Sudikan Diri Menjadi follower...

Sunday, August 29, 2010

SIAKAP SUNGAI PENOR

Sunday, August 29, 2010
0 comments








Acara mengilat waktu malam bertemankan limpahan sinaran bulan penuh, menghasilkan raja muara bersaiz gadang di muara sungai bahagian barat negeri tok gajah ini.

Muara-muara  sungai di negeri Pahang sememangnya telah cukup terkenal dengan keupayaannya menghasilkan tangkapan siakap bertaraf rekod. Sungai-sungai seperti Merchong, Ceruk Paluh dan Balok bukan sahaja menjadi tumpuan utama pemancing dari sekitar Kuantan malah turut menerima kunjungan para pemancing dari serata tanah air untuk menduga spesies raja muara ini.

Perkenalan singkat saya dengan geng pemancing dari Kuantan beberapa bulan yang lalu menemukan saya dengan satu lagi lokasi terbaik untuk menduga siakap dan yang paling penting ialah cara pemburuan yang agak asing bagi saya iaitu mengilat pada waktu malam.
Lagenda mengilat Kuantan bersama siakap seberat 10kg yang diperolehi dengan menggunakan rapala magnum 7cm.
Dimana nak cari siakap sebesar ini sekarang??

Sungai Penur & Lokasi Labuhan

Sungai Penur yang terletak di bahagian barat negeri Pahang ini terletak kurang dari satu jam perjalanan dari bandar Kuantan. Walaupun jarak perjalanannya tidaklah terlalu jauh, tetapi perjalanan malam terpaksa diperlahankan dan lebih berhati-hati memandangkan melalui jalan kampung yang gelap dan terdapat banyak pula port lembu dan kerbau ”bersantai” di atas jalan raya di sini. Silap-silap kalau memandu laju boleh berdentum kereta menghentam kerbau yang sukar untuk dilihat pada malam hari sebegini. 

Muara Sungai Penur yang agak luas ini mempunyai alur yang sempit sahaja  iaitu lebih kurang 40 kaki dan keadaan ini menyebabkan air meluru laju setiap kali waktu pasang dan surut. Oleh itu pemancing tempatan amat mementingkan paras air (tide) untuk memancing di sini. Jadual pasang surut akan dikaji terlebih dahulu sebelum turun memancing dan waktu terbaik ialah pada bacaan di bawah paras 1.0 meter. Ketika bacaan rendah sebegini, air mengalir keluar dan masuk secara lebih perlahan dan memudahkan permainan gewang.
Peter tidak ketinggalan menaikkan siakap di sungai Pnor ini

Terdapat dua jalan masuk untuk ke muara sungai ini, satu melalui kawasan Kampung Kuala Penur dan meneruskan perjalanan sehingga ke kawasan yang dinamakan Kolam Udang. Di tepi tebing penghujung jalan kampung ini kenderaan akan diparkir dan dari sini terpaksa pula memunggah barang-barang  dan berjalan kaki merentasi padang pasir pantai sejauh lebih dari satu kilometer.

Untuk lokasi pancingan ini, sebenarnya  kami berdiri di atas pasir sungai yang merupakan bahagian dasar muara. Sebab itulah acara mengilat di sini hanya dilakukan semasa bacaan paras air terkecil dan pada waktu air sedang surut habis. Balingan gewang ditujukan pada bahagian alur sungai sahaja kerana ketika ini hanya bahagian alur sungai sahaja yang masih mempunyai aliran air manakala bahagian sekitarnya (termasuk tempat pemancing berdiri) telah surut sepenuhnya. Bagi pemancing yang tidak biasa dengan pasang surut di sini diingatkan agar berhati-hati dengan waktu air pasang. Ketika sedang seronok dan asyik mengilat, sekali-sekala perlu memerhatikan keadaan sekeliling kerana air pasang selalunya memenuhi kawasan sekeliling dahulu sedangkan tempat anda berdiri (tebing pasir di sini lebih tinggi) air masih belum naik lagi. Bimbang kalau kes sebegini terjadi dan anda akan terperangkap di tengah-tengah muara sungai!
Senangin juga terdapat di sungai pnor ini. Awal pagi adalah waktu terbaik dan jika bernasib baik anda akan terserempak senangin ini boiling dipermukaan air.

Jalan kedua pula  membolehkan anda memancing di tebing bersebelahan tetapi untuk ke sini agak sukar sekiranya tidak biasa dengan keadaan jalannya. Untuk ke lokasi ini perjalanan perlu diteruskan melintasi Kampung Kuala Penur sehinggalah ke pusat latihan tentera yang dikenali sebagai Padang Tembak. Lagipun untuk ke sini kenderaan pacuan 4 roda diperlukan kerana terpaksa meredah semak dan laluan jalan hutan sebelum kenderaan diparkir di tebing sungai sahaja. Kelebihan lokasi ini ialah anda memancing dari tebing dan tidak perlu risau tentang air pasang kerana air tidak akan sampai ke tempat anda berdiri, malah anda juga boleh memacak khemah di sini. Walaupun begitu terdapat juga kelemahannya memancing dari sini kerana keadaan tebingnya yang tinggi dan curam malah terdapat banyak pula kayu-kayu tumbang di sepanjang tebing yang akan menyukarkan balingan dan kadar sangkutnya  faham-fahamlah sendiri.
Orang kuat K.L.C yang telah banyak menumpaskan siakap di sungai Penor ini

Kombinasi Pasang Surut Dan Bulan

Seperti yang dinyatakan di atas pemilihan hari memancing pada waktu pasang surut paling kecil adalah pilihan utama kerana faktor arus air yang lembut. Walaupun begitu untuk kegiatan mengilat pada sebelah malam pula, satu lagi faktor yang paling penting ialah kehadiran cahaya bulan. Jadi kombinasi terbaik yang selalu ditunggu-tunggu oleh pemburu siakap di Penur ialah paras air di bawah bacaan 1.0 meter semasa bulan purnama penuh, inilah masa keemasan untuk mengilat siakap di sini.
Mempelbagaikan penggunaan gewang dalam kaedah mengilat memberi keputusan yang berbeza. Dalam trip ini ada diantara kami yang menggunakan gewang selaman dalam, cetek dan gewang permukaan. Malah ada juga yang menggunakan pancingan layang, tetapi hanya Faiz Karim yang menggunakan soft plastic dan hanya beliau seorang sahaja yang berjaya pada malam tersebut

Sebagai pemangsa utama muara, siakap mengesan kehadiran ikan makanan atau objek lain menggunakan deria pengelihatan dan getaran yang terhasil di dalam air. Semasa bulan mengambang penuh begini, sinaran cahaya bulan memberi lebih kelebihan untuknya mengesan menggunakan deria penglihatan berbanding semasa ketiadaan bulan atau semasa malam gelap.

Struktur Dan Kuali Siakap

Seandainya anda pernah ke sini pada waktu siang semasa air surut, kelihatan lekuk-lekuk pasir pada dasar sungai yang seolah-olah kuali ikan tilapia tetapi bersaiz lebih besar dan dalam. Di sinilah diandaikan bahawa siakap bersembunyi untuk mengendap mangsa. Pemancing otai yang sudah masak dengan keadaan sungai ini selalunya akan membaling gewang jauh sehingga ke seberang sana dan membiarkannya jatuh di tebing ataupun di gigi air. Teknik ini selalunya digunakan oleh pemancing yang memancing dari tebing Padang Tembak dan setelah gewang jatuh pada gigi air mereka mula melakukan kayuhan secara perlahan-lahan agar gewang melalui kawasan kuali yang dijangka didiami oleh siakap. Proses berulang kali selalunya akan menemukan mereka dengan kuali yang mempunyai penghuni dan pastinya menjanjikan perlawanan mengasyikkan.
Saiz sebegini memang banyak kat Sungai Penor ni

Bagi pemancing yang melakukan aktiviti mengilat dari arah Kolam Udang pula, mengilat dari sini anda lebih bebas kerana banyak kawasan lapang dan arah balingan pula ditujukan pada bahagian tengah alur yang berstruktur ataupun ke pokok-pokok tumbang yang banyak pada bahagian tebing Padang Tembak. Menyusuri sepanjang gigi air untuk mengilat akan membawa anda ke pertemuan dua sungai dan ini juga merupakan satu lagi tempat berpotensi untuk mengilat.

Persediaan Mengilat Malam

Cara terbaik sebelum mengilat waktu malam di sini ialah datang awal petang sewaktu hari masih cerah untuk meninjau dan memetakan dalam kepala tentang struktur sungai dan tempat terletaknya bangkar serta pokok-pokok kayu tumbang. Lawatan pertama kami adalah pada waktu malam dan acap kali lontaran gewang kami ditujukan terus ke atas atau ke dalam reba. Kehilangan gewang adalah lumrah dalam dunia pancingan gewang tetapi sebenarnya ia dapat dikurangkan sekiranya kami berkunjung lebih awal sewaktu matahari masih kelihatan ke sini.
Struktur kayu tumbang yang terdapat di Sungai Penor suatu ketika dulu

Mencabar siakap yang sudah sekian maklum mempunyai tenaga yang kuat di alur sungai yang sempit dan banyak pula struktur di dalamnya sebegini semestilah mempunyai teknik dan cara yang tersendiri. Bagi kaki pengilat dari Kuantan, rata-rata mereka menggunakan set baitcaster Shimano Calcutta 50 dan diisi dengan tali sulam berkekuatan 15-20 paun sahaja. Bila disebut 20 paun bunyinya seolah-olah set pancingan dalam kelas sederhana, tetapi bila mengenangkan ianya adalah tali sulam dan biasanya mempunyai diameter tali yang amat halus.

Kelemahan utama tali sulam walapun ianya sukar putus bila ditarik tetapi ianya sebenarnya amat lemah dan mudah kalah kepada ketajaman teritip yang pastinya menghuni setiap bahagian reba atau bangkar. Untuk keselamatan shock leader berkekuatan 30 – 40 paun adalah amat perlu dan tanpa bantuan perambut penyerap kejutan ini, tali sulam pasti dipotong teritip tajam.
Siakap merah juga mudah didapati di Sungai Penor ini 

Gewang paling top dan mujarab di Penur adalah dari jenis selaman cetek Rapala Shad Rap dan juga Rapala Skitter Popper. Saiznya yang selalu menjadi pilihan pula adalah 7cm dan pemilihan warna lebih kepada waran-warna semulajadi seperti warna seakan belanak dan sebagainya.  Untuk Rapala Shad Rap, gewang jenis tenggelam (sinking) lebih effektif jika dibandingkan gewang jenis timbul. Pengalaman pemancing yang telah sekian lama menghabiskan masa di sungai-sungai muara Pahang seperti Rosli mengatakan bahawa Rapala Shad Rap jenis tenggelam mempunyai binaan badan yang lebih berat dan stabil walaupun di dalam air yang berarus deras. Berbeza pula dengan Rapala Shad Rap jenis timbul yang lebih ringan, gewang ini akan menyenget atau mengiring bila dikarau dalam arus deras dan mencacatkan persembahan aksinya.
Menahan asakan siakap bersaiz 6 kg ke atas selalunya menguji ketahan terminal tackle yang digunakan. Geng pengilat Kuantan selalunya akan upgrade matakail asal gewang kepada yang lebih kuat dan mahal seperti mata tiga berkekuatan 6 X (6 strong). Itupun ada kalanya terkangkang digasak siakap-siakap liar Penor ini.


     Siakap segandang 16.25 kg ini ditumbangkan dengan kombinasi tali sulam 20 paun, kekili menegak Shimano Calcutta 50 dan joran custom made berkekuatan 8-17. Ini merupakan rekod siakap terbesar setakat ini di Sungai Penor dengan kaedah mengilat.

read more

Sunday, August 22, 2010

Godaan Plastik Lembut Siakap

Sunday, August 22, 2010
0 comments


Muara Sungai Penor sememangnya terkenal dengan siakap-siakap gadangnya. Siakap-siakap di sini pula, boleh diperdayakan dengan penggunaan gewang. Telah banyak spesies yang berjaya ditewaskan dengan renangan hard bodied lures, jadi geng Kuantan Lure Casters @ K.L.C ingin mencuba penggunaan soft plastic (S.P) pula. Adakah ia juga efektif seperti gewang-gewang lain? Tanpa di sangka, ia rupanya berjaya membuka selera raja muara ini untuk meligannya.

Kejayaan menewaskan siakap rekod 16 kg menggunakan Rapala Shad Rap di Muara Penor menyebabkan timbul pula keinginan untuk menipunya dengan kaedah lain pula. Selain dari kepelbagaian jenis gewang, S.P juga turut menghiasi pasaran cuma pengunaannya agak terhad dan jarang dipakai oleh pemancing di kawasan muara. Oleh itu Lee Benteng dan rakan-rakannya berkeyakinan, gewang dari plastik lembut ini juga mampu untuk menggoda spesies-spesies muara asalkan kena pada masa dan cara persembahannya.
Jig Head bermata kail Owner yang tajam akan memberi tancapan jitu. Penggunaan jig head yang betul akan memastikan S.P beraksi cantik untuk menggoda raja muara ini

Berkley PowerBait Realistix atau Gulp

Pure Fishing Malaysia bertanggung-jawab membawa masuk dan memperkenal kan S.P berjenama Berkley ke pasaran negara. Ia terdapat dalam pelbagai jenis dan bentuk tetapi ia boleh dikategorikan kepada 2 iaitu PowerBait dan Gulp. Jika diikutkan kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. PowerBait agak pejal sedikit dari Gulp, tetapi Gulp mempunyai kelebihan dari segi bau yang terdapat pada badannya. Ia dikatakan mampu menyebar 400 x bau ke ruang sekelilingnya. Kekurangannya pula, ia tidak tahan lama dan sukar disimpan. Senang kata Gulp hanya sesuai untuk sekali guna sahaja, manakala PowerBait boleh diguna berkali-kali asalkan tiada kecacatan pada bahagian badannya.
Siakap bersaiz remaja juga terpedaya dengan renangan S.P. Ini adalah hasil semasa cubaan-cubaan awal penggunaannya

Oleh sebab itu, geng pengilat Kuantan lebih gemar menggunakan PowerBait dari model Power Minnow Rainbow Smelt berukuran 4 inci. Ia berwarna hijau dan pada malam hari, lebih-lebih lagi semasa kehadiran bulan, badan S.P ini memberi kilauan hasil dari pantulan cahaya. Satu lagi model pilihan ialah Power Minnow Smelt berukuran 3 inci, ia berwarna lebih semulajadi iaitu putih hitam. Kedua-dua model ini berbentuk tirus dan mempunyai 2 cabang ekor.

Teknikal Soft Plastic

Perkara pertama ialah memastikan keadaan airnya bersesuaian untuk menggayakan S.P. Jika air besar maka ianya akan menghasilkan arus yang deras di alur Sungai Penor yang sempit ini. Oleh itu air kecil adalah masa terbaik, kerana semasa ini perbezaan pasang dan surutnya tidak ketara dan ini akan menghasilkan arus yang perlahan. Ianya amat penting untuk menjamin agar S.P berenang dengan cantik, lantas berjaya membuka selera penghuni muara ini.
Mungkinkah renangan S.P yang melentuk-lentuk menyebabkan siakap menjadi geram?

Selepas pemilihan hari dan waktu terbaik ditetapkan, bagaimana pula dengan penggunaan peralatan pancingnya? S.P tadi biasanya akan dipadankan dengan Berkley Nitro Jig Head model Bream Pro Series. Semasa arus lembut, jig head seberat 3.6 gram sudah memadai, dan ia mempunyai kelebihan tenggelam 30 cm persaat. Mata kailnya dari jenama Owner yang terkenal dengan ketajamannya dan ia cukup kuat untuk menahan asakan siakap di kawasan bereba di sini.

Disebabkan kombinasi S.P dan jig head yang ringan sebegini, maka kekili mendatar (spinning reel) lebih praktikal. Kekili bersaiz kecil seperti model dibawah saiz 3000 yang diisi tali sulam 10 paun sudah memadai. Joran lembut berkekuatan 12 paun ke bawah amat sesuai untuk menghidupkan aksinya. Pergerakan atau aksi S.P hanya pada bahagian ekornya sahaja dan ia tidak mempunyai buit-in action seperti hard bodied lure lainnya. Oleh itu gaya karauan dan henjutan amat penting untuk menghidupkan aksinya.
 3 ekor siakap pada satu malam dengan penggunaan S.P agak membanggakan

Semasa mengilat pula, jika tiada sebarang tanda-tanda siakap mengejar mangsa, maka balingan di lakukan di luar kawasan bereba. Ia dibiarkan tenggelam sehingga mencecah dasar dan selepas itu barulah karauan dilakukan. Biasanya 2 cara ini digunakan untuk  menggayakannya. Ada yang gemar membuat kayuhan amat perlahan dan dengan cara ini, jig head yang berat tadi akan menyondol dasar sementara S.P pula akan tertonggeng ke atas dan bahagian ekornya akan membuai-buai. Seretan yang perlahan juga akan menyebabkan setiap lubang atau lekuk pada bahagian dasar akan dijelajahi oleh S.P ini.

Hujung joran direndahkan, dan disentap ke kiri dan kanan menyebabkan S.P akan beraksi zig-zag. Ini antara aksi yang paling digemari oleh Lee Benteng yang merupakan antara pelopor penggunaan S.P di Muara Penor ini. Teknik yang menyebabkan S.P melilau kiri dan kanan ini  kerap memperdayakan siakap Penor.   

Teknik manapun digunakan, tetapi masa paling penting ialah semasa membuat sentapan untuk memastikan mata kail tertacap kemas ke mulutnya. Siakap biasanya akan mengeman terlebih dahulu dan ia kurang curiga terhadap S.P kerana badannya yang lembut seolah-olah ikan betul. Bila terasa ragutan biarkan ia seketika dan bail arm dibuka untuk membiarkannya membetulkan kedudukan mangsa sebelum menelannya. Selepas tali terasa dibawa lari, masa inilah rentapan padu perlu dilakukan.

Selepas itu tunggu sahaja lompatan darinya untuk memastikan ianya adalah raja muara yang anda nanti-nantikan lariannya. Seandainya anda berkesempatan mengilat siakap di lokasi kegemaran, pastikan S.P dibawa bersama, manalah tahu ada spesimen lebih besar pula yang terpedaya!

Artikel Oleh : Saudara Adlizam Yasin

read more

Friday, August 20, 2010

JORAN MENGILAT VERSI KUANTAN

Friday, August 20, 2010
4 comments








JORAN MENGILAT VERSI KUANTAN

Setelah lama berkecimpung dalam arena mengilat dan pelbagai joran dari bermacam-macam jenama telah digunakan, akhirnya saya bertemu jodoh yang paling sesuai. Pencarian joran mengilat terbaik akhirnya ternoktah di Kuantan bila saya diperkenalkan dengan joran versi Kuantan oleh geng Kuantan Lure Casters @ K.L.C.













      Joran hasil kerja tangan Ah Peng dari blank G.Loomis SLATE berkekuatan 6 – 10 paun. Panjang handle joran bagi sifu ini adalah berukuran 1 ½ inci dan 3 inci






Antara sulaman yang dihasilkan oleh Wak Erawan pada joran. Namun semua ini atas permintaan.

Setiap kaki gewang biasanya mempunyai joran favourite yang akan menjadi teman setia bila mengilat. Tidak kira dari jenama mahal atau pun yang murah, biasanya bila sudah ada keserasian maka, ianya akan diusung ke hulu dan ke hilir untuk menduga ikan idaman tak kira dimana jua.

Saya diperkenalkan dengan joran mengilat versi Kuantan bila mula mengenali geng Kuantan Lure Casters (K.L.C) beberapa tahun yang lalu. Ketika itu saya pertama kali menyertai mereka mengilat siakap di Esplanade dan sebarau di Air putih, Kemaman. Pada mulanya saya berasa agak janggal bila melihat kesemua ahli geng ini menggunakan joran yang hanya berukuran lima setengah kaki, berkekuatan bawah 14 paun dan pemengangnya juga hanya sepanjang tiga inci sahaja!







Joran saya ini adalah buatan Wak Erawan, berkekuatan 4 – 10

Balingan single handnya juga amat tepat, walhal menggunakan gewang bersaiz kecil dan ringan. Sebenarnya geng K.L.C ini amat taksub mencari ikan besar menggunakan gewang kecil! Dalam kotak pancingan mereka hanya dipenuhi dengan gewang-gewang bersaiz 5cm dan 7cm sahaja rata-rata mempunyai berat 7gram kebawah. Dengan gewang sekecil inilah mereka banyak menggoda siakap mahupun sebarau gadang.







Lagi hasil kerja Wak Erawan khas untuk saya berkekuatan 6-12paun

Rasional joran pendek dan ringan

Kenapalah agaknya joran ringan dan berhulu pendek ini menjadi trend bagi kaki mengilat Kuantan? Bila saya mengemukakan soalan tersebut, saya pula ditanya soalan sebegini oleh Lee Benteng, “dalam seharian mengilat, sudah pastinya ratusan kali gewang dilontarkan ke lubuk tetapi berapa kalikah ikan akan menyambarnya?”
Sabri bersama sikap merah sungai Kuantan yang berjaya digoda dengan gewang yo zuri hardcore

Belumpun terpacul jawapan daripada saya, beliau memberi jawapan logik kenapa joran ringan ini selesa digunakan oleh mereka selama ini. “Dalam proses pencarian mangsa, kita akan mengilat sehari suntuk dan hasilnya sukar untuk dijangka. Lagi pun  buat masa sekarang ni, ikan idaman semakin sukar untuk dipancing. Dengan pelbagai ancaman terhadap habitat ikan contohnya pencemaran oleh minyak-minyak enjen  bot, kegiatan meracun ikan, pukat yang melampau, kejutan elektrik dan pelbagai lagi teknik haram yang terang menyalahi undang-undang. Jika menggunakan joran biasa, besar panjang lagi berat akan membuatkan pemancing kurang selesa dan lebih teruk lagi cepat letih tambahan pula casting  menggunakan kedua-dua belah tangan”.


Joran berkekuatan 6 – 15 paun

Sambungnya lagi “joran versi Kuantan biasanya dihasilkan daripada blank yang ringan dan halus serta berkekuatan hanya dalam lingkungan 2-6 paun, 4-8 paun, 4-10 paun, 6-10 paun, 6-12 paun, 8-14 paun dan yang paling besar pun 8-17 paun. Blank sebegini bila digandingkan dengan pemengang pendek ianya akan menjadi seolah-olah  unjuran pada tangan kita. Mengilat seharian pun tidak terasa beban yang dipegang pada tangan.
Pemegangnya yang pendek menjadikan joran ini amat sesuai digunakan untuk aplikasi top water seperti penggunaan pencil bait. Sebarau Cikgu Haris ini ditawan menggunakan Storm Thunder Dog

Saya bertanyakan soalan ini pula, “blank yang digunakan amat kecil kekuatan seperti 2-6 paun atau 4-8 paun, bagaimana joran berkekuatan sebegini digunakan untuk menangani larian siakap, sebarau atau toman?
Aksi Lee Benteng menahan asakan toman Mentong dengan joran 
G.Loomis berkekuatan 
4-8paun





















Sebenarnya, kekuatan joran ini akan bertambah kerana untuk mendapatkan pangkal joran yang halus, kami biasanya akan memilih blank yang panjang iaitu sepanjang enam kaki atau lebih. Kemudian blank ini akan dipotong menjadikannya sepanjang 5kaki enam inci atau 5 kaki 3 inci, kalau nak ikutkan sayang juga kerana kebanyakannya adalah blank G.Loomis yang berharga RM500! Inilah ukuran standard bagi joran versi Kuantan,” Kata Lee Benteng lagi.
Joran yang berukuran 5 ½ kaki ini juga menyenangkan dibawa trekking untuk memancing di sungai-sungai berjeram

“Untuk menambahkan kekuatan aksi joran ini, kami akan melakukan proses ‘melapik’ semasa mengikat cincin. Ia bermaksud, benang asas akan dililit pada blank terlebih dahulu iaitu pada bahagian bawah pada cincin dan kemudian barulah cincin tersebut diikat sekali lagi diatasnya. Bilangan cincin yang kami gunakan juga mencecah 10-11 cincin, ia juga akan menyebabkan joran bertambah ‘keras’. Pun begitu bilangan cincin bergantung kepada poundage blank itu sendiri. Harus diingat apabila blank tersebut telah dipotong sedikit dibahagian pangkalnya kekuatan atau poundagenya akan berkurangan. Sebagai contoh jika sesuatu blank yang berkekuatan 8-14 paun sepanjang 6kaki 6 inci dan dipotong sekaki dari bawah pangkalnya untuk menjadikannya sepanjang 5kaki 6 inci kemungkinan besar kekuatannya telah berubah kepada 6-12paun atau kurang. Untuk menentukan bilangan cincin pada blank tersebut ianya akan diuji terlebih dahulu dengan cara mengikat sementara cincin yang hendak digunakan dan blank tersebut akan dilenturkan kebawah 45 darjah. Tali yang melepasi cincin yang diikat sementara itu semestinya tidak kena pada blank. 
Untuk mencantikkan dan meringankan joran semaksimum mungkin, kami hanya menggunakan cincin bersaiz paling kecil. Saiz dan kod cincin tersebut adalah rahsia K.L.C..hee…hee..hee!” Terangnya lagi sambil tersenyum.





Dengan melapik benang pada bahagian bawah cincin dan menggunakan sehingga 10 -11 cincin, ia akan membantu menambahkan kekuatan joran

“Ohhh…yaa..lupa pula satu perkara penting. Kecantikan joran selain dari kosmetik adalah bahagian hulu atau pemegangnya. Bahagian inilah sebenarnya faktor utama yang menjadikan sebatang joran itu cantik ataupun tidak. Joran sedia ada di pasaran biasanya mempunyai pemegang yang panjang. Ada pro dan kontranya pemegang panjang dan pendek ini. Pemegang panjang sesuai digunakan oleh pengilat yang melakukan lontaran double hand dan juga untuk mencapai jarak lontaran semaksimum mungkin. Melawan ikan juga senang jika menggunakan pemegang panjang kerana ianya dapat ditahan pada bahagian lengan ataupun cucuk saja pada perut. Manakala pemegang pendek seperti joran Versi Kuantan ini pula lebih senang digunakan untuk mencapai ketepatan lontaran. Selain itu ia amat sesuai sekali digunakan untuk aplikasi top water seperti popper dan pencil bait. Bahagian hulunya yang pendek tidak akan menganggu semasa mempersembahkan aplikasi pancingan ini. Selain dari itu, disebabkan blank yang digunakan berkekuatan kecil jadi ianya amat sensitif pada setiap ragutan dan yang paling mustahaknya joran ini amat sesuai digunakan untuk melontar gewang bersaiz kecil!  Penerangan panjang  lebar dari beliau lagi.

“Bagaimana pula nak fight ikan kerana pemegangnya terlalu pendek?” Tanya saya pula.
 Sarjan David @ Iban Warrior antara rod maker joran Versi Kuantan. Bayangkan betapa bangganya jika sebarau sebesar ini tumpas di tangan joran hasil buatan sendiri!

“Seperti yang saya nyatakan pada awal perbualan tadi, dalam seharian casting berapa kali sahaja kita dapat strike dan fight ikan! Penggunaan joran Versi Kuantan ini sebenarnya lebih mementingkan kepada keselesaan dalam proses seharian mengilat, fight ikan adalah skill individu. Bila dah kena ikan, itulah masa paling best sekali bila menggunakan joran berkekuatan kecil sebegini. Setiap getuan, larian, benaman dan lenggok kepala ikan dapat dirasai. Gemuruhnya mengegarkan jantung. Kalau pakai joran berkekuatan besar, fightnya akan sekejap sahaja dan mana keseronokannya, sedangkan kita dah cari ikan dari pagi sampai petang, tapi bila kena ikan sekejap sahaja ia dah kalah! Kalau pakai joran Kuantan ni lain rasa dan cara fightnya kerana kita tidak boleh tahannya pada lengan atau perut. Caranya, bila ikan membuat larian atau benaman, semasa itu kita bukannya boleh mengarau masuk tali dan biasanya kita dalam keadaan bertahan. Semasa ini tangan yang sebelah lagi akan menahan joran pada bahagian depan kekili sehingga ikan berhenti dan selepas itu karau dan fight seperti biasa. Mungkin bagi yang tidak biasa akan merasa kekok dengan joran pemegang pendek sebegini. Rekod saya menahan asakan siakap menggunakan joran jenis ini ialah spesimen berskala 16.3 kg di kawasan bereba Sungai Penor, ianya satu perlawanan yang menakjubkan”. Sambungnya lagi.







      Rekod terbaik Lee Benteng adalah siakap Penor seberat 16.3 kg. Ia ditewaskan di kawasan bereba dengan hanya menggunakan joran Versi Kuantan berkekuatan 8 – 14 paun sahaja!









“Membuat lontaran menggunakan single hand sememangnya memberi accuracy tetapi adakah ianya memerlukan latihan tertentu?” Tanya saya lagi.

“Sebenarnya perkara ini bergantung kepada skill masing-masing. Lontaran double hand juga akan memberikan accuracy sekiranya anda sudah biasa dengan joran pemegang panjang. Bezanya, kami yang sudah terbiasa melakukan lontaran single hand merasa lebih selesa menggunakan pemegang pendek. Cuma, bagi orang yang tidak biasa melakukan lontaran single hand akan berasa was-was kerana terasa joran seolah-olah akan terlucut dari tangan bila melakukan lontaran menggunakan joran sebegini. Kekuatan lengan dan genggaman adalah perkara paling utama jika anda mahu melakukan lontaran single hand  joran Versi Kuantan! Terangnya lagi.
Peter antara geng K.L.C yang bertanggung-jawab memperkenalkan joran sebegini kepada saya. Hentaman toman pada Rapala Skitter Pop 5 cm ini sememangnya membuatkan jantung berdetak kencang menahan lariannya!

Ada berapa ramai yang rod maker di Kuantan yang boleh menghasilkan joran sebegini” Tanya saya lagi.
Mibingo dengan siakap merah sungai Merchong dinaikkan dengan menggunakan G.Loomis Slate 6-10paun tempahan Wak Erawan

“Di sini ada beberapa orang yang dapat menghasilkan joran yang bagus dan cantik buatannya. Antaranya Wak Erawan, Sarjan David @ Iban Warrior, Abu Balok, Alex, Wah Chai, Ah Wai dan paling tersohor adalah sifu joran Ah Peng. Memang tidak dapat dinafikan hasilkerja Ah Peng memang terbaik memandangkan beliau adalah pelopor kepada joran ini. Ada yang mengatakan bahawa beliaulah orang pertama yang mencipta joran Versi Kuantan ini. Walaupun begitu rod maker yang lain juga dapat menghasilkan joran yang hampir setaraf dengan hasil kerja Ah Peng. Buat masa kini K.L.C memang beruntung kerana kami mempunyai Wak Erawan iaitu ahli kami yang boleh membuat joran yang cantik. Kebanyakan dari kami sekarang menggunakan joran hasil kerja tangan beliau.” Katanya menutup perbualan




     Wak Erawan @ En. Ahmad Erawan adalah Pegawai Waran TUDM Pengkalan Udara Kuantan. Dia merupakan antara ahli K.L.C yang mampu menghasilkan joran dengan hasil kerjatangan yang halus dan cantik. Bak kata Tomxbelida “ Wak ni, muka bengis, badan sasa…lengannya pun dah sebesar paha aku… tapi jiwanya halus mulus…itu pasal joran dia buat cantik”

REKOD SIAKAP MENGGUNAKAN JORAN VERSI KUANTAN

JORAN (lbs)
BERAT (Kg)
PEMANCING
4 - 10
2.7
Lee Benteng
4 - 10
3.5
Lee Benteng
4 - 10
4.5
Lee Benteng
4 - 10
4.3
Sabri 
6 - 12
13.5
Ah Wai
6 - 15
8.2
Wak Erawan
6 - 15
4.5
Malek
6 - 15
13.9
Along
8 - 14
16.3
Lee Benteng
8 - 15
8.3
Lee Benteng
8 - 16
8.5
Iswari








Artikel Oleh: Adlizam Yasin

read more

Tuesday, August 17, 2010

KENYIR SEMASA MONSUN

Tuesday, August 17, 2010
0 comments


Sebulan selepas saya berkunjung semasa air surut, pada pertengahan bulan Disember yang lalu saya kembali lagi ke lokasi yang sama. Terdapat sedikit peningkatan dalam jumlah tangkapan semasa hujan mulai melanda tasik, yang dahulunya pernah memegang gelaran tasik buatan manusia terbesar Asia Tenggara ini!





       Ultraman masih mampu menarik perhatian sebarau, sayangnya toman pula yang mengutip cukai di jajahannya!

Kali ini saya berkunjung lagi bersama geng Kuantan Lure Casters (K.L.C), untuk melakukan acara tahunan yang wajib bagi pengilat sebarau dan toman Tasik Kenyir. Hujan dilaporkan telah menimpa Pantai Timur dan kejadian banjir juga telah melanda. Inilah masa yang amat kami nantikan dan khabarnya sewaktu permulaan hujan pada awal bulan Disember yang lalu, sekumpulan pemancing telah digasak oleh kumpulan sebarau yang menyambut kedatangan anugerah alam ini.
Gambar yang saya rakam semasa lawatan bersama Team Pacat pada bulan November, semasa hujan belum melanda negeri Pantai Timur. Paras air ketika itu jauh susut sehingga ke bacaan 138

Gambar semasa kunjungan pertengahan Disember. Paras air telah meningkat sehingga bacaan 141. Ia telah meningkat sehingga 3 meter dalam jangkamasa sebulan

Memandangkan K.L.C ingin mencuba lokasi baru yang berbeza dengan lawatan mereka tahun lepas, lantas saya mencadangkan agar mereka berkunjung ke tempat yang saya lawati bersama Team Pacat tempohari, iaitu Lata Berua, Cergau dan Mentong. Dengan cara ini, saya dapat melunaskan dua perkara iaitu memperkenalkan K.L.C dengan lubuk-lubuk baru dan  juga saya dapat mengumpul data / rekod tangkapan di lubuk yang sama untuk perbandingan trip dahulu dan sekarang.

PARAS AIR MENINGKAT

Perkara pertama yang saya lakukan bila tiba di Jenagor, ialah memeriksa takat meter air di pengkalan houseboat. Pancang meter bacaan 141 kali ini berada dalam air, dan ianya meningkat 3 meter berbanding bacaan 138 semasa kunjungan sebulan yang lalu. Peningkatan paras air hampir 10 kaki ini tentunya akan menenggelamkan pulau-pulau sementara yang dahulunya banyak terbentuk. Malah kayu-kayu yang banyak berceracak tempohari juga pastinya sudah berada di bawah permukaan air.

Walaupun paras air empangan telah meningkat, tetapi hujan tidak melanda secara berterusan (hari-hari). Mengikut Pak Latip, dalam jangkamasa 3 - 4 hari ini, hujan hanya turun renyai-renyai dan matahari mulai membahangi tasik. Mungkinkah panas akan berterusan tanpa hujan pada kunjungan ini, kerana semasa kami menunggu di jeti TNB untuk memunggah barangan ke atas houseboat, perit matahari mulai terasa mengigit kulit seawal pagi ini!

LATA BERUA

Sama seperti trip yang terdahulu, lokasi pertama yang ditujui ialah Lata Berua. Saya meminta agar Pak Latip membawa kami ke beberapa lubuk yang pernah saya kunjungi dahulu untuk mencuba potensinya semasa air tinggi sebegini. Hampir-hampir saya tidak dapat mengenali lubuk-lubuknya kerana 70 % kayu-kayu yang berceracak pada trip yang lalu kini telah hilang dari pandangan. Pulau-pulau sementara juga telah lenyap, tetapi air terjun kecil dan aliran air dari bukit mulai terbentuk.







      Rapala CD7

Hentian pertama ialah Air Terjun Berua yang merupakan air terjun terbesar di kawasan ini. Pada tahun lepas, Pak Latip berjaya menaikkan puluhan ekor sebarau di air terjun ini sahaja! Banyak puing-puing kayu terapung kelihatan tetapi airnya terlalu jernih, keadaan air sebegini kurang sesuai untuk mengilat. Untuk aplikasi pancingan gewang di kawasan air terjun ini, air sepatutnya keruh sedikit barulah ia berkesan mengikut pengalaman beliau.
Sebarau dari sebuah teluk di Berua ini terpedaya dengan gewang permukaan Storm Thunder Dog

Kami berpindah dan memasuki beberapa teluk dan juga mencuba di beberapa air terjun kecil tetapi hasilnya kurang memuaskan. Setakat ini hanya seekor sahaja sebarau yang menyambar gewang permukaan Storm Thunder Dog yang saya lontarkan berdekatan tebing berumput. Mungkinkah semasa paras air tinggi sebegini, sebarau telah keluar dari kawasan teluk dan mulai bermain di kawasan luar?
        Makanan asasi bagi sebarau Rapala Shad Rap 7 Goldfish

Kami berlegar-legar dan akhirnya menjumpai sebuah pulau berumput. Kelihatan kawanan sebarau sedang memburu makanan di hujung pulau sehinggakan menimbulkan fenomena boiling! Lontaran popper Duel 3D dari Cikgu Haris ke dalam kawanan sebarau terus bersambut, tetapi sayangnya mata kail cengkang dihentamnya.

Walaupun ianya terlepas dari mata kail, tetapi ini memberi petunjuk bahawa kawanan sebarau telah meninggalkan teluk-teluk dan kawasan air terjun untuk memburu mangsa di kawasan tengah empangan, lebih-lebih lagi di kawasan pulau berumput!
Cikgu Harris banyak mendapat sambaran menggunakan Rapala Fat Rap 5 cm Crawdad ini. Gewang berbentuk “tembam” ini sesuai dimainkan di luar kawasan berumput yang berair agak dalam

CERGAU

Petangnya kesemua 5 bot fiber kembali ke houseboat dengan hasil 4 ekor sebarau sahaja! Berdasarkan hasil yang menghampakan ini, Pak Latip menyarankan agar kami terus berpindah ke Cergau pada petang itu juga, untuk menjimatkan masa berbanding bergerak pada keesokan harinya.







    Rapala Fat Rap Glass

Malam pertama di Cergau, hujan mulai melanda, tetapi ianya bukanlah selebat yang kami harapkan dan ia turun hanya sekejap sahaja. Walaupun begitu kesejukannya begitu menusuk sehingga ke tulang hitam sehinggakan kesemua orang berselimutkan sleeping bag hingga ke paras leher. Mudah-mudahan keesokan paginya semasa suhu sejuk hasil dari hujan yang melanda pada malam ini, sebarau di Cergau ini akan lebih aktif!
Rapala CD7 FireTiger antara gewang-gewang yang masih boleh dipertaruhkan semasa sebarau semakin sukar untuk dipujuk dengan gewang lain

Keesokan paginya kesemua bot fiber keluar dengan misi menggempur setiap pulau-pulau berumput yang timbul di pertengahan empangan. Kawasan berumput yang menjadi tempat tumpuan sebarau ataupun toman mengendap mangsa ini, terjadi hasil dari penenggelaman bahagian pulau. Manakala puncak tertingginya yang tidak terendam sepenuhnya itu memudahkan pemancing mengesan kedudukannya.

Seawal pagi sebegini, popper dan gewang permukaan adalah cara terbaik untuk mengejutkan sebarau yang menunggu sarapan paginya. Saya dan Lee bergegas ke sebuah air terjun kecil meninggalkan Peter yang sedang menduga kawasan pulau berumput. Di air terjun tersebut saya menerima 2 letupan pada gewang Megabas Dog-X tetapi rabut. Mungkin juga ianya dari sebarau bersaiz kecil. 
Dagu dari Jengka turut menyertai K.L.C untuk trip Kenyir tahun 2008 dulu

Selain dari mensasarkan pada kawasan pulau berumput, hujung tanjung yang mempunyai rumput separa tenggelam juga menjadi tempat utama mengilat. Di kawasan ini, penggunaan gewang selaman dalam seperti Rapala CD7, Fat Rap, Shad Rap, X-Rap Deep, Duel Woburu, Berkley Frenzy dan juga gewang gemercing seperti Rapala Rattlin memang berkesan menggoda sebarau yang bersembunyi. Kebanyakan hujung teluk adalah drop-off yang agak dalam, berdasarkan perubahan warna airnya. Kemungkinan besar, sebarau banyak berlegar di kawasan dalam ini untuk mengendap anak-anak ikan yang mencari makan di kawasan tohor yang berumput ini.







       Rapala X-Rap Deep

Penekanan pada 2 kawasan ini membuahkan hasil yang agak memuaskan dengan jumlah tangkapan sebarau sebanyak 35 ekor dan 2 toman dengan hasil terberat ialah spesimen 1.6 kg berukuran 51 cm. Walaupun bagi Pak Latip ianya jauh berbeza berbanding trip-tripnya 2 - 3 tahun yang lepas, tetapi bagi rekod saya, ianya menunjukkan peningkatan jika dibandingkan dengan trip bulan lalu.







       Di sebuah lubuk Cergau, Jagung dan rakan botnya menerima 11 sambaran dari sebarau!

MENTONG

Trip kami masih berbaki sehari setengah jadi kami berpindah ke lokasi terakhir iaitu Mentong. Setengah hari pertama di sini lebih kepada acara recce kerana kebanyakannya tidak biasa dengan lokasi ini. Bertemankan GPS, bot yang dipacu Peter merantau jauh sehingga menghampiri kawasan Taman Negara. Di sebuah teluk kecil memanjang, Erawan  menerima henjutan kasar dari sebarau perkasa yang membawa tali tanpa henti sehingga sejauh 60 kaki dari bot, sebelum ia dapat mencapai reba berhampiran tebing!
Toman semasa ini amat kurang aggresif malah jarang-jarang timbul untuk mengambil udara. Pemburuannya menjadi sukar kerana ia menghilang diri terlalu lama sehinggakan bosan untuk menunggunya muncul kembali

Saya yang pernah berkunjung ke sini masih mengingati beberapa lokasi walaupun ianya sudah jauh berbeza akibat ditenggelami air. Sayangnya, lubuk permainan toman Mentong ini sudah jauh di bawah permukaan air. Cuaca yang sejuk akibat hujan juga menyebabkan toman tidak aktif timbul ke permukaan. 
       Storm Thunder Dog

Petangnya saya meminta Kaduk (boatman), agar membawa saya dan Dagu ke Sungai Malur yang terletak di sebelah kiri Mentong. Pada tahun lepas banyak air terjun kecil terbentuk lantas ia menjadikannya antara lokasi berpotensi dan di sini jugalah saya mendapat spesimen terbesar sepanjang 52 cm.  Walaupun air belum cukup tinggi seperti tahun lepas tetapi sudah terdapat 5 - 6 air terjun kecil yang terbentuk dan kami berhenti untuk menduga setiap satunya. Dagu  menerima 2 sambaran dan sementara gewang Rapala X-Rap Deep saya diterkam sebarau semasa melintasi sebatang balak tenggelam berhampiran rimbunan pokok buluh.
Sebarau Mentong yang diperdaya dengan Ultraman

PENGALAMAN PAK LATIP

Mengapa trip ini tidak mencapai tahap yang diinginkan semasa tengkujuh Kenyir adalah perkara yang paling kami ingin ketahui dan jawapannya ada pada Pak Latip yang sudah puluhan tahun menjadi boatman di sini. Perkara paling utama ialah hubung-kait antara musim mengempas spesies ikan air tawar dan hujan. Pertamanya, hujan sudah bermula pada awal bulan Disember tetapi ianya tidak selebat yang diharapkan. Ia juga berlaku ON & OFF iaitu tidak setiap hari, lantas dalam jangkamasa sebulan air tasik ini hanya naik sebanyak 3 meter (hampir 10 kaki) sahaja. 
     Perhatikan sebahagian dari rumput separa tenggelam yang masih berwarna hijau di belakang Pak Latip. Ini menunjukkan air masih baru digenangi, tetapi kenapa sebaraunya kurang aktif?

Tidak seperti tahun-tahun yang terdahulu, sepatutnya dalam pertengahan bulan Disember sebegini, paras air sudah mencapai tahap maksima dan lebih banyak kawasan ditenggelami air. Bila ia terjadi maka kawasan berpotensi semakin banyak dan sebarau juga lebih senang dijejaki. Sayangnya pada tahun ini air masih belum mencapai tahap bagus untuk memancing sebarau Kenyir.

Perkara ke dua ini juga berkaitan dengan hujan. Ketika kunjungan ini, hujan kerap berlaku tetapi ianya turun sekejap sahaja. Menurut Pak Latip, hujan yang diinginkan ialah hujan lebat berpanjangan selama 2 jam atau lebih dan berhenti! Jika hujan lebat sebegini berlaku, bila ianya berhenti sahaja, maka secara automatik akan berlaku aliran air dari  bukit ke dalam sungai / empangan. Semasa inilah banyak serangga ataupun makanan lain yang akan hanyut turun dari bukit. Sebarau akan berkumpul di kawasan aliran air / air terjun kecil ini untuk menunggu makanannya.
Toman-toman Mentong telah bertukar ke warna asal berbanding berwarna hitam pekat semasa musim kemarau dahulu
Rapala Fat Rap Balsa 7

Perkara ke tiganya ialah ikan masih mempunyai telur. Kebanyakan sebarau mahupun lampam yang ditangkap masih mempunyai telur di dalam perutnya. Bila perkara ini berlaku ia menunjukkan, spesimen ikan air tawar ini masih belum habis mengempas telur dan hujan lebat atau banjir besar akan berlaku sekali lagi. Petua ini adalah hasil pengalaman orang-orang tua Kuala Berang dan ianya dijadikan pedoman paling penting oleh ramai pengusaha boatman Kenyir termasuklah Pak Latip sendiri. Ini bermakna seandainya air belum meningkat di Kenyir pada pertengahan bulan Disembers semasa kunjungan saya ini, mungkinkah ia akan berlaku pada hujung bulan Disember ataupun berlanjutan sehingga Januari tahun 2009?

Dibawah adalah rekod yang saya kumpulkan untuk perbandingan 2 trip sebelum dan semasa tengkujuh. Ada sedikit peningkatan walaupun tidak seperti yang diharapkan. Semasa saya sedang menyiapkan artikel ini, penyampai berita Bulettin Utama TV3 mengatakan hujan lebat yang dijangka membawa bencana banjir akan melanda negeri-negeri Pantai Timur bermula 23 Disember 2008 dan Amaran Tahap Jingga akan dikeluarkan. Nampak gayanya saya peru berkejar sekali lagi ke Kenyir pada masa tersebut untuk sekali lagi membuat rekod perbandingan!

TANGKAPAN / LOKASI LAWATAN SEBELUM MONSUN

HARI
CUACA
TANGKAPAN
JUMLAH
LOKASI
1
Panas / Hujan
Toman = 4           Sebarau = 0
4
Lata Berua
2
Panas
Toman = 2           Sebarau = 6
8
Lata Berua / Cergau
3
Panas
Toman = 3           Sebarau = 2
5
Cergau / Mentong
4
Panas
Toman = 0           Sebarau = 3
3
Mentong

JUMLAH
Toman = 9           Sebarau = 11
20



TANGKAPAN / LOKASI LAWATAN SEMASA MONSUN

HARI
CUACA
TANGKAPAN
JUMLAH
LOKASI
1
Mendung/Hujan
Toman = 0        Sebarau = 4
4
Lata Berua
2
Mendung/Hujan
Toman = 1        Sebarau = 31
32
Cergau
3
Mendung/Hujan
Toman = 1        Sebarau = 2
3
Cergau / Mentong
4
Mendung/Hujan
Toman = 5        Sebarau = 11
16
Mentong

JUMLAH
Toman = 7        Sebarau = 48
55


read more