Sudikan Diri Menjadi follower...

Saturday, August 7, 2010

Kebun Pisang Besut

Saturday, August 7, 2010

Oleh   :  Adlizam Yasin


Berbulan-bulan lamanya saya dan Alex Riverside cuba menetapkan tarikh yang sesuai untuk menduga kawasan pulau-pulau berbatu di sekitar perairan Besut, Terengganu. Akhirnya, penantian kami berbaloi kerana di sini terdapat banyak spesies kerapu mahal yang dikenali sebagai kerapu pisang @ Plectropomus leopardus yang ligat meligan jig-jig kerdil!

Kedatangan Monsun Timur Laut yang melanda negeri-negeri Pantai Timur merencatkan perancangan saya dan Alex untuk mencari spesies eksklusif kerapu pisang melalui kaedah jigging ringan. Pada penghujung tahun lalu saya menerima email dari beliau dan bersama email tersebut disertakan sekali lampiran gambar-gambarnya bersama spesies kerapu yang cantik dan mahal ini. Tetapi apakan daya, kedatangan monsun pada setiap hujung tahun menyebabkan saya terpaksa memendam hasrat tersebut sehinggalah tiba masa yang sesuai.

Pada awal bulan Mac lalu, Alex menghubungi saya mengatakan bahawa cuaca telah pulih dari monsun dan tibalah masanya untuk menduga kawasan pulau-pulau berbatu yang didiami oleh kerapu pisang ini. Ketika ini, spesimen lain seperti ebek dan gerepoh juga dikatakan mulai berkumpul di kawasan pulau dan di tukun simen ataupun tukun kapal. Kehadiran spesimen pelahap kepingan besi ini tentulah menambahkan lagi keseronokan jigging ringan.

Jig Kerapu Pisang

Kerapu pisang @ Plectropomus leopardus dalam bahasa English dikenali sebagai Coral Trout, malahan ada juga yang mengelarkannya sebagai Blue-dotted Coral Trout, Blue-spotted Sea Bass dan juga Leopard Coral Grouper. Ia dikatakan mendiami kawasan berbatu karang yang cetek, bersifat pemangsa dan kurang aktif pada waktu malam. Spesimen berwarna merah menyala dan berbintik biru neon ini dikatakan sukar untuk dipancing menggunakan kaedah umpan dan jigging adalah antara cara terbaik untuk memujuknya keluar dari jerumun batu karangnya itu. Selain dari kaedah jigging, saya pernah terbaca dalam sebuah majalah memancing tempatan yang menpraktikan kaedah trolling di tepian pulau berbatu untuk mengoda spesies kerapu cantik ini.

Berdasarkan maklumat dari Alex dan juga Me’sor (boatman), kerapu pisang cukup tertarik dengan kepingan jig berwarna putih ataupun berkilat pada keseluruhan badan. Jig-jig seberat 40 – 60 gram adalah paling bagus kerana ia dapat dipersembahkan dengan baik di padang pancing yang hanya berkedalaman kurang dari 25 meter ini. Disebabkan habitat kerapu pisang yang berkarang dan berbatu ini, risiko sangkut pastilah amat tinggi dan saya dinasihatkan agar menggunakan jig-jig yang berharga ekonomi sahaja. “Pisang di sini tidak menghiraukan jenama jig, yang penting ianya perlu berbadan nipis, berkilat dan ringan” itulah pesanan Alex.

Berdasarkan nasihat beliau itu,  sebelum berangkat ke Besut, saya singgah di Syarikat Kepong terlebih dahulu untuk mendapatkan  jig-jig yang memenuhi ciri-ciri di atas dari jenama ekonomi seperti Bluefox, Sabpolo,  Eupro, White Rabbit, River2Sea dan juga Hinomiya.

Jarak antara Kevlar dan Mata kail Assist perlulah sependek mungkin dan ukuran paling senang adalah mata kail terletak separas dengan mata ikan pada kepingan jig. Ini amat penting untuk mengurangkan peratus tersangkut. Joran berkekuatan PE1 – 3 paling sempurna untuk mengayakan jig-jig kerdil sebegini. Oleh itu, joran Abu Garcia Conolon adalah pilihan paling tepat. Saya mengandingkan joran ini bersama kekili Shimano Twinpower 4000 dan tali sulam Stren 30 paun sumbangan dari Pure Fishing Malaysia.
      Kerapu pisang yang anggun ini hanya diperdayakan dengan kepingan jig berharga ekonomi dari Eupro. Harga tidak menjadi ukuran asalkan tahu bagaimana cara yang betul untuk mempersembahkannya, pasti ada pemangsa yang terpikat.


     Alex Riverside bertangung-jawab memperkenalkan tekong Me’sor kepada saya. Anda juga boleh membuat tempahan bot melalui beliau.

                              Kerapu pisang pertama saya...pergh!!! masak stim pun sodap....
                                             Lagi kerapu pisang daripada Alex

Cuaca Tidak Menentu
 
Peliknya cuaca kebelakangan ini, sekarang sudah masuk pertengahan bulan Mac tetapi hujan masih turun dengan lebatnya di Pantai Timur sehinggakan Daerah Besut dilaporkan ditimpa banjir kilat. Saya sebenarnya sudah berada beberapa hari di kampung sebelum trip atas urusan keluarga, dan hujan lebat selalu berlaku bermula awal malam sehingga ke pagi menyebabkan kawasan rendah seperti kawasan penanaman tembakau telah digenangi air! Daerah Besut, Terengganu dan Pasir  Puteh, Kelantan (kampung saya) pula adalah berjiran, tentulah hujan turut juga melanda lokasi padang pancing itu.

Kebimbangan melanda, kerana untuk pancingan jigging ringan, keadaan cuaca panas adalah sangat diharapkan. Perairan yang cetek memerlukan cahaya suria ini untuk menghasilkan keputusan jigging yang baik. Sewaktu saya memandu berkeseorangan pada pagi 21 Mac 2009, memang jelas kelihatan kawasan rendah di Daerah Besut ini juga turut digenangi air! Apa yang saya harapkan adalah agar hujan turun menurut jadual biasanya, iaitu pada sebelah malam dan kami berkesempatan untuk memancing pada sebelah pagi hingga petang ini.
Boatman Me’sor, satu-satunya tekong yang membawa pemancing jigging atau popping ke perairan Besut. Sekiranya berminat kena tempah lebih awal kerana beliau hanya menyediakan perkhidmatan sewa bot pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja setiap minggu
Bot sepanjang 27 kaki ini sesuai sekiranya dinaiki oleh 4 pemancing untuk mengelakkan ruang yang terhad bila jigging ataupu popping


Tekong Jigging Besut

Alex dan 2 rakan pemancing berbangsa Thai telah berkumpul di jeti Kampung Raja, Besut. Walaupun Besut hanya terletak setengah jam sahaja dari kampung halaman saya, tetapi saya belum pernah menduga perairannya kerana tidak mempunyai kenalan dengan sebarang tekong di sini. Kali ini saya diperkenalkan dengan Me’sor, satu-satunya boatman yang membawa pemancing untuk jigging dan popping di pulau berbatu perairan Besut.  Beliau sebenarnya bekerja tetap sebagai tukang rumah khusus dalam membuat plaster siling dan hanya membawa pemancing pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja, iaitu pada hari beliau cuti. Oleh kerana beliau juga amat gilakan aktiviti jigging, maka membawa kaki jigging ke laut turut menjadi kegemaran beliau. Disebabkan beliau mengkhususkan dalam jigging dan popping sahaja, maka banyak lubuk-lubuk berpotensi yang dia ketahui dan ini amat berguna kepada kaki-kaki jigging yang mendapatkan khidmatnya.   
 Kerapu pisang ini juga turut saya perdayakan dengan menggunakan jig Duel Tamentai 40 gram. Berat, warna dan bentuk badannya yang sesuai memberi persembahan yang baik di kawasan cetek sebegini.
 Mie Bingo dari Kuantan yang pertama kail jigging juga dapat memperdayakan kerapu pisang menggunakan jig Hinomiya. Ini menunjukkan di kawasan yang berpotensi sebegini, orang baru pun berpeluang untuk merasai tarikan spesies kerapu eksklusif ini.
                           Jig hinomiya 60gram yang berwarna putih amat laku sekali di sini
2 Kawasan Utama

Terdapat 2 padang pancing utama untuk jigging iaitu di kawasan kapal karam atau tukun dan juga di tepian pulau-pulau berbatu. Spesimen buruan dan gaya persembahan juga berbeza di kedua-dua kawasan ini. Kami berhenti di kawasan kapal karam dan tukun yang popular seperti Kapal Gula dan Gobeng untuk mencari ebek, tenggiri ataupun haruan tasik  tetapi tiada sebarang hasil. Ia mungkin juga disebabkan keadaan arus yang kurang sesuai lantas kelibat spesies-spesies  sebegini belum kelihatan di kedua-dua kawasan ini.

Selepas itu Me’sor mengambil keputusan untuk mencuba kawasan pulau berbatu pula dan di kawasan sebegini tentulah spesies kerapu yang menjadi buruan utama lebih-lebih lagi kerapu pisang! Walaupun terdapat banyak pulau-pulau berbatu tetapi bukan kesemuanya menjadi habitat tempat tinggal kerapu pisang. Hanya beberapa lubuk sahaja yang diketahui Me’sor selalu membuahkan hasil kerapu mahal ini dan port-port inilah yang dipanggil beliau “Kebun Pisang”.

Macamana Jigging Kerapu

Jigging kerapu tidak kira apa spesies pun caranya tetap sama sahaja. Sebagaimana yang diketahui, spesimen ini mendiami kawasan berkarang dan caranya menyambar mangsa ialah dengan serang hendap. Ia biasanya mendiamkan diri menunggu mangsa melintas di hadapannya dan akan keluar menyambar mangsa, kemudiannya akan masuk kembali ke lubang persembunyiannya itu.  Riaksi sepantas ini jika tidak ditangani dengan cepat pastinya akan mengundang sangkut pada kepingan jig yang digunakan. Bukan itu sahaja cabarannya, kalau pun jig tidak dibawa masuk kerapu ke dalam lubangnya,  ia juga akan senang-senang tersangkut pada batu karang atau pun pada celah-celah batu di dasar lebih-lebih lagi jika kita kurang pasti caranya.

Antara cara paling baik untuk mengelakkan jig tersangkut ialah dengan memastikan kita selalu berjaga-jaga dan cepat bertindak bila jig yang diturunkan telah jejak ke dasar. Cara untuk mengetahuinya ialah dengan meletakkan ibu jari pada gelendung tali. Semasa menurunkan tali, ibu jari dapat merasai tali sedang mengelongsor turun dan bila ia berhenti sahaja (tandanya, jig telah jejak ke dasar), bail arm perlu ditutup segera dan karauan terus dilakukan. Perlu diingat bahawa jigging kerapu di sini adalah dengan cara bot berhanyut. Ketika berhanyut sebegini, risiko sangkut lebih tinggi berbanding ketika bot diparkir. Seandai “berkhayal” sejenak sahaja, memang pasti jig akan tersangkut pada karang atau batu di dasarnya.

Memperdayakan kerapu dengan cara jigging berlainan dengan spesimen lain, ini kerana kerapu merupakan pemangsa dasar. Ia bermakna kerapu berlegar dan bersembunyi di bahagian dasar berkarang dan mengambil kesempatan pada pemangsa yang melintasi kawasannya. Berdasarkan habitat tempat tinggalnya dan cara pemakanannya sebegini, jadi untuk memperdayakannya maka jig perlu diunjun pada bahagian dasar sahaja. Me’sor menyarankan agar jig dihenjut dan dikarau dalam 5 – 6 pusingan sahaja dan kemudiannya dijatuhkan kembali ke dasar. Semasa jigging berhanyut ini, lebih banyak kawasan dapat diteroka dan nasib menentukan bila masanya jig anda jatuh betul-betul dihadapan “rumah” kerapu dan ia pastinya bersambut! Walaupun begitu proses berulang kali naik dan turun jig ke bahagian dasar yang berisiko ini memang tidak dapat mengelakkan jig dari tersangkut. Macamana sekali pun beringat dan berhati-hati,  tetapi banyak juga jig yang lebur pada trip kali ini.

Apa pun itulah caranya jika ingin mendapatkan sambaran dari pelbagai spesimen kerapu, kalau takut jig tersangkut maka pastilah sukar untuk mendapatkan sambaran dari spesies ini! Patutlah Alex dan Me’sor awal-awal lagi sudah berpesan agar menggunakan jig murah sahaja.

Ritma jigging paling berkesan ialah membuat unjunan serta karauan laju. Dengan cara ini kepingan jig kelihatan lebih lincah bergerak di atas kawasan karang sementelahan pula dengan cara berhanyut sebegini, ia tentunya kelihatan seolah-olah anak-anak ikan yang bertempiaran melarikan diri dari pemangsanya. Aplikasi jigging dengan karauan laju berkesan untuk menjerat pelbagai jenis kerapu di sini, mungkin juga ia berlainan dengan tempat lain. Saya difahamkan kerapu bara di kawasan Karang Luas, Pahang pula lebih menggemari jig yang dipersembahkan dengan gaya yang amat perlahan. Saya turut mempraktikan cara ini di perairan Besut, tetapi tiada sambutan dari mangsa, tetapi dengan menukar kepada rentak karauan laju ia ternyata mendapat sambutan. Mungkin juga ada faktor-faktor lain yang mempengaruhinya?

Perhatikan ke dua-dua gambar kerapu pancingan Sabri ini. Ia nampak seakan-akan sama sahaja, tetapi kerapu gambar 11 A adalah spesies mahal kerapu pisang manakala kerapu gambar 11 B pula dikenali sebagai kerapu  spring kerana kulitnya yang amat liat dan tidak enak. Kerapu spring biasanya akan dilepaskan bila terpancing kerana kulitnya akan jadi liat macam tiub  basikal bila dimasak!  Kedua-duanya nampak hampir serupa, kerana warna dan bintik birunya yang sama sahaja. Kunci utama mengenali kerapu pisang ialah bentuk badannya yang lebih panjang dan ekornya yang lebih lebar serta potongannya yang tegak manakala ekor kerapu spring pula berbentuk agak bulat. Perhatikan betul-betul sebelum Catch & Release nanti tersilap lepas pula spesimen kerapu pisang yang mahal tu!!!

Jig Paling Laku

Untuk jigging ringan di kawasan cetek sebegini jig-jig kerdil paling laku dikekah kerapu. Saya lebih berjaya dengan jig Duel Tamentai 40 gram dan River2Sea – Sea Rock 60 gram. Kedua-duanya berjaya menggoda kerapu pisang walaupun tidaklah bersaiz besar. Jig-jig ini berwarna keseluruhan putih manakala bagi jig Duel Tamentai pula, walaupun ia berwarna emas tetapi sebelah lagi badannya berkilat. Mungkin juga pantulan cahaya matahari di kawasan cetek sebegini menyebabkan ianya cukup menarik perhatian kerapu. Saya berjaya menggoda pelbagai spesies kerapu menggunakan jig ini sehinggalah ke dua-duanya putus “dimakan” oleh batu karang!
Antara jig-jig pelbagai jenama seberat 40 – 60 gram yang digunakan semasa kunjungan tempohari


                                                Hasil-hasilnya........
Sabri K.L.C yang sedang bercuti di rumah metuanya di Jerteh juga saya ajak bersama untuk jigging kerapu pisang kali ini. Lagipun ini antara spesimen buruan beliau yang belum lagi berjaya ditawannya walaupun telah banyak kali turun jigging di perairan Pekan, Pahang. Kali ini beliau berjaya mendaratkan kerapu pisang paling besar dengan menggunakan jig Eupro 40 gram berwarna putih  pada keseluruhan badan dan sedikit warna kuning. Selain dari itu, Sabri cukup berjaya dengan kepingan jig murah dari jenama Hinomiya. Jig berwarna putih keseluruhan ini cukup berkesan pada trip ini dan kebanyakan spesies berjaya diperdayakan dengan jig yang langsung tidak cantik pada pandangan mata kami ini. Bayangkan jig berwarna putih pudar dan reka bentuk badan yang tidak menarik serta langsung tiada corak, tetapi pada pandangan mata ikan pula, mungkinkah jig serba putih ini kelihatan seperti ikan bilis atau ikan-ikan kecil lain agaknya? Sebab itulah agaknya ia asyik disembatnya sahaja!

Selain dari warna dan berat jig yang sesuai, perambut juga perlu agak kasar untuk menangani larian mangsa ke arah batu karang. Biasanya untuk jigging ringan saya menggunakan shock leader berkekuatan 40 paun dari jenama YGK ataupun Varivas. Ketika kunjungan lalu saya turut menggunakan perambut serap kejutan yang selalu saya pakai jika berkunjung ke Pekan ini. Rupa-rupanya kekuatan 40 paun tidak dapat menangani larian ikan di pulau-pulau berbatu ini. Saya menerima saya rentapan kasar dan bila mangsa telah tercangkup mata kail, saya hanya menahan lariannya dengan drag yang sesuai, tetapi hanya beberapa meter larian sahaja ia sudah rabut. Saya ingatkan mata kail tidak tertancap kemas tetapi bila tali dikarau naik, saya dapati perambutnya yang putus! Alex yang berada bersebelahan saya bertanyakan kekuatan perambut yang saya gunakan dan katanya, beliau dan kaki jigging lain yang selalu berkunjung biasanya menggunakan perambut serap kejutan berkekuatan 60 paun! Perambut agak kasar sebegini barulah dapat menahan asakan ikan dan juga ancaman batu karang.

 Kawasan batu-batu separa timbul juga menjadi gelangang terbaik acara popping
 Gerepoh & G.T bersaiz begini menjadi buruan utama popping di kawasan pulau berbatu. Penggunaan set ringan menambahkan keriangan acara ini
                      Selain dari popping, G.T juga boleh diperdayakan dengan kepingan jig
Potensi Pancingan

Pertama kali saya memancing di sini dan juga mendapatkan khidmat Me’sor, ianya amat memuaskan hati. Malah sebenarnya ia melebihi jangkaan saya akan potensi dan perkhidmatan yang disediakan. Me’sor saya kelaskan sebagai A untuk kerajinan dan pengetahuan lubuk-lubuknya. Beliau akan berpindah setelah berada lebih kurang setengah jam di satu-satu lubuk. Seandainya tiada sambutan dia akan berpindah ke lubuk-lubuk lain yang dirasakannya berpotensi lebih-lebih lagi ke “Kebun Pisang” yang  pada firasatnya berpenghuni.

Perkhidmatan boatman sebeginilah yang dikehendaki, dapat atau tidak ikan adalah faktor rezeki, yang pentingnya boatman rajin berusaha mencari dan berpindah tempat. Secara peribadinya saya rasa, anda tidak akan rugi dan menyesal jika mendapatkan khidmat beliau untuk memancing di perairan ini!

Sifatnya yang tidak lokek berkongsi lokasi ikan-ikan mahal ini memang saya kagumi. Saya tersenyum sendirian bila beliau berkata ”Kawe pelik betul bila orang tak nak kongsi lubuk atau koordinat tempat ikan bagus, kalau kongsi pun bukan rugi apa. Bukannya tentu ikan-ikan duduk di situ selalu, mungkin kalau orang lain pergi tempat tersebut, ikan dah pindah atau belum masuk lagi. Ini semua rezeki, buat apa nak sembunyi lubuk”.

Selain dari sifat boatman yang positif dan kepelbagaian spesies yang boleh di jigging atau popping, banyak lagi lubuk-lubuk untuk pancingan dasar yang berpotensi. Tukun-tukun kapal dan tukun tiruan dikatakan amat berpotensi untuk pancingan dasar lebih-lebih lagi untuk pancingan sebelah malam. Mungkin di lain masa saya akan membongkar pula potensi pancingan malam di sini untuk tatapan anda.

2 comments:

Sabri Ibrahim said...

Saya nak sumbangkan idea. Harap tuan blog ini dapat pertimbangkan.

Idea saya ialah,
1) mohon masukkan jadual rancangan nak pergi memancing di mana sahaja ke dalam blog ini.

2) adakan satu ruang untuk join kelab memancing ini.

Sekian dulu.

yang benar
sabri69
ps ; dulu saya juga kaki pancing, sekarang ???????

AZR VENTURE SUPPLIES said...

boleh berikan no tepon tekong me'sor? sebab saya nak turun sana 30hb April 2013..sambil buat kije sambil memancing. Harap tuan emailkan kpd saya azrinizam2002@gmail.com

Post a Comment