Sudikan Diri Menjadi follower...

Monday, August 16, 2010

Begahak K.L.C

Monday, August 16, 2010

Belodontichthys dinema K.L.C


Penemuan sekumpulan begahak yang sedang frenzy meligan anak-anak ikan setelah 4 tahun ahli-ahli K.L.C menunggu untuk bergasak dengan spesies unik Sungai Pahang ini!

Mengikut kajian, Sungai Pahang dan sistem sungai-sungainya dikatakan hanya tempat spesies begahak boleh di temui di Semenanjung Malaysia. Walaupun begitu, spesimen aneh dan unik ini sukar untuk ditemui dan bukan sepanjang tahun ianya memunculkan diri. Selalunya kehadiran begahak adalah semasa musim panas tiba selepas tengkujuh melanda negeri Pantai Timur ini. Ia juga hanya muncul sekejap sahaja dan mengikut nelayan serta penduduk tempatan yang saya temui di Sungai Pahang tempohari, begahak dipercayai muncul sewaktu ini kerana berkait rapat dengan kehadiran banyak ikan-ikan kecil yang menjadi makanannya. Berdasarkan panggilan tempatan, ikan kecil ini dinamakan ikan bunkus iaitu sejenis ikan seluang.  
Beting-beting pasir sebegini terbentuk sementara dan ini adalah dasar sungainya

Biasanya setiap tahun bila bulan Februari tiba, musim panas mulai bermula. Ini akan menyebabkan paras air Sungai Pahang mulai surut dan berkeadaan ‘cantik’, ketika inilah masa keemasan untuk memburu begahak. Inilah masanya yang ditunggu-tunggu setiap tahun oleh nelayan Sungai Pahang. Selain dari faktor ianya sukar ditangkap, tidak dinafikan begahak mempunyai rasa yang sangat enak untuk dijadikan sajian lebih-lebih lagi jika dimasak cara tradisonal Pahang. Lantaran itu ia menyebabkan ikan ini boleh mencecah harga sehingga RM 35 -50 sekilogram di pasaran!
Musim panas akan mewujudkan banyak beting-beting pasir. Bot terpaksa ditarik di kawasan yang terlalu cetek

Paras air yang jauh surut menyebabkan mereka berdua ini boleh bermotorsikal di bahagian dasar sungai yang telah kering ini

Kena berkerja keras untuk menari bot ke tempat yang dalam baru boleh menggunakan enjin

Walaupun begitu disebabkan perubahan cuaca dunia yang drastik beberapa tahun yang lalu, ianya juga memberi kesan kepada Sungai Pahang. Musim panas yang diharapkan tidak kunjung tiba dan Sungai Pahang keruh sepanjang tahun walaupun jika mengikut hukum alam, ia sepatutnya surut buat sementara sehingga menimbulkan beting-beting pasir sebelum hujan melanda kembali dan paras airnya naik semula. Ini menyebabkan pencarian begahak bertambah sukar lebih-lebih lagi kepada kaki pancing yang memburunya melalui kaedah mengilat, lantas menjadikan spesimen ini mendapat kedudukan yang tinggi dari segi nilai tangkapan dengan gewang!
Pendayung paling penting, ketika paras air rendah sebegini

Pencarian K.L.C

DI kawasan beginilah merupakan tempat persembunyian begahak Sungai Pahang. Kawasan reba menjadi petunjuk di mana ia berada dan gewang perlu dilontar berdekatan reba-reba sebegini

Begahak atau nama saintifiknya Belodontichthys dinema biasanya hanya dipanggil gohok oleh orang-orang Pahang. Seperti yang dinyatakan di atas, ikan ini antara top listed bagi kaki mengilat dan tentulah ianya juga idaman utama bagi ahli Kuantan Lure Casters (K.L.C). Pencarian dan penantian K.L.C telah bermula lebih 4 tahun yang lalu, tetapi faktor kekurangan pengalaman dan keadaan air Sungai Pahang yang tidak sesuai menjadikan punca utama kegagalan menjejak begahak. Beberapa kali usaha dilakukan dan pada pertengahan bulan Januari yang lalu saya dan Sabri turut meneroka Sungai Pahang untuk mencari spesies ini bila ada berita mengatakan bahawa begahak telah mulai memunculkan diri.
Wak Erawan bersama begahak seberat 4.5 kg yang diperdayakan dengan gewang Rapala Shad Rap 7 cm berwarna Gold Fish

Meneroka padang pancing seluas Sungai Pahang dengan sembrono tanpa mengetahui di mana dan  macamana untuk mencari serta mengenalpasti tempat permainan begahak sememangnya sesuatu yang sukar. Sementelahan pula, Sungai Pahang yang terbentang seluas mata memandang ini menjadikan usaha kami berdua berakhir dengan kegagalan.

Pada 04 Februari 2009, saya menerima sms dari Sabri yang berbunyi, ”Gohok Temerloh dah mengamuk, pagi tadi naik 4 ekor. Paling besar 4.4 kg”. Ia nampaknya petunjuk yang bagus dan saya pun sebenarnya beria-ia juga untuk mengilat spesies ini, jadi saya terfikir macamana agaknya untuk menolong K.L.C agar dapat merealisasikan impian mereka yang sekian lama terpendam ini. Akhirnya saya teringat orang yang paling arif akan lokasi tepat permainan begahak ini adalah Halimi Hanip kerana beliau merupakan antara orang pertama yang dapat membuka rahsia mengilat begahak beberapa tahun yang lalu.

Saya terus menghubungi beliau dan penerangan panjang lebar diberikan tentang lokasi, mengenal lubuk begahak, cara permainan serta peralatan yang sesuai untuk digunakan. Selepas itu saya menghubungi Sabri, ahli K.L.C yang paling rapat dengan saya. Segala rahsia yang berjaya saya korek dari Halimi disampaikan kepadanya agar dapat beliau gunakan untuk menjejak spesies warisan Sungai Pahang ini.

Lubuk Tidak Sengaja

Setelah mengetahui serba sedikit tentang lokasi pemburuan, lebih kurang seminggu selepas saya menghubunginya, Sabri dan Arman bersama-sama meneroka lokasi yang dimaksudkan. Semasa kunjungan, keadaan paras air semakin rendah menyebabkan banyak beting pasir yang timbul dan adakalanya bot terpaksa ditarik kerana tersangkut. Mereka menghilir sungai dan kemudiannya mengaplikasikan teknik mengilat sambil berhanyut. Untuk mengelakkan bot hanyut terlalu cepat, Sabri menggunakan dumbbell disk sebagai pemberat. Kaedah yang diguna pakai oleh geng mengilat Kuantan untuk sungai-sungai seperti Air Puteh dan Cherul ini memang berkesan kerana kepingan besi berbentuk bulat leper ini akan menyeret bahagian dasar sungai, lantas bot akan bergerak secara perlahan-lahan dan aktiviti mengilat ke kawasan tebing sungai dapat dilakukan.
Sabri dengan begahak hari pertama. Semasa penerokaan sebegini, thruster dan fish finder adalah peralatan paling penting

Begahak dipercayai mendiami kawasan bereba berdekatan tebing dan ia juga dikatakan bukanlah spesies perenang yang bagus berdasarkan saiz ekornya yang kecil. Oleh itu, ia lebih banyak mendiamkan diri di belakang reba dasar sungai yang menampan arus. Ketika berhanyut di kawasan reba sebegini, pemberat yang digunakan oleh Sabri telah tersangkut pada sesuatu. Beliau cuba menariknya berkali-kali tetapi ia telah terbelit kukuh, mungkin juga pada bahagian dahan-dahan kayu yang tenggelam di dalam air, kerana terdapat sebatang pokok besar yang tumbang menganjur ke dalam sungai. Kerana sayang untuk memotong pemberat tersebut, bot digerakkan sementara ke tepi tebing untuk berehat seketika sambil memikirkan cara untuk melepaskannya.

Semasa berehat, Arman yang kebosanan mengambil set pancingnya dan melontarkan gewang ke bahagian olak-olak yang terbentuk akibat dari tujahan air pada bahagian reba di dalam air. Tanpa disangka terus berlaku sergapan dari sesuatu dan bila ditarik ke tepi bot, rupa-rupanya si begahak yang selama ini dicari-cari yang tercangkup pada mata kail gewang! Melihatkan hasil yang tidak dijangkakan itu, Sabri turut melemparkan gewang ke tempat yang sama dan hasilnya begahak terus menyambarnya. Rupanya inilah lubuk begahak Sungai Pahang yang selama ini dicari-cari mereka!

Pada sebelah malamnya saya menerima sms perkhabaran gembira dari Sabri yang bertulis, “Dapat dah lesen gohok, ada 2 ekor dalam 2 kg seekor. 4 lagi lokoh (rabut). Pergi ngan Jagung baru dapat sebab dia tak pakai tangkal..he..he..”.  
Arman dengan begahak pertama berjaya dicast dalam hidupnya dengan menggunakan gewang 

Puluhan Gohok Di Satu Lubuk
Keesokannya Sabri, Arman dan Wak Erawan berkunjung lagi ke lokasi sama, kali ini dengan lebih persediaan. Sewaktu pagi sebegini, kelihatan banyak libasan begahak pada permukaan air dan mungkinkah ini masa aktif mereka mencari makan? Lontaran-lontaran gewang pada bahagian reba bersambut setiap kali gewang dikarau. Nampak gayanya, mereka bertiga bukan sahaja telah menemui lubuk begahak tetapi turut terserempak dengan  sekumpulan begahak yang sedang berada di dasar lubuk ini!
Bot perlu diparkir di tebing sungai dan lontaran dilakukan ke bahagian tengah. Cara ini lebih berkesan jika dibandingkan dengan memakir bot di tengah sungai dan gewang dilontar ke bahagian tebing.

Semasa mereka bertiga sedang bergembira di pagi hari minggu ini, saya pula sedang enak tidur di P.J dan saya tersedar bila telefon bimbit berbunyi menandakan ada pesanan ringkas diterima. Dalam keadaan terpisat-pisat saya mencapainya dan rupa-rupanya Sabri sekali lagi menghantar perutusan gembira, “Pehhh…gohok frenzy gila, setengah jam casting dah 7 ekor kena… saiz 2 – 4 kg seekor”. Nampak gayanya kali ini mereka betul-betul digasak begahak!
Ketika begahak gila meligan anak ikan, pelbagai gewang boleh dicuba untuk menilai keberkesanannya. Gewang Rapala SRRS 4cm fire tiger.

Jika terkena saiz yang besar, kudratnya boleh tahan juga. Lihat saja pada lenturan joran Arman bila spesimen terbesar 6.5 kg membuat benaman
Aksi Wak Erawan dengan menggunakan rod lemax storm legend yang telah diubah-suainya sendiri mengikut versi joran casting versi Kuantan 

Peluang keemasan sebegini yang hadir sekali dalam setahun tidak disia-siakan mereka begitu sahaja. Inilah masanya untuk menguji keberkesanan setiap gewang yang berada dalam lures box. Semasa begahak sedang frenzy meligan anak-anak ikan ini, apa sahaja gewang yang mampu menyelam ke kawanannya akan disergap. 
Gewang Ugly Duckling yang sekian lama terperap dalam kotak gewang kali ini turut sama membuktikan keberkesanannya

Kedalaman lubuk dalam lingkungan 4 meter, oleh itu gewang selaman dalam paling sesuai digunakan. Antara banyak-banyak gewang yang dihulurkan, Rapala X-Rap Deep 8 cm yang berbadan tirus panjang paling banyak menerima sambutan. Selain dari itu, Wak Erawan berjaya memperdayakan spesimen 4.5 kg menggunakan Rapala Shad Rap 7 cm berwarna Gold Fish, manakala rekod terbesar pula menjadi milik Arman. Beliau berjaya menjinakkan begahak terbesar seberat 6.5 kg dengan hanya menggunakan Rapala SRRS Fire Tiger sekerdil 4 cm sahaja!
Xrap clown dan SRRS 4cm fire tiger yang banyak memperdaya begahak termasuk yang paling besar pada trip hari itu sebarat 6.5kg

Gewang-gewang berbibir panjang sebegini amat berkesan untuk menjerat begahak Sungai Pahang

Nasib dan ketepatan masa pada hari tersebut menemukan mereka dengan kawanan begahak dan hasilnya 26 ekor berjaya dipancing dalam masa setengah hari sahaja! Peliknya, pada sebelah petang Sabri datang lagi bersama Lee Bentang BOD K.L.C tetapi hanya seekor sahaja yang berjaya dipancing, mengapakah ianya terjadi sedemikian? Adakah kawanan tadi telah berpindah lubuk atau sudah serik kerana sebahagian dari begahak yang dipancing pada pagi tadi telah di Catch & Released! Pada trip pagi itu hanya 6 ekor sahaja daripada 26 ekor begahak yang dipancing dibawa balik dan yang selainnya dilepaskan semula ke habitat asalnya untuk pancingan akan datang InsyaAllah...    
Catch & Released adalah penting agar pewaris Sungai Pahang ini tetap kekal. Tidak ramai pemancing yang sanggup melakukan perkara ini dan syabas kepada K.L.C


Ikan yang berharga RM45 sekilogram yang turut di lepaskan ke habitat asal oleh 
Wak Erawan















   Inilah satu-satunya begahak yang berjaya dinaikkan pada petang hari ke dua. Sebelah paginya 26 ekor berjaya diperdayakan di lubuk yang sama. Kemanakah ianya menghilang pada petang tersebut?

Kunjungan Saya Seminggu Selepasnya

Malamnya Sabri menghubungi saya lagi berceritakan kejayaan K.L.C dan kemarau penantian begahak mereka telah berakhir. Saya juga turut tumpang gembira dengan perkhabarannya dan meminta agar trip susulan dilakukan. Pada hari minggu yang berikutnya, saya telah menyertai Sabri dan Wak Erawan ke lokasi hangat mereka minggu lalu. Walaupun mengharapkan agar kegembiraan berulang kembali tetapi saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana tahu perangai begahak yang tidak akan kekal lama di satu-satu lubuk.
Aksi double hook up sering terjadi apabila ikan begahak sedang frenzy..

Keadaan paras air bertambah rendah dan air Sungai Pahang menjadi lebih jernih dari minggu lepas, sesuatu yang kami anggap akan memberi hasil yang lebih baik untuk acara mengilat. Sayangnya selama 2 hari kunjungan saya, bukan sahaja langsung tiada begahak yang berjaya didaratkan malah libasannya bermain air juga hampir tiada. Adakah ia telah berpindah jauh dari lubuk ini?  

Misteri Begahak

Dari mana datang dan ke manakah menghilangnya begahak menjadi satu tanda tanya, bukan sahaja kepada kami malah kepada nelayan sungai ini sekalipun. Orang tempatan mempercayai, kawanan begahak akan hanyut dibawa arus deras semasa musim tengkujuh melanda. Disebabkan ianya bukanlah perenang yang bagus lebih-lebih lagi untuk menongkah arus deras semasa itu, jadi begahak yang berada di bahagian hulu akan hanyut dan terkumpul di aliran sungai yang terletak di kawasan Pekan ini.  Pekan pula adalah penghujung Sungai Pahang sebelum isipadu air sungai terpanjang ini mengalir ke laut.
Gewang kiler kepunyaan Arman, rapala xrap deep warna clown ini telah banyak memperdaya ikan begahak sungai Pahang

Mengikut penduduk tempatan lagi, bila berakhirnya tengkujuh dan ikan makanan iaitu ikan bunkus tiba dan menghilang, begahak juga akan muncul dan turut hilang mengikut kumpulan ikan kecil ini ke bahagian atas sungai. Jika benarlah seperti dakwaan orang tempatan ini, soalan yang bermain di fikiran saya ialah ke manakah agaknya kawanan begahak ini pergi? Adakah ianya menghulu sungai ke bahagian atas sistem Sungai Pahang seperti Jerantut, Lipis atau pun semakin atas lagi. Tiada siapa yang tahu jawapan tepat persoalan ini!

Semasa 2 hari kunjungan saya dan Sabri, kami banyak bergerak menyusuri sungai untuk mencari dan meneroka reba-reba baru dengan harapan akan terjumpa kawanan begahak yang masih bersembunyi. Kawasan bereba yang kelihatan berpotensi hanyalah dalam lingkungan kurang dari 2 km sahaja jaraknya. Dari pemerhatian kami, inilah kawasannya di mana begahak-begahak yang berjaya dipancing sebelum ini yang pernah terpampar dalam majalah memancing tempatan ataupun video pancing. Ia bermakna, lokasi pemburuan setiap tahun adalah di kawasan yang sama sahaja dan kami telah berada di tempat yang betul. Tiada sebarang sambaran dalam masa 2 hari kami berulang alik bahagian atas dan bawah reba ini mungkin juga menyokong pendapat orang tempatan yang kumpulan begahak ini telah berhijrah.

Jika dilihat pada bukaan mulutnya luas dan giginya yang berceranggah itu, mungkin kita akan beranggapan begahak merupakan spesies ikan pemangsa yang akan menyambar mangsa secara rakus seperti toman ataupun sebarau. Sebaliknya dari pengalaman Sabri Arman dan Wak Erawan cara begahak menyambar gewang seolah-olah ragutan ikan kecil sahaja dan pada awalnya mereka banyak terlepas kerana belum faham cara sambaran begahak. Setelah beberapa kali rabut akhirnya mereka tahu bagaimana cara untuk memastikan sambaran begahak mencangkup mata kail.

Bila terasa ada pagutan, gewang tidak perlu direntap tetapi ia dibiarkan agar terlekat sendiri di mulut begahak. Oleh itu penggunaan mata kail perlu dari jenis tajam dan berbatang halus untuk memastikan ianya menikam tepat bahagian mulut begahak. Selain dari menggunakan mata kail yang tajam, penggunaan gewang bersaiz kecil lebih cepat memerangkapnya kerana biasanya ia lebih mudah terlekat pada pada bahagian mulut dan ada kalanya hampir keseluruhan badan gewang akan di telan begahak.   

Semasa kunjungan tempohari, saya turut menerima 2 ragutan dari spesies ini tetapi kerana kurang pengalaman ia juga turut rabut. Kes pertama saya menerima 4 kali pagutan dan kerana tidak sabar saya menyentapnya dengan kasar menyebabkan mata kail tidak sempat menikam mulutnya. Dari kesan gigitan pada gewang Rapala X-Rap Deep 10 cm berwarna Glass Ghost ia terbukti kerja begahak. Lubang-lubang kecil kesan giginya yang tajam terdapat pada kebanyakan badan gewang!  

Ragutan kedua saya terima ketika menggunakan gewang Berkley Frenzy Fire Tiger selaman dalam. Ketika gewang terasa terlanggar reba, tiba-tiba satu ragutan terus membenam gewang. Saya hanya bertahan seketika dan sistem tegangan pula saya laraskan pada tahap yang ketat kerana bimbangkan ikan ini akan masuk ke dalam reba. Rupa-rupanya bahagian bibirnya senang terkoyak dan saya rabut ikan ke dua ini. Selepas itu barulah saya tahu bahawa sistem tegangan tidaklah perlu terlalu ketat kerana ikan ini bukanlah dari jenis yang kuat melawan dan satu lagi ialah spesimen ini bukanlah dari jenis yang bermain kotor masuk reba bila terjerat. Badannya yang tidak bersisik dikatakan sebab utama ikan ini tidak akan memasuki reba kerana bimbang badannya akan tercedera terkena reba.

Itu adalah pengalaman berharga saya mengilat begahak untuk tahun ini, walaupun rabut tetapi saya sudah dapat merasai sendiri bagaiman ragutan dan cara untuk memainkannya. Tahun depan bila musim tengkujuh sudah reda, saya akan kembali lagi ke sini bersama geng K.L.C membawa pengalaman tahun ini untuk mencari lesen begahak pertama saya!

Antara warisan Sungai Pahang, ikan patin buah (atas) dan ikan Umbut (bawah)

0 comments:

Post a Comment