Sudikan Diri Menjadi follower...

Sunday, August 22, 2010

Godaan Plastik Lembut Siakap

Sunday, August 22, 2010


Muara Sungai Penor sememangnya terkenal dengan siakap-siakap gadangnya. Siakap-siakap di sini pula, boleh diperdayakan dengan penggunaan gewang. Telah banyak spesies yang berjaya ditewaskan dengan renangan hard bodied lures, jadi geng Kuantan Lure Casters @ K.L.C ingin mencuba penggunaan soft plastic (S.P) pula. Adakah ia juga efektif seperti gewang-gewang lain? Tanpa di sangka, ia rupanya berjaya membuka selera raja muara ini untuk meligannya.

Kejayaan menewaskan siakap rekod 16 kg menggunakan Rapala Shad Rap di Muara Penor menyebabkan timbul pula keinginan untuk menipunya dengan kaedah lain pula. Selain dari kepelbagaian jenis gewang, S.P juga turut menghiasi pasaran cuma pengunaannya agak terhad dan jarang dipakai oleh pemancing di kawasan muara. Oleh itu Lee Benteng dan rakan-rakannya berkeyakinan, gewang dari plastik lembut ini juga mampu untuk menggoda spesies-spesies muara asalkan kena pada masa dan cara persembahannya.
Jig Head bermata kail Owner yang tajam akan memberi tancapan jitu. Penggunaan jig head yang betul akan memastikan S.P beraksi cantik untuk menggoda raja muara ini

Berkley PowerBait Realistix atau Gulp

Pure Fishing Malaysia bertanggung-jawab membawa masuk dan memperkenal kan S.P berjenama Berkley ke pasaran negara. Ia terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk tetapi ia boleh dikategorikan kepada 2 iaitu PowerBait dan Gulp. Jika diikutkan kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. PowerBait agak pejal sedikit dari Gulp, tetapi Gulp mempunyai kelebihan dari segi bau yang terdapat pada badannya. Ia dikatakan mampu menyebar 400 x bau ke ruang sekelilingnya. Kekurangannya pula, ia tidak tahan lama dan sukar disimpan. Senang kata Gulp hanya sesuai untuk sekali guna sahaja, manakala PowerBait boleh diguna berkali-kali asalkan tiada kecacatan pada bahagian badannya.
Siakap bersaiz remaja juga terpedaya dengan renangan S.P. Ini adalah hasil semasa cubaan-cubaan awal penggunaannya

Oleh sebab itu, geng pengilat Kuantan lebih gemar menggunakan PowerBait dari model Power Minnow Rainbow Smelt berukuran 4 inci. Ia berwarna hijau dan pada malam hari, lebih-lebih lagi semasa kehadiran bulan, badan S.P ini memberi kilauan hasil dari pantulan cahaya. Satu lagi model pilihan ialah Power Minnow Smelt berukuran 3 inci, ia berwarna lebih semulajadi iaitu putih hitam. Kedua-dua model ini berbentuk tirus dan mempunyai 2 cabang ekor.

Teknikal Soft Plastic

Perkara pertama ialah memastikan keadaan airnya bersesuaian untuk menggayakan S.P. Jika air besar maka ianya akan menghasilkan arus yang deras di alur Sungai Penor yang sempit ini. Oleh itu air kecil adalah masa terbaik, kerana semasa ini perbezaan pasang dan surutnya tidak ketara dan ini akan menghasilkan arus yang perlahan. Ianya amat penting untuk menjamin agar S.P berenang dengan cantik, lantas berjaya membuka selera penghuni muara ini.
Mungkinkah renangan S.P yang melentuk-lentuk menyebabkan siakap menjadi geram?

Selepas pemilihan hari dan waktu terbaik ditetapkan, bagaimana pula dengan penggunaan peralatan pancingnya? S.P tadi biasanya akan dipadankan dengan Berkley Nitro Jig Head model Bream Pro Series. Semasa arus lembut, jig head seberat 3.6 gram sudah memadai, dan ia mempunyai kelebihan tenggelam 30 cm persaat. Mata kailnya dari jenama Owner yang terkenal dengan ketajamannya dan ia cukup kuat untuk menahan asakan siakap di kawasan bereba di sini.

Disebabkan kombinasi S.P dan jig head yang ringan sebegini, maka kekili mendatar (spinning reel) lebih praktikal. Kekili bersaiz kecil seperti model dibawah saiz 3000 yang diisi tali sulam 10 paun sudah memadai. Joran lembut berkekuatan 12 paun ke bawah amat sesuai untuk menghidupkan aksinya. Pergerakan atau aksi S.P hanya pada bahagian ekornya sahaja dan ia tidak mempunyai buit-in action seperti hard bodied lure lainnya. Oleh itu gaya karauan dan henjutan amat penting untuk menghidupkan aksinya.
 3 ekor siakap pada satu malam dengan penggunaan S.P agak membanggakan

Semasa mengilat pula, jika tiada sebarang tanda-tanda siakap mengejar mangsa, maka balingan di lakukan di luar kawasan bereba. Ia dibiarkan tenggelam sehingga mencecah dasar dan selepas itu barulah karauan dilakukan. Biasanya 2 cara ini digunakan untuk  menggayakannya. Ada yang gemar membuat kayuhan amat perlahan dan dengan cara ini, jig head yang berat tadi akan menyondol dasar sementara S.P pula akan tertonggeng ke atas dan bahagian ekornya akan membuai-buai. Seretan yang perlahan juga akan menyebabkan setiap lubang atau lekuk pada bahagian dasar akan dijelajahi oleh S.P ini.

Hujung joran direndahkan, dan disentap ke kiri dan kanan menyebabkan S.P akan beraksi zig-zag. Ini antara aksi yang paling digemari oleh Lee Benteng yang merupakan antara pelopor penggunaan S.P di Muara Penor ini. Teknik yang menyebabkan S.P melilau kiri dan kanan ini  kerap memperdayakan siakap Penor.   

Teknik manapun digunakan, tetapi masa paling penting ialah semasa membuat sentapan untuk memastikan mata kail tertacap kemas ke mulutnya. Siakap biasanya akan mengeman terlebih dahulu dan ia kurang curiga terhadap S.P kerana badannya yang lembut seolah-olah ikan betul. Bila terasa ragutan biarkan ia seketika dan bail arm dibuka untuk membiarkannya membetulkan kedudukan mangsa sebelum menelannya. Selepas tali terasa dibawa lari, masa inilah rentapan padu perlu dilakukan.

Selepas itu tunggu sahaja lompatan darinya untuk memastikan ianya adalah raja muara yang anda nanti-nantikan lariannya. Seandainya anda berkesempatan mengilat siakap di lokasi kegemaran, pastikan S.P dibawa bersama, manalah tahu ada spesimen lebih besar pula yang terpedaya!

Artikel Oleh : Saudara Adlizam Yasin