedia untuk memulakan perjalanan jauh kami. Dari Miri kami akan menuju ke sebuah pekan kecil bernama Long Lama yang terletak sejauh 142 km.

Perjalanan yang selesa di awal pagi hanya berlanjutan sejauh 50 – 60 km sahaja dari Miri hingga ke persimpangan Bekenu. Selepas itu tiada lagi jalan bertar yang selesa seperti jalan-jalan biasa di Semenanjung. Pada mulanya kami menyangkakan jalan ini adalah short cut kerana ianya adalah jalan merah berlubang-lubang dan bila musim hujan sebegini ia bertambah teruk kerana mulai becak dan licin.

Tetapi bila melihatkan banyak kenderaan dan sekali-sekala kelihatan kenderaan berat seperti trailer dan tanker melaluinya, barulah kami tahu bahawa inilah jalan utama yang menghubungkan Miri dengan daerah-daerah lainnya. Tidak keterlaluan saya katakan jika di Semenanjung, sukar untuk berjumpa dengan jalan utama yang berkeadaan tidak sempurna sebegini. Tidak malu saya bandingkan bahawa jalan-jalan felda kelapa sawit di Gua Musang berkali-kali lebih elok keadaannya!
Menghilir sungai menggunakan bot ketinting menuruni jeram berbatu memang mendebarkan dan ia memerlukan juru mudi yang cekap seperti Matthew untuk menanganinya

Mungkin bagi penduduk di sini sudah biasa dengan keadaan jalan sebegini, tetapi bagi kami yang baru mengalaminya terasa kekurangan yang teramat sangat akan infrastruktur awam yang sepatutnya disediakan oleh negeri yang tersohor kaya dengan hasil petroleum ini! Pertanyaan yang jelas dalam kotak fikiran kami ialah di manakah tanggung-jawab pihak berwajib ke atas keperluan asas penduduk-penduduk di sini? Adakah janji-janji manis hanya ditabur bila menjelang pilihanraya sahaja dan selepas menang ianya hilang entah ke mana?

PEKAN LONG LAMA

Setelah mengharungi hampir 4 jam perjalanan akhirnya kami sampai ke Sungai Baram. Sungai besar ini memisahkan pekan Long Lama yang terletak di seberangnya. Dari sini perkhidmatan feri digunakan untuk mengangkut kenderaan kami menyeberanginya. Hanya kurang dari 5 minit dari pengkalan jeti, kami akhirnya tiba di Long Lama. Ianya sebuah pekan kecil dengan hanya 3 deretan bangunan kedai yang tediri dari kedai runcit, kedai makan dan sebuah hotel.

Kebanyakan kedai perniagaan di sini kelihatan dimonopoli oleh peniaga berbangsa cina hinggakan sukar untuk kami mencari kedai makan yang menjual makanan halal. Nasib baik juga kami telah membungkus bekalan makanan dari Miri pagi tadi. Kalau tidak entah macamana agaknya kerana perjalanan masih lagi berbaki 8 jam! Kami diberitahu oleh Matthew bahawa inilah pekan terakhir dalam perjalanan kami dan selepas ini kami akan mengharungi jalan-jalan berbukit dan jalan balak menuju ke destinasi seterusnya. Segala bekalan makan-minum serta kudapan semasa perjalanan perlu dibeli di sini termasuklah juga bekalan tambahan minyak kenderaan. Terdapat sebuah stesyen pam Petronas dan di kawasan jauh dari bandar sebegini, harganya pastilah berbeza sekali!

Dari sini kami perlu menunggu sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda milik kenalan Matthew yang akan menjadi guide kami untuk melalui jalan-jalan berliku ke Long Lellang. Walaupun Matthew berasal dari sana tetapi beliau sendiri tidak pernah pulang ke kampungnya menggunakan jalan darat ini kerana jalannya yang sukar serta perjalanan darat yang teramat jauh. Oleh itu beliau lebih senang menggunakan perkhidmatan kapal terbang, lebih-lebih lagi jika pulang bersama anak dan isteri kerana pengangkutan udara ini tentunya lebih cepat dan selamat. Jadi inilah kali pertama beliau akan menggunakan jalan darat dan bantuan dari rakan sekampungnya ini untuk menjadi juru pandu arah  amat penting sekali!

JOURNEY TO OUT OF NOWHERE

Kenderaan bersama juru pandu arah akhirnya tiba setelah hampir dua jam kami menunggunya di Long Lama dan kini bermulalah perjalanan ke Long Lellang. Namun begitu bantuan pandu arah ini hanya untuk perjalanan pergi sahaja kerana rakannya ini akan pulang ke Miri lebih awal berbanding kami. Oleh itu untuk perjalanan pulang nanti kami akan 100% mengharapkan kepada bantuan GPS.
Hujan turun sepanjang hari dan ianya bukanlah sesuatu yang disenangi bila memancing di sungai pergunungan yang mana faktor air keruh akan mempengaruhi hasil pancingan

Sabri yang berada dalam kereta Matthew dan Nuar Jabor yang berada dalam kereta Peter mengaktifkan peralatan navigasi masing-masing semasa dalam perjalanan dan track yang direkodkan dalam GPS akan digunakan semasa perjalanan balik nanti. Ini adalah satu keperluan yang wajib ada seandainya mengembara ke lokasi yang tidak pernah dilawati seperti ini.

Perjalanan jauh merentasi jalan-jalan balak ini tidak terasa kerana kami terpesona dengan pengalaman baru ini dan dihiburkan dengan pemandangan hutannya. Pelbagai keadaan jalan kami lalui dari jalan berbatu kerikil, bertanah merah, jalan balak yang berdebu serta jalan-jalan yang licin akibat hujan yang melanda semasa perjalanan ini. Badan telah sengal-sengal kerana terlalu lama berada dalam kenderan pacuan empat roda yang teruk didera oleh jalan-jalannya. Untuk pengembaraan sebegini, sekiranya kenderaan tidak berada dalam keadaan yang cukup sempurna, maka kerosakan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja!
Bila hari hujan, ia juga akan menyebabkan perkhemahan menjadi agak sukar. Kami perlu memastikan masa yang sesuai untuk memasak makan malam sebelum gelap menjelma dengan cepat di dalam hutan sebegini. Memasak di tepi sungai adalah cara terbaik kerana berdekatan dengan sumber air

Satu pengalaman yang amat diingati ialah bila menjelang petang, kenderaan kami mendaki puncak gunung yang amat tinggi sehinggakan puncak-puncak bukit lain semuanya kelihatan berada di bawahnya. Kami berhenti seketika untuk menghayati panorama yang amat indah ini dan paparan pada skrin GPS Garmin 60CSX menunjukkan ketinggian 3511 kaki dari aras laut. Patutlah kabus mulai melitupi persekitaran tanah tinggi ini!

Menjelang malam kami masih lagi berada dalam kenderaan dan jam menunjukkan angka hampir 08.00 malam, ini bermakna telah lebih 12 jam kami mengharungi perjalanan ini. Semakin menghampiri Long Lellang, hujan mulai turun dan membasahi jalan-jalannya menyebabkan perjalanan menuruni bukit menjadi semakin sukar. Cabaran terakhir ialah bila kenderaan kami melintasi Sungai Akah yang terletak di hujung kampung ini dalam kegelapan malam dan perjalanan panjang sejauh 309 km dari Miri yang memenatkan ini berakhir bila kenderaan kami akhirnya selamat sampai ke Long Lellang.
Khemah make-shift camp dibina bila petang menjelma. Kami hanya membina khemah ala kadar dan ianya perlu dibina setiap petang kerana kami berpindah lokasi bila menghilir sungai setiap hari

Pada malam tersebut kami menumpang tidur di rumah Matthew sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi pancingan di Long Sabai keesokan harinya. Malamnya semua pun mengambil kesempatan untuk tidur awal bagi meredakan urat-urat yang dah regang serta tulang belakang yang “terpeleot” dalam perjalanan setengah hari tadinya. Sabri juga sempat berbisik pada saya “Botak...baik kau tidur best-best malam ni, esok malam dah tak tahu macamana keadaan kita dalam hutan..kau dah ready ke nak jadi komando”.

PERJALANAN KE LONG SABAI

Keesokannya seawal 05.00 pagi kami semua sudah terjaga dan tidak sabar lagi untuk meneruskan kembara yang masih belum selesai ini. Tangan sudah gatal-gatal untuk menghayun gewang, sementelahan lagi di depan rumah Matthew terbentang Sungai Long Lellang yang begitu jernih dan mendamaikan. Pagi-pagi lagi kami sudah tercongok di depan sungai ini, melihat aliran sungai berjeramnya yang jernih serta menghirup udara segar dari hutan tanah tinggi penempatan ethnik Kelabit yang juga dikenali sebagai highlanders ini.
Menghilir semakin jauh menemukan kami dengan sungai yang lebih tenang dan berlubuk malah terdapat banyak reba-reba kayu di kiri kanan sungai

Perjalanan menggunakan kenderaan pacuan empat roda akan mengambil masa lebih dari sejam dari Long Lellang ke Long Sabai, penempatan ethnik Penan yang terletak berhampiran Sungai Ulu Tutoh. Dalam perjalanan, kenderaan kami berterusan mendaki kawasan berbukit sehinggakan kami dapat melihat perkampungan Long Lellang terbentang di bawahnya dari kejauhan.

Kami tiba di penghujung jalan dan di sinilah kami akan parkir kenderaan untuk beberapa hari ini. Aras ketinggian tempat parkir ini pada GPS menunjukkan bacaan 2841 kaki dari aras laut. Perjalanan turun dikatakan kurang dari satu jam tetapi disebabkan terlalu banyak barangan yang kami bawa jadi kami mengemaskan barangan terdahulu. Khidmat porter dari beberapa orang pemuda Penan telah diatur oleh Matthew untuk mengangkut barangan ini turun ke kawasan sungai.
Nuar Jabor dengan sebarau terbesarnya di sebuah lubuk yang tenang


Seramai 6 porter kami gunakan untuk mengangkut barangan perkhemahan, makanan dan peralatan pancing yang akan kami gunakan selama 4 – 5 hari ini. Perjalanan turun melalui jalan balak terbiar dalam keadaan becak dan kecuraman kawasan laluan menyebabkan perjalanan agak lambat walaupun jarak dari tempat parkir kereta ke kawasan sungai tidaklah terlalu jauh.

SISTEM SUNGAI ULU TUTOH

Kami akhirnya sampai ke destinasi yang telah bertahun hanya didengari ceritanya dari Matthew ini. Sungai Ulu Tutoh merupakan sungai pergunungan yang terletak berdekatan Taman Negara Pulong Tau yang bersempadankan Taman Negara Kayan Mentarang milik Indonesia di Utara Kalimantan. Sungai ini mengalir jauh menuruni kawasan-kawasan  berjeramnya sehinggalah di pertengahannya ia bersambung dengan sungai-sungai lain seperti Sungai Seluroe, Sungai Sabai, Sungai Lawan dan Sungai Selunok yang mengalir dari Banjaran Tama Abu.    
Guide Penan kami sememangnya terkejut bila kami melepaskan balik hasil pancingan kami. Mungkin dalam fikiran mereka agak janggal bila melihat pemancing yang datang sejauh kami cuma tangkap ikan untuk seronok-seronok sahaja!

Seterusnya sungai ini mengalir masuk melalui Taman Negara Pulong Tau sehinggalah bercantum dengan Sungai Labid yang terletak berdekatan penempatan Long Labid. Selepas itu, sungai ini semakin menghilir jauh dan bila berada terlalu jauh dari kawasan hulunya maka ia hanya dipanggil sebagai Sungai Tutoh. Aliran sungai ini akhirnya bercantum pula dengan Sungai Talon dan Sungai Kubaan yang terletak jauh sehingga ke Bario dan juga menghampiri Ulu Sungai Limbang bersempadankan Miri – Limbang.

BOT KETINTING DAN JERAM ULU TUTOH

Terasa sungguh gembira bila kami berjaya mencecahkan kaki ke sungai ini setelah mengharungi perjalanan hampir 3 hari dari Semenanjung. Saya berendam seketika untuk menyejukkan badan dan airnya terasa begitu dingin sekali. Peter mendapatkan bacaan temperature air sungai ini dari jam Casio Fishing Gear-nya, suhu yang dicatatkan adalah 23’C walaupun jam pada tangan saya menunjukkan pukul 12.50 tengahari. GPS pula menunjukkan ketinggian 2313 kaki dari aras laut, patutlah air sungainya begitu sejuk walaupun semasa tengahari sebegini kerana ianya terletak begitu tinggi.   

Aksi Lee Benteng ketika diterkam sebarau besarnya. Lihatlah gemercikan air yang terhasil dari gelupuran sebarau gadang yang berjaya diperdayakan oleh Lee menggunakan gewang Rapala Flat Rap


Dua buah bot ketinting telah bersedia menunggu kami, satunya menggunakan enjin ekor biawak manakala satu lagi menggunakan enjin sangkut Yamaha 8 kuasa kuda. Sepatutnya kami menggunakan 3 buah bot tetapi salah satu enjinnya telah mengalami kerosakan dan gagal dibaiki.
Inilah sebarau terbesar trip kami, walaupun hanya seekor sahaja yang berjaya diperolehi tetapi ia membuktikan sungai ini sememangnya dihuni sebarau-sebarau berbelang dua yang mana saiznya begitu mengujakan!

Inilah pengalaman kali pertama kami menggunakan bot ketinting seperti ini. Setelah memuatkan semua barangan ke dalam bot, kami mulai menghilir sungai ini. Saya, Sabri, Morris menaiki bot yang lebih panjang dan akan dipacu oleh Lukas manakala Matthew pula akan menjadi jurumudi di bahagian depan bot. Pada mulanya perasaan agak tidak selesa dan cuak bila menggunakan bot seperti ini. Apa tidaknya sebaik sahaja Sabri melangkahkan kakinya kedalam bot Matthew terus menaynakan soalan “Sabri ko pandai berenangkan” jawapan daripada Sabri “memang aku pandai berenang tapi janganlah buat sampai aku kena berenang pulak kat sungai yang sejuk ni”. Namun setelah beberapa ketika, barulah terasa betapa sesuainya bot yang yang panjang dan sempit ini bila menuruni jeram serta mencilok antara bongah-bongkah batu besar yang mencuar di permukaan sungai berarus deras ini.
Mengilat sambil berdiri di dalam bot yang sempit ini memerlukan imbangan badan dan konsentrasi. Sedikit sahaj berkhayal semasa mengilat akan menyebabkan hilang imbangan

Saya begitu ralit melihat sungai berair hitam yang dipagari oleh pokok-pokok kayu besar di tebing kiri dan kanannya. Naungan pokok-pokok besar  meneduhi sungai yang hanya berkeluasan dalam lingkungan 40 kaki ini.  Ada juga sebahagian kawasan sungainya menjadi sempit dan dahan-dahan pokok-pokok besar ini hampir bercantum dan memayungi sungai ini. Terasa seolah-olah berada di dalam kapsul masa yang membawa kami ke jutaan tahun yang lampau dengan pemandangan sebegini! Beginilah rupanya Hutan Hujan Tropika yang berusia lebih dari 130 juta tahun dan juga dikatakan lebih tua dari hutan di Amazon. Angan saya dikejutkan bila Sabri menyapa saya mengatakan “Errrr...Botak... aku rasa macam ada T-Rex jerr kat hutan ni“.

HUJAN, KERUH DAN PARAS AIR TINGGI

Hari pertama kami bukanlah hari pancingan yang bagus kerana hujan telah mulai turun sebaik sahaja kami tiba. Matthew juga mengatakan bahawa paras air lebih tinggi dari biasa dan ini menyebabkan arus bertambah kuat. Arus yang kuat semasa menghilir sungai sambil mengilat bukanlah sesuatu yang bagus kerana ianya akan menyebabkan bot hanyut lebih cepat dari biasa. Ini akan menyebabkan kami kerugian balingan ke kayu-kayu tumbang atau balingan ke sebalik batu yang berkemungkinan besar di huni oleh sebarau-sebarau besarnya.
Mengilat sambil berhanyut adalah kaedah yang paling efisen untuk mendapatkan sambaran sebarau sungai pergunungan sebegini

Disebabkan kami agak terlewat pada hari pertama ini dan juga hujan yang mulai turun, jadi kami hanya memancing sehingga jam 4 petang sahaja dan hasilnya memang OUT. Selepas itu kami perlu menyiapkan khemah untuk bermalam dan juga menyiapkan makan malam sebelum gelap menjelma.

Kini baru kami tahu bahawa khemah perlu disediakan secara make-shift camp iaitu berkhemah ala kadar dengan fly sheet sebagai bumbung dan juga alas lantai. Ini kerana kami akan menghilir lagi keesokan hari dan hari-hari yang seterusnya. Oleh itu, khemah hanya dibina di mana-mana sahaja bila petang menjelma. Namun begitu keselesaan berkhemah bukanlah sesuatu yang sangat penting bagi kami, asalkan dapat melelapkan mata untuk menghilangkan kepenatan sudah memadai!
Bila menghampiri kawasan sungai yang sempit dan cetek, kami akan mengilat dari tebing. Ia antara cara yang efektif untuk mendapatkan sambaran sebarau lebih-lebih lagi balingan ke belakang batu atau struktur kayu

Pada malam pertama hujan mulai turun seawal pukul 04.00 pagi dan masing-masing berharap agar airnya janganlah terlalu keruh sehingga mengganggu pancingan kami. Keesokan pagi selepas sarapan ringkas, kami menghilir lagi. Untuk hari ke dua ini banyak jeram-jeram yang kami lepasi dan kami begitu bernasib baik kerana  air sungainya masih berkeadaan baik untuk mengilat.

Kali ini kami telah berada di kawasan yang agak tenang dan mempunyai lubuk-lubuk yang cantik dengan airnya yang hitam menandakan ianya adalah lubuk-lubuk yang dalam. Lubuk-lubuk ini mempunyai banyak bangkar-bangkar kayu di sebelah kiri dan kanannya dan kelihatan begitu berpotensi untuk menjadi kediaman sebarau bersaiz gadang.
Lee Benteng paling banyak mendapat sambaran semasa mengilat dari tebing. Penggunaan gewang-gewang bersaiz 5 cm - 7 cm adalah kunci terbaik untuk menggoda sebarau di perairan cetek sebegini

Nuar Jabor yang menaiki bot yang satu lagi bersama Peter, Lee Benteng dan Iwan berjaya menggoda seekor sebarau yang bersaiz memuaskan dengan menggunakan gewang Rapala Flat Rap. Mugkinkah ini petandanya kami akan memperolehi hasil-hasil seterusnya yang akan memecahkan rekod peribadi masing-masing?

RAPALA FLAT RAP DAN SEBARAU GADANG

Kini kedua-dua bot berhanyut di lokasi yang sama dan nasib akan menentukan gewang siapakah yang akan diterkam serigala sungai berbelang dua ini. Kebanyakan kami menggunakan gewang-gewang selaman seperti Rapala Shad Rap, Countdown ataupun Yo-Zuri Hardcore, walaupun saya dan Sabri  memang teringin menggunakan gewang permukaan tetapi bot yang hanyut agak cepat membataskan penggunaannya.
Manakala Lee Benteng dan Nuar Jabor pula masing-masing membawa 2 ketul gewang Rapala Flat Rap, gewang yang tiada dalam simpanan saya, Sabri, Peter dan Morris. Mereka berdua sendiri pun tidak pernah menggunakan gewang ini dan membawanya untuk cuba-cuba. Rupa-rupanya gewang ini memang beraksi cantik di perairan deras sebegini kerana bentuk badannya yang pipih menyebabkan kurangnya rintangan air dan ia mampu berenang begitu cantik sekali. Di tambah pula dengan kemasan warna chrome-nya menyerlahkan kilauan yang begitu memukau semasa berenang. Satu lagi kelebihan gewang ini ialah ia dapat dibaling jauh dan dipersembahkan di atas reba-reba kayu yang tenggelam 1 atau 2 kaki dari permukaan kerana renangan ceteknya. Pastilah ini faktor-faktor pemikat yang serba ada pada gewang terbaru Rapala ini.
Sesudu Abu Island 18 gram adalah gewang lagenda untuk sebarau di kawasan sungai pergunungan sebegini. Gewang klasik ini tetap laku walau di mana sahaja ia digunakan

Keberkesanannya memang terbukti bila  lontaran Lee pada satu sudut yang dinaungi dahanan pokok telah disambar seekor sebarau besar. Dia dapat melihat bagaimana sebarau ini timbul dan mengambil gewangnya. Beliau juga begitu bernasib baik kerana sebarau ini menyambar gewang di kawasan agak terbuka dan kurangnya reba berselirat kerana Lee hanya menggunakan joran G.Loomis GLX 8 – 14 paun dan juga kekili Shimano Calcutta Silver 50. Namun, bila sebaraunya berjaya didaratkan, kami semua amat teruja dengan saiznya yang begitu mengujakan. Nampaknya sebarau gadang Ulu Tutoh telah menjelma dan inilah bukti di depan mata setelah selama ini kami hanya mendengar cerita-ceritanya dari Matthew sahaja.
  
HUJAN SEMAKIN TERUK

Kami menghanyut sejauh 21 km dan ianya berakhir bila bot ketinting kami menghampiri sebuah jeram deras dan sempit. Inilah pengakhir jalan untuk kami menghilir kerana jeram ini menghalang perjalanan bot kami. Dinding batu pada ke dua-dua belah sungai ini juga tidak membenarkan kami untuk mengankut bot untuk melepasinya.
Inilah point terakhir kami untuk menghilir kerana bot terhalang oleh jeram sempit, berbatu dan berair deras ini. Jarak keseluruhan kami menghilir dari dropping point ke jeram ini ialah sejauh 21 km

Sebenarnya mengikut Matthew, beliau tidak perlu menghilir sejauh ini untuk mengilat sebarau-sebarau gadang sebelum ini ketika kunjungannya semasa air kecil atau musim kemarau. Cuma kali ini kami terpaksa menghilir jauh kerana air besar, hujan dan kurang sambutan dari penghuninya.

Kini strategi terpaksa ditukar, disebabkan bot kami tidak dapat melepasi jeram terpaksalah kami trekking pula untuk mengilat di jeram-jeram deras bawahnya. Hasil juga kurang memuaskan walaupun terpaksa memanjat batuan besar yang licin kerana diselaputi lumut-lumut tebal yang seolah-olah tidak pernah dipijaki oleh manusia lain selain kami.
Aksi Peter bila gewang beliau diterkam sebarau yang menyambarnya di sebalik batu. Mengilat di kawasan jeram deras sebegini memang berpotensi kerana ia berkemungkinan besar di diami oleh empurau ataupun sebarau

Hari kedua ini tidak memberikan masa memancing yang lama kepada kami kerana hujan mulai turun dengan lebatnya menjelang petang sehinggakan kami terpaksa makan malam dalam curahan hujan yang lebat ini. Lukas dan Iwan pula bertungkus-lumus menyiapkan khemah kami di kawasan timggi kerana dikhuatiri paras air akan meningkat pada malam ini.
Inilah hasilnya, biasanya sebarau yang mendiami kawasan berjeram mempunyai tenaga yang lebih kuat daripada biasa

Benar seperti yang dijangkakan kerana pad amalamnya kami dapat melihat paras air sungai naik begitu cepat sekali dan malam ini kami terpaksalah tidur dalam keadaan khemah yang lembab.

Esoknya pada pagi hari ke tiga di dalam hutan ini, kami bangun dalam kehampaan. Hujan semalam bukan sahaja meningkatkan paras air malahan juga menukar air dari jernih kehitaman kepada “teh susu“. Ia bukan sahaja akan merencatkan pancingan kami hari ini tetapi air ini jugalah yang akan kami gunakan untuk memasak sarapan pagi dan menyediakan minuman pagi ini. Apa nak buat lantak sajalah...Nuar Jabor ada trick kerana beliau dah lama main hutan, air yang keruh ni beliau dah siap masukkan kopi dan jerang atas dapur. Bila dah mengelegak dan kopi O dah berbau harum, semua orang pun hentam juga!
Hujan berpanjangan menyebabkan air sungai menjadi keruh. Ia bukan sahaja menyukarkan pancingan malah air ini jugalah yang terpaksa kami gunakan untuk memasak dan juga untuk menyediakan minuman

Disebabkan air bahagian bawah ini sudah keruh jadi kami mengambil keputusan untuk naik kembali ke bahagian hulu sungai. Mengikut Matthew air di bahagian hulu agak kurang terjejas walaupun hujan kerana tiada cabang anak sungai yang akan menyebabkan air keruh seperti bahagian bawah ini.

MENGHULU SUNGAI

Menghulu sungai menggunakan enjin sangkut seperti mana bot yang kami gunakan bukanlah perkara mudah. Enjin ini ternyata terkial-kial melawan arus deras dan paling sukarnya bila pin pada propeller asyik patah bila ianya tersadung batu. Beberapa kali kami terpaksa berhenti untuk menukarnya, nasib baiklah guide Penan kami dan Matthew memang arif tentangnya.
Akibat air yang keruh di bahagian bawah, pada hari ke tiga kami terpaksa memancing di bahagian atas. Menghulu sungai menggunakan enjin sangkut seperti bot kami kurang efisen dan terkial-kial untuk menongkah arus jeram, berbanding bot Iwan di bahagian depan kami yang menggunakan enjin ekor biawak, ianya lebih berkuasa

Satu perkara lagi yang merungsingkan ialah keupayaan enjin ini menongkah arus. Setiap kali ia menaiki jeram, enjinnya seolah-olah akan mati dan Matthew yang berada di depan bot bermati-matian menujah bot untuk mara ke depan. Saya terbayangkan sekiranya enjin sangkut ini mati dan Matthew gagal mengawal bot dari terundur ke belakang, pastinya bot akan hilang kawalan dan terbalik... alamak ngeri tu!!!

Berbeza pula dengan bot satu lagi yang di pacu oleh enjin ekor biawak, ia begitu berkuasa sekali menongkah arus. Selamba sahaja kami tengok bot ini memanjat jeram sehinggakan Peter yang jadi juru mudi di depan bot boleh lepak sambil hisap rokok lagi! 
Mengilat dari tebing memberi lebih banyak masa untuk menduga setiap struktur berbanding dari atas bot ketika berhanyut

Kami akhirnya sampai ke bahagian hulu iaitu selepas melepasi dropping point hari pertama kami. Di kawasan ini sungainya mempunyai lebih banyak jeram dan juga lubuk-lubuk dalam. Pun begitu hujan masih mengekori walau ke mana sahaja kami berpindah dan ini amat mengecewakan kami. Hasil pancingan juga kurang memuaskan dari segi saiznya, hingga ke petang hari ke tiga ini hanya sebarau Lee Benteng sahajalah yang bersaiz seperti yang kami harapkan.
Bahagian hulunya mempunyai sungai yang lebih sempit dan dalam, oleh itu gewang jenis dive minnow seperti Duel Hardcore 90LB ini amat sesuai untuk digunakan

Inilah malam terakhir kami akan berkhemah di Ulu Tutoh kerana keesokannya harinya kami akan pulang kembali ke Long Lellang sebelum bertolak ke Miri. Pada malam ini masing-masing sukar untuk melelapkan mata mengenangkan nasib pancingan kami. Malamnya juga begitu dingin di camp site ke 3 kami ini walaupun hujan telah berhenti turun pada malam ini. Kesejukannya begitu terasa sehinggakan kami terpaksa memakai jaket walaupun telah menggunakan sleeping bag. Bila Sabri memeriksa GPS-nya, ketinggian camp site kami rupa-rupanya berada pada ketinggian 2346 kaki dari aras laut...patutpun sejuk semacam!

Pada masa yang sama saya terfikirkan tentang penempatan Long Sabai yang terletak berdekatan kerana Lukas dan Iwan telah pulang ke rumah masing-masing setelah 2 malam bersama kami. Kini baru saya faham kenapa orang-orang Penan ini berkulit cerah belaka, jauh berbeza dengan kaum asli di Semenjung yang kulitnya bak negro. Sebabnya kaum Penan tinggal di kawasan tanah tinggi yang sejuk sebegini dan siang harinya kurang pula kurang terdedah pada matahari, tentulah kulit mereka putih-putih semuanya.
    
HARI TERAKHIR 

Hari ini hari terakhir kami dan cuaca pula begitu elok sekali. Terik matahari mulai memancar dan air juga begitu jernih kerana tiada hujan pada sebelah malamnya. Pastilah hari ini hari yang bagus untuk mengilat sehinggakan Matthew mengeluh mengenangkan cuaca yang bagus hanya tiba pada hari terakhir ini. Kami pula hanya mempunyai masa setengah hari sahaja untuk mengilat sebelum pulang!

Seperti yang dijangkakan kami begitu mudah sekali menerima sambaran sebarau pada hari ini, tak  kira mengilat dari atas bot ataupun dari tebing. Masa setengah hari begitu pantas berlalu bila sebaraunya begitu galak meligan gewang kami. Walaupun tiada yang beskala seperti yang diharapkan tetapi dengan sambaran yang betalu-talu ianya amat memuaskan hati kami.

Hati dan kaki begitu berat sekali untuk meninggalkan sungai ini dan kami semua terfikir seandailah begini keadaannya ketika hari pertama kami datang dan kami mempunyai 3 hari bercuaca elok sebegini, mungkin semua pun akan “muntah“ untuk mengilat sebaraunya. Ternyata sedikit sahaja perubahan cuaca memberi keputusan yang amat besar dalam kejayaan mengilat penghuninya.

PENGALAMAN LEBIH BERHARGA 

Walaupun kebanyakan kami gagal untuk menjejak sebarau-sebarau Ulu Tutoh yang dikatakan mampu mencecah saiz mega disebabkan faktor cuaca yang tidak memihak kepada kami, tetapi pengalaman yang kami lalui adalah sesuatu yang sukar dicari di tempat lain. Kami diberitahu bahawa kamilah kumpulan pemancing pertama dari Semenanjung yang menjejakkan kaki ke daerah terpencil ini!

Menempuhi jeram deras, hujan, air keruh, sarapan air kopi cover line, nasi goreng + maggie sampai nak muntah hijau dan bermalam dalam khemah terbuka ditemani pacat dan pelbagai perkara lagi bukan sahaja memberi pengalaman pahit dan manis tetapi mengukuhkan lagi ikatan brotherhood antara kami dalam situasi sebegini!

Namun begitu ianya tidak menghentikan imaginasi kami tentang sebarau gadangnya dan jika ada masa kami akan kembali lagi untuknya. Walaupun begitu, kami tahu ia bukanlah sesuatu yang senang kerana faktor logistik dan pengangkutan adalah masalah utama, tetapi kami berharap agar teman-teman di sana bersedia lagi untuk menerima kunjungan kami pada masa yang mendatang kerana setiap seorang dari kami masih mengidamkan untuk mendodoi patan Sungai Ulu Tutoh ini!   

read more