Sudikan Diri Menjadi follower...

Sunday, August 29, 2010

SIAKAP SUNGAI PENOR

Sunday, August 29, 2010








Acara mengilat waktu malam bertemankan limpahan sinaran bulan penuh, menghasilkan raja muara bersaiz gadang di muara sungai bahagian barat negeri tok gajah ini.

Muara-muara  sungai di negeri Pahang sememangnya telah cukup terkenal dengan keupayaannya menghasilkan tangkapan siakap bertaraf rekod. Sungai-sungai seperti Merchong, Ceruk Paluh dan Balok bukan sahaja menjadi tumpuan utama pemancing dari sekitar Kuantan malah turut menerima kunjungan para pemancing dari serata tanah air untuk menduga spesies raja muara ini.

Perkenalan singkat saya dengan geng pemancing dari Kuantan beberapa bulan yang lalu menemukan saya dengan satu lagi lokasi terbaik untuk menduga siakap dan yang paling penting ialah cara pemburuan yang agak asing bagi saya iaitu mengilat pada waktu malam.
Lagenda mengilat Kuantan bersama siakap seberat 10kg yang diperolehi dengan menggunakan rapala magnum 7cm.
Dimana nak cari siakap sebesar ini sekarang??

Sungai Penur & Lokasi Labuhan

Sungai Penur yang terletak di bahagian barat negeri Pahang ini terletak kurang dari satu jam perjalanan dari bandar Kuantan. Walaupun jarak perjalanannya tidaklah terlalu jauh, tetapi perjalanan malam terpaksa diperlahankan dan lebih berhati-hati memandangkan melalui jalan kampung yang gelap dan terdapat banyak pula port lembu dan kerbau ”bersantai” di atas jalan raya di sini. Silap-silap kalau memandu laju boleh berdentum kereta menghentam kerbau yang sukar untuk dilihat pada malam hari sebegini. 

Muara Sungai Penur yang agak luas ini mempunyai alur yang sempit sahaja  iaitu lebih kurang 40 kaki dan keadaan ini menyebabkan air meluru laju setiap kali waktu pasang dan surut. Oleh itu pemancing tempatan amat mementingkan paras air (tide) untuk memancing di sini. Jadual pasang surut akan dikaji terlebih dahulu sebelum turun memancing dan waktu terbaik ialah pada bacaan di bawah paras 1.0 meter. Ketika bacaan rendah sebegini, air mengalir keluar dan masuk secara lebih perlahan dan memudahkan permainan gewang.
Peter tidak ketinggalan menaikkan siakap di sungai Pnor ini

Terdapat dua jalan masuk untuk ke muara sungai ini, satu melalui kawasan Kampung Kuala Penur dan meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan yang dinamakan Kolam Udang. Di tepi tebing penghujung jalan kampung ini kenderaan akan diparkir dan dari sini terpaksa pula memunggah barang-barang  dan berjalan kaki merentasi padang pasir pantai sejauh lebih dari satu kilometer.

Untuk lokasi pancingan ini, sebenarnya  kami berdiri di atas pasir sungai yang merupakan bahagian dasar muara. Sebab itulah acara mengilat di sini hanya dilakukan semasa bacaan paras air terkecil dan pada waktu air sedang surut habis. Balingan gewang ditujukan pada bahagian alur sungai sahaja kerana ketika ini hanya bahagian alur sungai sahaja yang masih mempunyai aliran air manakala bahagian sekitarnya (termasuk tempat pemancing berdiri) telah surut sepenuhnya. Bagi pemancing yang tidak biasa dengan pasang surut di sini diingatkan agar berhati-hati dengan waktu air pasang. Ketika sedang seronok dan asyik mengilat, sekali-sekala perlu memerhatikan keadaan sekeliling kerana air pasang selalunya memenuhi kawasan sekeliling dahulu sedangkan tempat anda berdiri (tebing pasir di sini lebih tinggi) air masih belum naik lagi. Bimbang kalau kes sebegini terjadi dan anda akan terperangkap di tengah-tengah muara sungai!
Senangin juga terdapat di sungai pnor ini. Awal pagi adalah waktu terbaik dan jika bernasib baik anda akan terserempak senangin ini boiling dipermukaan air.

Jalan kedua pula  membolehkan anda memancing di tebing bersebelahan tetapi untuk ke sini agak sukar sekiranya tidak biasa dengan keadaan jalannya. Untuk ke lokasi ini perjalanan perlu diteruskan melintasi Kampung Kuala Penur sehinggalah ke pusat latihan tentera yang dikenali sebagai Padang Tembak. Lagipun untuk ke sini kenderaan pacuan 4 roda diperlukan kerana terpaksa meredah semak dan laluan jalan hutan sebelum kenderaan diparkir di tebing sungai sahaja. Kelebihan lokasi ini ialah anda memancing dari tebing dan tidak perlu risau tentang air pasang kerana air tidak akan sampai ke tempat anda berdiri, malah anda juga boleh memacak khemah di sini. Walaupun begitu terdapat juga kelemahannya memancing dari sini kerana keadaan tebingnya yang tinggi dan curam malah terdapat banyak pula kayu-kayu tumbang di sepanjang tebing yang akan menyukarkan balingan dan kadar sangkutnya  faham-fahamlah sendiri.
Orang kuat K.L.C yang telah banyak menumpaskan siakap di sungai Penor ini

Kombinasi Pasang Surut Dan Bulan

Seperti yang dinyatakan di atas pemilihan hari memancing pada waktu pasang surut paling kecil adalah pilihan utama kerana faktor arus air yang lembut. Walaupun begitu untuk kegiatan mengilat pada sebelah malam pula, satu lagi faktor yang paling penting ialah kehadiran cahaya bulan. Jadi kombinasi terbaik yang selalu ditunggu-tunggu oleh pemburu siakap di Penur ialah paras air di bawah bacaan 1.0 meter semasa bulan purnama penuh, inilah masa keemasan untuk mengilat siakap di sini.
Mempelbagaikan penggunaan gewang dalam kaedah mengilat memberi keputusan yang berbeza. Dalam trip ini ada diantara kami yang menggunakan gewang selaman dalam, cetek dan gewang permukaan. Malah ada juga yang menggunakan pancingan layang, tetapi hanya Faiz Karim yang menggunakan soft plastic dan hanya beliau seorang sahaja yang berjaya pada malam tersebut

Sebagai pemangsa utama muara, siakap mengesan kehadiran ikan makanan atau objek lain menggunakan deria pengelihatan dan getaran yang terhasil di dalam air. Semasa bulan mengambang penuh begini, sinaran cahaya bulan memberi lebih kelebihan untuknya mengesan menggunakan deria penglihatan berbanding semasa ketiadaan bulan atau semasa malam gelap.

Struktur Dan Kuali Siakap

Seandainya anda pernah ke sini pada waktu siang semasa air surut, kelihatan lekuk-lekuk pasir pada dasar sungai yang seolah-olah kuali ikan tilapia tetapi bersaiz lebih besar dan dalam. Di sinilah diandaikan bahawa siakap bersembunyi untuk mengendap mangsa. Pemancing otai yang sudah masak dengan keadaan sungai ini selalunya akan membaling gewang jauh sehingga ke seberang sana dan membiarkannya jatuh di tebing ataupun di gigi air. Teknik ini selalunya digunakan oleh pemancing yang memancing dari tebing Padang Tembak dan setelah gewang jatuh pada gigi air mereka mula melakukan kayuhan secara perlahan-lahan agar gewang melalui kawasan kuali yang dijangka didiami oleh siakap. Proses berulang kali selalunya akan menemukan mereka dengan kuali yang mempunyai penghuni dan pastinya menjanjikan perlawanan mengasyikkan.
Saiz sebegini memang banyak kat Sungai Penor ni

Bagi pemancing yang melakukan aktiviti mengilat dari arah Kolam Udang pula, mengilat dari sini anda lebih bebas kerana banyak kawasan lapang dan arah balingan pula ditujukan pada bahagian tengah alur yang berstruktur ataupun ke pokok-pokok tumbang yang banyak pada bahagian tebing Padang Tembak. Menyusuri sepanjang gigi air untuk mengilat akan membawa anda ke pertemuan dua sungai dan ini juga merupakan satu lagi tempat berpotensi untuk mengilat.

Persediaan Mengilat Malam

Cara terbaik sebelum mengilat waktu malam di sini ialah datang awal petang sewaktu hari masih cerah untuk meninjau dan memetakan dalam kepala tentang struktur sungai dan tempat terletaknya bangkar serta pokok-pokok kayu tumbang. Lawatan pertama kami adalah pada waktu malam dan acap kali lontaran gewang kami ditujukan terus ke atas atau ke dalam reba. Kehilangan gewang adalah lumrah dalam dunia pancingan gewang tetapi sebenarnya ia dapat dikurangkan sekiranya kami berkunjung lebih awal sewaktu matahari masih kelihatan ke sini.
Struktur kayu tumbang yang terdapat di Sungai Penor suatu ketika dulu

Mencabar siakap yang sudah sekian maklum mempunyai tenaga yang kuat di alur sungai yang sempit dan banyak pula struktur di dalamnya sebegini semestilah mempunyai teknik dan cara yang tersendiri. Bagi kaki pengilat dari Kuantan, rata-rata mereka menggunakan set baitcaster Shimano Calcutta 50 dan diisi dengan tali sulam berkekuatan 15-20 paun sahaja. Bila disebut 20 paun bunyinya seolah-olah set pancingan dalam kelas sederhana, tetapi bila mengenangkan ianya adalah tali sulam dan biasanya mempunyai diameter tali yang amat halus.

Kelemahan utama tali sulam walapun ianya sukar putus bila ditarik tetapi ianya sebenarnya amat lemah dan mudah kalah kepada ketajaman teritip yang pastinya menghuni setiap bahagian reba atau bangkar. Untuk keselamatan shock leader berkekuatan 30 – 40 paun adalah amat perlu dan tanpa bantuan perambut penyerap kejutan ini, tali sulam pasti dipotong teritip tajam.
Siakap merah juga mudah didapati di Sungai Penor ini 

Gewang paling top dan mujarab di Penur adalah dari jenis selaman cetek Rapala Shad Rap dan juga Rapala Skitter Popper. Saiznya yang selalu menjadi pilihan pula adalah 7cm dan pemilihan warna lebih kepada waran-warna semulajadi seperti warna seakan belanak dan sebagainya.  Untuk Rapala Shad Rap, gewang jenis tenggelam (sinking) lebih effektif jika dibandingkan gewang jenis timbul. Pengalaman pemancing yang telah sekian lama menghabiskan masa di sungai-sungai muara Pahang seperti Rosli mengatakan bahawa Rapala Shad Rap jenis tenggelam mempunyai binaan badan yang lebih berat dan stabil walaupun di dalam air yang berarus deras. Berbeza pula dengan Rapala Shad Rap jenis timbul yang lebih ringan, gewang ini akan menyenget atau mengiring bila dikarau dalam arus deras dan mencacatkan persembahan aksinya.
Menahan asakan siakap bersaiz 6 kg ke atas selalunya menguji ketahan terminal tackle yang digunakan. Geng pengilat Kuantan selalunya akan upgrade matakail asal gewang kepada yang lebih kuat dan mahal seperti mata tiga berkekuatan 6 X (6 strong). Itupun ada kalanya terkangkang digasak siakap-siakap liar Penor ini.


     Siakap segandang 16.25 kg ini ditumbangkan dengan kombinasi tali sulam 20 paun, kekili menegak Shimano Calcutta 50 dan joran custom made berkekuatan 8-17. Ini merupakan rekod siakap terbesar setakat ini di Sungai Penor dengan kaedah mengilat.

4 comments:

Unknown said...

salam.....abg boleh share map tak tempatnye

Unknown said...

Share la port bang

Unknown said...

haha dh xde siakap kt sini..payah nk cri dh..abis smue balon dek orng..xsmpt nk besar pon bwk blik jgk huhu..

Unknown said...

Yer sye setuju dengan mohammad firdaus rosdin..populasi perikanan sungai2 pantai timur semakin tertekan dan rakus..hanya 1 talian hayat terbang di sabah dan papua..sementara masih ada stock di sana..

Post a Comment